Sunday, March 29, 2009

Musim Buah di Pedu


Musim buah datang lagi!!! Apabila tiba musim buah-buahan, kawasan Pedu adalah sebahagian kawasan pengeluaran buah-buahan seperti langsat, manggis dan durian. Pada musim tersebut kawasan Pedu menjadi tarikan orang luar untuk menikmati durian Pedu.



Bagi Cikgu Mat Pedu, musim buah-buahan ialah musim untuk mengeratkan silatulrahim antara rakan-rakannya. Pada musim ini, lazimnya rakan-rakan guru dan pegawai-pegawai pelajaran yang tinggal di Alor Setar akan bertanya bila nak jemput makan durian.
Lazimnya Cikgu Mat Pedu akan menjemput rakan-rakannya makan durian dalam dua situasi; makan di dusun atau makan di rumah bergantung kepada kehendak rakan-rakan. Ini kerana ada rakan-rakan yang seronok berkelah di dusun yang berhampiran Sg. Pedu yang jernih airnya (sekitar tahun 60an sebelum ada Empangan Pedu tetapi hari ini airnya tidak lagi jernih) dan ada juga rakan yang datang berkeluarga yang tidak mahu ke dusun kerana takutkan pacat dan nyamuk.

Untuk rakan-rakan yang ke dusun, Cikgu Mat akan menyuruh anak-anaknya seperti Fisol, Fauzi dan Nasir serta anak-anak saudara seperti Zainon dan Wahab mengutip buah durian yang berguguran dan diletakkan di dangau untuk dijamu. Kemudian disuruh pula anak-anak untuk memanjat pokok langsat dan manggis untuk dipetik buahnya untuk dijamu kepada rakan-rakan dari bandar. Jadi seronoklah orang bandar datang makan durian. Bagi anak-anak Cikgu Mat kerja tersebut cukup memenatkan kerana kena panjat pokok manggis dan langsat dan kemudian mengutipnya untuk dihidangkan kepada orang bandar.

Lebih teruk ialah bila rakan-rakan Cikgu Mat sekeluarga tidak mahu pergi ke dusun. Cikgu Mat Pedu akan menyuruh anak-anaknya atau anak saudara mengandar buah-buahan seperti durian, manggis dan langsat dari dusun dibawa balik ke rumah. Perjalanan sejauh 4 kilometer berjalan kaki dan menyeberangi Sg. Pedu amat memeritkan. Sesampai di rumah maka berkendurilah keluarga orang bandar manakala anak-anaknya keletihan. Bagi Cikgu Mat Pedu dia ikhlas menjamu rakan-rakan dari bandar.

Apabila anak-anak Cikgu Mat Pedu membesar ( di sekolah menengah), mereka pula mula menjemput guru-guru mereka makan durian di dusun. Anak-anaknya seperti Fauzi dan Nasir akan menjemput cikgu mereka seperti Cikgu Rahman Hussain (bekas KJ Sains Perpustakaan, IPDA) , Cikgu Tony, Cikgu Palani Vello ( bekas pensyarah IPDA ) dan lain-lain untuk berkelah di dusun bapa mereka.

Apabila Cikgu Mat Pedu berpindah ke Taman Uda, dia masih meneruskan tradisi menjemput kawan-kawan makan buah apabila musim durian tetapi kali ini disuruh anak-anak balik ke Pedu mengambil buah-buahan dan dibawa balik ke Taman Uda. Kemudian selepas solat subuh pagi Jumaat dia akan menjemput makmum dan kawan-kawan makan pulut durian dan buah-buahan. Tradisi tersebut diteruskan sehingga beliau meninggal dunia.
Walau bagaimanapun jemputan musim buah Cikgu Mat Pedu tidaklah sehebat seorang lagi orang besar Pedu iaitu Jab Pedu JP seorang usahawan kerana setiap kali musim durian beliau akan menjemput DYMM Tuanku Sultan Kedah untuk santap durian Pedu.
Hari semua kenangan tersebut nampaknya tidak berulang lagi kerana anak-anaknya sendiri terpaksa membeli buah durian....., tetapi isteri Cikgu Mat Pedu , Hjh Puteh telah menggerakan semula aktiviti berdusun di tanah di belakang SK Pedu lama. Hasilnya masih belum dapat dirasai sepenuhnya kerana pokok yang mula berbuah pada tahun lepas ialah dokong dan manggis, manakala durian masih belum berbuah. Insya Allah mungkin tahun ini anak cucu Cikgu Mat Pedu mungkin dapat merasainya.

