Monday, August 30, 2010

PERJALANAN BAHARU

Hari ini, 31 Ogos 2010 (sempena 53 tahun merdeka), seorang lagi cucu Cikgu Mat Pedu (CMP ) akan memulakan perjalanan baharu untuk menuntut ilmu. Bertepatan dengan tuntutan agama Islam yang syumul, Ahmad Syafiq akan melanjutkan pengajian peringkat sarjana di National Taiwan Ocean University dalam bidang akuakultur selama dua tahun.
Pemergian Ahmad Syafiq hanyalah meneruskan tradisi menuntut ilmu yang telah dilaksanakan oleh cucu, cucu saudara dan anak=anak CMP yang lain seperti Zakuan yang sedang menuntut di Russia, Mohd Khir yang telah belajar di US dan UK, Amerul di UK, Zambri di US dan Che Rus di UK dan Australia. Untuk Ahmad Syafiq, perjalanan hari agak berlainan dengan bapa saudara dan sepupunya kerana mereka semuanya menghala ke barat manakala dia ke timur.

Adalah menjadi harapan agar Ahmad Syafiq akan pulang dengan kejayaan iaitu segulung ijazah, pengetahuan baharu, dan menguasai bahasa mandarin. Semoga berjaya. Insya Allah.

Thursday, August 26, 2010

MENJELANG SYAWAL


Untuk anak-anak Cikgu Mat Pedu (CMP) sudahkah anda membeli sebuku sabun yang sering disediakan untuk mandi sunat Syawal. Masih kalian ingat sebuku sabun berwarna hijau dengan lambang seekor burung yang harum baunya yang dibeli oleh CMP khusus untuk mandi sunat aidil fitri.

Perlukah tradisi ini diteruskan untuk generasi CMP seterusnya. Masih adakah sabun tersebut dipasaran. Adakah kita menjadi konservatif apabila menggunakan sabun buku sebab sekarang telah bertukar dengan sabun mandi cecair atau body shampoo.

Untuk anak-anak CMP, fikir-fikirkan lah...

NUZUL QURAN


Hari ini nuzul Al Quran. Hari diturunkan al Ouran kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada bulan yang penuh barakah.

Bagaimanakah Cikgu Mat Pedu (CMP) mengimarakkan Ramadhan? Salah satu cara CMP mengimarakkan Ramadan ialah dengan membaca al-Quran sepanjang Ramadan. Beliau membaca secara berseorangan apabila ada masa lapangan.

Seingat penulis, membaca al quran telah lama menjadi amalan CMP kerana semasa penulis masih kanak-kanak lagi beliau telah membaca al-Quran. Semasa membaca, CMP akan meletakkan al Quran di atas bantal bukannya rehal. Tempat membaca senantiasa berubah-ubah, sekejap di ruang tamu, sekejap di dapur sambil menemani isteri memasak dan menyediakan juadah berbuka dan membaca sambil duduk bersila. Selepas bersara amalan membaca al Quran semakin aktif kerana dapat khatam 2 atau 3 kali sepanjang Ramadan.

Hari ini di kalangan anak-anak, cucu-cucu, dan suku sakat CMP siapakah yang meneruskan amalan mulia ini?

Untuk CMP... al-Fatihah.