Cikgu Mat Pedu (CMP) seperti cikgu-cikgu Melayu lain yang mengajar dan tinggal di kampung turut mempunyai harta atau aset. Dia mewarisi tanah sawah dan dusun buah-buahan di Kg, Padang Setol, Pedu.
Tanah sawah di Padang Setol seluas lima relong diusaha sendiri oleh CMP. Di Pedu, pada tahun 50an hingga 1980an para pesawah hanya mengusahakan sawah setahun sekali. Apabila tiba musim mengusahakan tanaman padi, CMP dengan dibantu oleh isteri dan anak-anak serta ipar duai untuk mengusahakan tapak semaian kering ( bekas semai) di kawasan dusunnya. Isteri dan anak-anak dikerah untuk menabur benih padi dan menjaga benih agar tidak dimakan oleh ayam.
Anak semaian kemudian dicabut dan ditanam di bendang yang telah ditenggala dengan kerbau. Semasa proses menanam anak semaian dalam sawah yang ditakungi air, musuh pertama yang akan merosakkan anak padi ialah KETAM. Ketam yang berwarna cokelat kehitaman akan memakan umbut anak padi terutama pada waktu malam. Keesokan didapati anak-anak padi yang baru ditanam akan terapung di permukaan air. Justeru itu lagi sekali anak-anak padi perlu ditanam.
Oleh sebab ancaman ketam memakan umbut padi, CMP akan menyuruh anak-anaknya Faisol, Fauzi dan Nasir menangkap ketam dan membunuhnya. Lubang-lubang ketam di batas bendang akan dicari dan ketam yang ditemui akan dibunuh secara kejam. Gambaran masalah ketam telah diperincikan oleh Shahnon Ahmad dalam novelnya Ranjau Sepanjang Jalan melalui watak Lahuma dan Jeha.
Hari ini isu ketam turut menjadi perhatian cucu CMP. Walaupun tidak memberi tumpuan kepada ketam bendang dia menyelidik kehidupan ketam laut. Tidak seperti bapa dan bapa saudaranya, dia menyelidik dan berusaha untuk mengelak kepupusan ketam di Pulau Satang, Sarawak. Tesis mengenai ketam di Pulau Satang telah membantunya menamatkan pengajian di UNIMAS.