Catatan Penulis
Anak cucu Cikgu Mat Pedu harus meneruskan tradisi yang telah dibuat oleh ayah dan datuk mereka.
Harta tak akan kekal, makna persahabatan lebih bermakna...

Thursday, March 19, 2009

Al-Fatihah

Al-Fatihah.
Hari ini ( Khamis, 19 Mac 2009) , seorang sepupu Cikgu Mat Pedu, iaitu Ahmad ( isterinya Maimon) atau lebih mesra di kalangan anak-anak saudara dengan panggilan Wa Mat telah kembali ke Rahmatullah pada usia 90 tahun. Allahyarham dilahirkan pada 1918 di Pedu. Selepas bersara daripada jawatan OCS Polis, allahyarham telah balik ke Pedu dan membina rumah di Kg Jelutung, Jln Pedu.
Jenazah beliau telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg Surau, Mukim Pedu.
Al - Fatihah.....

Sunday, March 8, 2009

Cikgu Mat Pedu : Orang Ulu

Cikgu Mat Pedu adalah anak mukim Pedu jati. Dia lahir, besar dan sebahagian besar kerjaya gurunya dihabiskan di Pedu. Jadi amat tepat dia mendapat gelaran "Pedu".
Pedu adalah nama sebuah mukim yang terletak dalam daerah Padang Terap dengan ibu daerahnya ialah Kuala Nerang. Bagi orang Kedah, Pedu dan daerah Padang Terap adalah daerah ulu dan mundur. Takrif orang ulu telah mendapat ulasan daripada Tun Dr Mahathir ( layari blog: http://chedet.co.cc/chedetblog/)
Sebagai anak Pedu dan orang ulu, masyarakat Pedu termasuk Cikgu Mat Pedu mempunyai beberapa kelainan daripada orang hilir (istilah yang merujuk kepada orang Kedah yang tinggal di sekitar bandar Alor Setar)
Kelainan yang paling ketara ialah dari segi tutur kata. Semua orang Pedu bertutur mengikut dialek Melayu Pattani, di Selatan Thai atau masyarakat Kelantan. Dialek dan loghat Pedu adalah sama dengan masyarakat Sik dan Baling yang berkemungkinan berasal dari rumpun melayu yang sama dengan masyarakat Pattani di selatan Thai. Kalau orang hilir (bandar) Kedah bertanya kemana anda hendak pergi dengan loghat Kedah iaitu " hang nak pi mana?" (yang dianggap bahasa standard Kedah), masyarakat Cikgu Mat Pedu akan menuturkan seperti berikut; "Mu nak gi ko na?". Istilah lain yang digunakan oleh masyarakat Pedu ialah seperti khelik (balik), ' a' ( air), ' wat pa' (buat apa?), mu (kamu) dan banyak lagi. Secara umumnya dialek atau loghat bahasa itu sebenarnya telah diringkaskan atau dipendekkan sebutannya.
Oleh kerana dialek yang berlainan, maka orang Pedu jika mereka keluar daripada lengkungan masyarakatnya mereka akan merasa rendah diri dan mempunyai tahap inferioriti kompleks yang tinggi. Oleh itu mereka akan kurang bertutur dengan orang luar.
Kelainan lain ialah nama gelaran kepada ibu dan bapa yang mempunyai anak. Apabila seseorang bapa mempunyai anak, maka masyarakat akan memanggilnya dengan gelaran nama anak sulung. Contohnya, Cikgu Mat Pedu mempunyai anak lelaki sulung bernama Fisol, maka selain daripada nama Cikgu Mat Pedu, dia juga dipanggil dengan nama gelaran Pak Fisol manakala isterinya dipanggil Mak Fishol. Jadi dalam masyarakat Pedu, akan ada Pak Sara dan Mak Sara (merujuk nama anak pertama mereka, Sara ), Pak Hawa dan Mak Hawa dan begitulah seterusnya. Jadi jika kita bertanya nama individu itu sendiri, mungkin masyarakat tidak akan tahu kecuali jika kita kaitkan nama anak sulung mereka.
Begitulah uniknya masyarakat Pedu dari sudut sosiologi dan antropologi yang diwarisi oleh Cikgu Mat Pedu.
Hari ini, nampaknya dialek dan loghat Pedu makin pupus, Anak-anak muda tidak lagi bertutur menggunakan loghat Pedu kerana mereka telah terdedah dengan dunia luar ( orang hilir ). Hanya generasi lama sahaja yang masih menuturkan loghat tersebut. Begitu juga dengan gelaran mengikut nama anak sulung juga semakin dilupakan. Pembangunan, telah merubah world view anak-anak Pedu. Walau bagaimanapun masyarakat Pedu patut berbangga kerana budaya menyebut istilah secara ringkas yang dipraktikkan dalam masyarakat mereka kini digunakan secara meluas dalam budaya sms.

Berpindah ke Taman Uda

Semasa masih mengajar di SK Pedu pada tahun 1970an dan telahpun membina sebuah rumah sendiri di belakang SK Pedu (bangunan lama yang masih ada hingga sekarang), Cikgu Mat Pedu masih berhasrat untuk mempunyai sebuah rumah di Alor Setar. Hasrat tersebut dilontarkan kepada rakan-rakan dan keluarga. Reaksi yang diterima daripada rakan dan keluarga ialah mengapa perlu membazir untuk membeli rumah di bandar kerana sebagai seorang guru dan anak tempatan Pedu besar kemungkinan Cikgu Mat Pedu tidak akan ditukarkan ke mana-mana sehingga pencen. Dia akan terus kekal di Pedu.
Walau bagaimanapun Cikgu Mat Pedu terus berkeras hati. Kepada isterinya diceritakan niat atau tujuan kenapa harus membeli sebuah rumah di Alor Setar. Katanya, 'Kalau kita ada rumah di Alor Setar, nanti senang anak cucu kita yang dapat belajar di Alor Setar. Mereka boleh tinggal di rumah kita dan akan memudahkan mereka belajar."
Dengan izin Allah rezeki untuk memiliki rumah di Alor Setar menjadi lebih mudah, apabila Cikgu Mat Pedu menyuarakan hasrat tersebut kepada rakannya En. Rahim seorang pegawai pertanian di Kuala Nerang yang mencadangkan agar dia membeli sebuah rumah di Jalan Day (sekarang Jln. Sultanah, A Setar) yang diusahakan oleh UDA dengan harga RM27k. Pada waktu itu harga sedemikian adalah agak tinggi.
Pada peringkat awal pembinaan projek perumahan tersebut, ramai orang menyindir mengatakan macam rumah nelayan di Kuala Kedah kerana melihat tiangnya yang berceracak di kelilingi oleh sawah bendang terutama pada musim sawah dipenuhi air.
Alhamdulillah apabila Cikgu Mat Pedu bertukar ke SK Iskandar Alor Setar, dia dapat tinggal di rumah barunya di Taman Uda pada tahun 1976. Memang benar, apabila berpindah ke Taman Uda, anak-anaknya Nasir mudah berulang alik semasa belajar tingkatan 6 di Kolej Sultan Abdul Hamid, Khir pula dapat mengayuh basikal ke SM Dato Syed Omar dan Amer pula mengikutnya ke SK Iskandar. Nampaknya niat murni Cikgu Mat Pedu untuk mendidik anak-anak sebaik mungkin dimakbulkan tuhan dengan cara mempermudahkan segala urusan memiliki rumah baru.
Niat murni Cikgu Mat Pedu untuk menjadikan rumahnya di Taman Uda sebagai tempat anak cucu tinggal untuk belajar dimakbulkan Allah kerana ramailah anak saudara dan cucu saudara datang dan tinggal di rumah itu semasa mereka belajar. Antaranya ialah Ruziah (Kak Chik), Zuraida ( Eda ), Zaini, dan Roslee (Pak Ali). Selain daripada itu, di tingkat bawah terus di sewakan kepada pelajar-pelajar yang belajar di SMK Dato Syed Omar dan SMK Sultanah Bahiyah.
Hari ini rumah di Taman Uda terus didiami oleh isteri Cikgu Mat Pedu bersama dengan anaknya Fauzi sekeluarga dan mereka masih bersedia menerima anak cucu dari Pedu untuk tinggal dan belajar di Alor Setar.

Friday, February 13, 2009

Anak Murid Cikgu Mat Pedu II

Hari ini di Kedah terdapat tokoh koperat yang terkenal iaitu Dato B*****. Beliau merupakan seorang kontraktor yang berjaya dan disegani di negeri Kedah. Walau bagaimanapun beliau bersifat 'low profile' dan tidak suka menonjolkan dirinya. Beliau sebenarnya adalah antara beberapa orang anak Pedu yang berjaya dalam dunia koperat sehingga mampu mendapat anugerah Dato daripada DYMM Sultan Kedah.

Beliau adalah antara beberapa orang anak murid Cikgu Mat Pedu yang berjaya dan masih meneruskan silatulrahim dengan keluarganya Cikgu Mat Pedu sehingga sekarang. Beliau berasal dari Kg Lubuk Merbau, Pedu. Untuk ke sekolah Dato terpaksa berjalan kaki atau berbasikal dan terpaksa menyeberangi Sungai Pedu melalui jambatan gantung yang kecil dan daif. Jambatan gantung tersebut hanya boleh digunakan oleh pejalan kaki, basikal dan motosikal sahaja. Jika musim kemarau, bila air sungai agak kering kanak-kanak lebih gemar menyeberangi sungai tanpa menggunakan jambatan gantung sekaligus mandi manda dengan baju sekolah.
Walaupun dalam keadaan susah sedemikian, Dato B***** tetap meneruskan persekolahannya sehingga tamat darjah enam di SK Pedu. Bahari seorang murid yang pintar kerana dia pandai membaca quran dan berlagu. Dia berjaya mewakili SK Pedu dalam pertandingan bacaan Quran (sekarang Tilawah). Dia disuruh tinggal di rumah guru besar iaitu Cikgu Mat Pedu selama beberapa minggu untuk membuat persediaan pertandingan. Ini kerana dia dibimbing oleh Ustaz Muin yang akan datang semula pada waktu malam. Jadi pada waktu malam sekali lagi dia berlatih membaca quran.
Walaupun tidak berjaya ke peringkat negeri tetapi Bahari adalah seorang murid yang baik dan cemerlang. Kecemerlangannya berterusan sehingga ke sekolah menengah, kemudian melanjutkan pengajiannya ke Sek Men Teknik Kuantan dan seterusnya Politeknik Ungku Omar dan berjaya menamatkan pengajian. Dia kemudian bekerja dengan Syarikat Gila Padang Terap.
Selepas beberapa lama di Syarikat Gula Padang Terap, beliau mengambil keputusan untuk berhenti dan melibatkan diri dalam dunia kontraktor. Bermula daripada itu rezeki beliau melimpah ruah dengan pelbagai jenis kontrak dan bisnes daripada pembinaan , perladangan, pusat latihan PLKN, pusat latihan kapal terbang dan lain-lain.
Episod penting dalam mengeratkan lagi hubungan silatul rahim ini ialah apabila beliau datang ke rumah Cikgu Mat Pedu dan meminta pertolongan Cikgu Mat Pedu menguruskan perkahwinan dengan gadis pilihannya. Atas usaha Cikgu Mat Pedu dan niat suci akhirnya, mereka dapat jodoh sehingga beranak pinak sehingga sekarang.
Falsafah Cikgu Mat Pedu adalah mudah; jika anda jujur dan ikhlas dalam sesuatu perkara, dia akan sedia menolong tanpa mengira wang ringgit atau tenaga.

Thursday, February 12, 2009

Membawa Keluarga Ke Alor Setar




Dari Pedu ke Alor Setar pada tahun 1960an adalah perjalanan yang jauh walaupun jaraknya sekarang adalah lebih kurang 45 minit sahaja. Untuk perjalanan sejauh 30 batu ( 48 km) Cikgu Mat Pedu akan memandu melintasi pekan-pekan kecil seperti Kuala Nerang, Pokok Sena, Jabi, Langgar sebelum sampai ke Alor Setar. Oleh kerana jauh Cikgu Mat Pedu hanya mampu membawa keluarga ke Alor Setar dua atau tiga bulan sekali.
Sepanjang perjalanan ke Alor Setar ada beberapa tempat yang sunyi dan menakutkan seperti di Bukit Tampoi berhampiran Kg Pokok Machang. Di kawasan Bukit Tampoi contohnya adalah kawasan di mana pengganas komunis telah menyerang pasukan keselamatan kerana di kiri kanan jalan tersebut dipenuhi hutan tebal dan tiada berpenghuni.
Oleh kerana terlalu jauh perjalanan ke Alor Setar, suatu kelaziman yang sering dilakukan oleh Cikgu Mat Pedu ialah dia akan berhenti di pekan Langgar. Di pekan Langgar sebenarnya ada dua kedai bihun sup yang sedap dan menyelerakan iaitu kedai Omar Bom dan Kedai Non dan di situ dia mula menjamu keluarga dengan bihun sup dan ais kacang. Oleh kerana terlalu jauh, kadang-kadang anak Cikgu Mat Pedu terpaksa meminta tambahan satu pinggan lagi kerana lapar dan juga sedap. Lazimnya Cikgu Mat Pedu akan memilih untuk makan bihun sup di kedai Non.
Setelah kenyang, mereka akan meneruskan perjalanan ke Alor Setar.
Di Alor Setar, Cikgu Mat Pedu akan ke Pekan Melayu untuk membeli pakaian di sebuah kedai yang boleh dianggap besar. Untuk membeli barangan untuk masakan dia akan ke kedai-kedai di Jalan Tengku Ibrahim. Antara barang yang dibeli ialah bihun dan sotong kering yang akan digunakan oleh isterinya yang berniaga di kantin sekolah Pedu.

Bagi anak-anaknya Fauzi dan Nasir jika ke Alor Setar mereka tidak melepas peluang untuk membeli komik dalam bahasa Inggeris iaitu The Beano dan Dandy di kedai-kedai India di hadapan stesyen bas Jalan Langgar. Di dalam komik bersaiz tabloid ada beberapa cerita kartun seperti Dennis the Menace, Minnie the Minx, The Bash Street Kids dan lain-lain. Turut dibeli ialah komik-komik penerbitan Marvel seperti Captain America, Fantastic Four, Hulk, Ironman dll. Bagi anak-anak Cikgu Mat Pedu bila dah dapat buku-buku komik seperti itu, mereka akan duduk diam dan membacanya sepanjang perjalanan pulang.
Setelah penat membeli belah di Alor Setar, tempat makanan yang special ialah makan mee bandung di kedai Ishak Mee Bandung berhadapan dengan stesyen bas Jalan Langgar. Mee bandung Ishak sangat enak dimakan dan para pelanggan terpaksa menunggu agak lama untuk menikmati mee bandungnya. Sesekali Cikgu Mat Pedu akan membawa keluarganya menonton wayang filem-filem P. Ramlee di panggung Cathay dan Rex.
Untuk balik ke Pedu, Cikgu Mat Pedu akan memastikan bahawa dia mesti sampai ke rumahnya di Pedu sebelum hari malam kerana dengan kereta yang daif dan perjalanan yang jauh boleh menimbulkan pelbagai masalah.
Hari ini semuanya telah berubah, tiada lagi kedai barangan runcit di sepanjang Jln Tunku Ibrahim. Panggung Cathay telah bertukar menjadi restoran makanan segera manakala panggung Rex di Jln Putra telah berhenti operasi.




Jika hari ini anak-anak Pedu boleh berulang alik dari Pedu ke Alor Setar, tetapi di tahun 1960an adalah sebaliknya. Kita patut bersyukur!!!


Monday, February 9, 2009

Cikgu Mat Pedu Dan Kuarters Guru

Sepanjang kerjaya Cikgu Mat Pedu sebagai guru dia berkesempatan untuk tinggal di kuarters kerajaan di dua tempat iaitu di kuarters guru SK Bohor, Hutan Kampung dan di SK Kuah, Pulau Langkawi ( sekarang dikenali sebagai SK Seri Negeri, di hadapan Masjid Al-Hana, Kuah). Semasa di Pedu tiada kuarters guru disediakan oleh kerajaan, jadi terpaksa membina rumah sendiri di atas tanah sekolah dan kemudian membeli sebidang tanah di belakang SK Pedu ( sekarang blok yang lama di seberang jalan). Dia kemudian membina sebuah rumah sendiri di atas tanah tersebut.
Apabila ditukarkan ke SK Bohor, Hutan Kampung pada 1975 dia terpaksa membawa keluarga ke tempat tinggal yang baru. Di sekolah tersebut terdapat dua unit rumah guru, satu diduduki oleh Cikgu Hassan dan isterinya Cikgu Jamilah manakala satu unit lagi terbiar kosong dan rosak dan pihak sekolah tidak berhasrat untuk membaikinya.
Cikgu Mat Pedu tiada pilihan untuk menempatkan keluarganya, maka dia terpaksa juga tinggal di rumah guru yang terbiar itu. Guru Besar, Mr. Phang Boon Khing ketika itu tidak mengambil inisiatif untuk membantu Cikgu Mat Pedu dan hanya sekadar membenarkan dia tinggal di rumah guru yang terbiar dan rosak.
Sebagai seorang guru lama, tentu Cikgu Mat Pedu kecewa dengan sikap guru besarnya yang tidak prihatin dan tidak ambil peduli kebajikan anak buahnya. Dia mengambil langkah dengan mengeluarkan belanja untuk memasang elektrik dan air, membersih rumah yang bertahun-tahun tidak diduduki dan kotor. Anak-anak diarah untuk mencuci dan membersih rumah tersebut. Pintu tingkap yang tertanggal diupah tukang untuk dibaiki. Akhirnya dapatlah dia sekeluarga tinggal di kuaters usang dan terbuang selama hampir tiga tahun dan kemudian berpindah ke rumah barunya di Taman Uda, Jalan Sultanah.
Keadaan perit dan sukar mendapat kuaters sekali lagi berulang pada tahun 1980 apabila sekali lagi Cikgu Mat Pedu ditukarkan ke SK Ladang Sungai Raya, Jln. Kisap, Pulau Langkawi, walaupun pada waktu itu dia hampir hendak bersara. Sekali lagi, masalah tempat tinggal menjadi masalah kerana pada waktu itu Pulau Langkawi belum membangun dan bagi sesetengah orang dianggap sebagai tempat buangan daerah penjawat awam di negeri Kedah. Oleh kerana di SK Ladang Sg Raya tidak mempunyai kuarters, Cikgu Mat Pedu merayu pihak Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Langkawi untuk membenarkan dia untuk tinggal di kuarters papan yang usang dan uzur di SK Kuah (bersebelahan pejabat PPD). Kuarters itu sebenarnya telah dijadikan stor untuk menyimpan kerusi dan meja yang patah dan tempat simpanan buku-buku terbuang SK Kuah. Kuarters itu juga sering dinaiki air apabila hujan lebat.
Dengan keadaan kuarters yang cukup uzur, pihak guru besar dan PPD Langkawi beranggapan tentu Cikgu Mat Pedu tidak sanggup untuk tinggal di rumah tersebut. Tetapi dengan kegigihan seperti yang ditunjukkan semasa membaik pulih kuarters di Hutan Kampung dia akhirnya dapat tinggal di kuarters buruk itu. Alhamdulillah di kuarters itulah Cikgu Mat Pedu tinggal bersama isteri dan anak bongsunya Amer serta anak angkat Latiff seorang juru teknik Jabatan Perumahan Negara yang ditugaskan untuk menyelia projek perumahan kos rendah di Langkawi.
Kuarters yang buruk dan tidak terurus oleh pihak sekolah telah menjadi 'istana' kepada Cikgu Mat Pedu sekeluarga. Semua kos untuk membaik pulih kuarters tersebut ditanggung oleh Cikgu Mat Pedu pada awalnya.
Apa yang lebih menarik, apabila hujan lebat, kuarters itu akan digenangi air hujan di bawah rumah dan akan terdapat ikan puyu dan keli berenang di bawah rumah dan bagi Amer danLatiff mereka hanya memancing dari celahan papan lantai rumah untuk mendapatkan ikan puyu dan keli. Jika orang lain terpaksa ke sawah dan sungai mereka hanya duduk di atas rumah dan terus memancing.
Walau bagaimanapun ada juga insiden sedih, iaitu apabila pihak sekolah mengunci bilik tandas sekolah kerana tidak membenarkan keluarga Cikgu Mat Pedu menggunakan tandas sekolah. Sebenarnya di kuarters itu tidak terdapat tandas dan Cikgu Mat Pedu terpaksa memohon ehsan pihak sekolah membenarkan mereka menggunakan tandas sekolah ( itupun sekadar untuk membuang air besar sahaja). Bayangkan jika dalam situasi 'cemas' tiba-tiba kita tidak dapat menggunakan tandas. Inilah situasi dan tingkahlaku sesama kekeluarga pendidik, kita tidak mahu bekerjasama dan saling tolong menolong apatah lagi jika ditambah dengan perasaan hasad dengki.
Ada juga peristiwa di mana pihak sekolah cepat meninjau dan membantu untuk melihat kuarters tempat tinggal Cikgu Mat Pedu sekeluarga. Ini berlaku apabila pegawai audit sekolah datang untuk mengaudit sekolah tersebut dan kebetulan salah seorang pegawai audit tersebut adalah anak buah Cikgu Mat Pedu dan membuat "lodging" di kuarters tersebut, pihak sekolah baru datang dan bertanya masalah. Inilah budaya kita, bila orang besar datang kita baharu terhegeh-hegeh untuk menunjuk simpati.
Bagi Cikgu Mat Pedu, pengalaman susah senang di tempat orang mungkin menjadi asam garam kehidupannya sekeluarga, tetapi bagi anak-anaknya,tindak tanduk segelintir pegawai pelajaran(GB dan PPD) gagal melaksanakan amanah mereka dalam dunia pendidikan. Mereka bercakap tentang nilai dan moral tetapi mereka sendiri gagal melaksanakan. Cakap Tak Serupa Bikin!!!
Hari ini, kedua-dua kuarters tempat tinggal itu telah berkubur. Di SK Bohor, di atas tapak kuarters itu telah di dirikan apartmen guru manakala di P. Langkawi tapak kuarters itu telah dibina bilik-bilik darjah.
Yang masih kukuh dan tersemat diingatan ahli keluarga Cikgu Mat Pedu, ialah kegigihan dan azam kuat yang dimiliki oleh Cikgu Mat Pedu dalam mengharungi cabaran dan dugaan dalam kehidupan.