Tuesday, September 21, 2010

KETAM & CIKGU MAT PEDU


Cikgu Mat Pedu (CMP) seperti cikgu-cikgu Melayu lain yang mengajar dan tinggal di kampung turut mempunyai harta atau aset. Dia mewarisi tanah sawah dan dusun buah-buahan di Kg, Padang Setol, Pedu.

Tanah sawah di Padang Setol seluas lima relong diusaha sendiri oleh CMP. Di Pedu, pada tahun 50an hingga 1980an para pesawah hanya mengusahakan sawah setahun sekali. Apabila tiba musim mengusahakan tanaman padi, CMP dengan dibantu oleh isteri dan anak-anak serta ipar duai untuk mengusahakan tapak semaian kering ( bekas semai) di kawasan dusunnya. Isteri dan anak-anak dikerah untuk menabur benih padi dan menjaga benih agar tidak dimakan oleh ayam.

Anak semaian kemudian dicabut dan ditanam di bendang yang telah ditenggala dengan kerbau. Semasa proses menanam anak semaian dalam sawah yang ditakungi air, musuh pertama yang akan merosakkan anak padi ialah KETAM. Ketam yang berwarna cokelat kehitaman akan memakan umbut anak padi terutama pada waktu malam. Keesokan didapati anak-anak padi yang baru ditanam akan terapung di permukaan air. Justeru itu lagi sekali anak-anak padi perlu ditanam.

Oleh sebab ancaman ketam memakan umbut padi, CMP akan menyuruh anak-anaknya Faisol, Fauzi dan Nasir menangkap ketam dan membunuhnya. Lubang-lubang ketam di batas bendang akan dicari dan ketam yang ditemui akan dibunuh secara kejam. Gambaran masalah ketam telah diperincikan oleh Shahnon Ahmad dalam novelnya Ranjau Sepanjang Jalan melalui watak Lahuma dan Jeha.

Hari ini isu ketam turut menjadi perhatian cucu CMP. Walaupun tidak memberi tumpuan kepada ketam bendang dia menyelidik kehidupan ketam laut. Tidak seperti bapa dan bapa saudaranya, dia menyelidik dan berusaha untuk mengelak kepupusan ketam di Pulau Satang, Sarawak. Tesis mengenai ketam di Pulau Satang telah membantunya menamatkan pengajian di UNIMAS.

Wednesday, September 15, 2010

BONDA CIKGU MAT PEDU


Bonda Cikgu Mat Pedu (CMP) ialah Salamah. Semasa muda dara dia berkahwin dengan jejaka bernama Abdul Rahman seorang pemuda berasal dari Kampung Padang Setol, Pedu. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang puteri dan dua putera. Anak sulung mereka bernama Khadijah (Jah), kedua Muhammad dan ketiga Said. Agak malang bagi bagi Salamah dia kehilangan suami pada usia muda. Jenazah Abdul Rahman dikebumikan di tanah perkuburan Padang Setol di atas sebidang tanah yang mereka wakafkan kepada penduduk Kg. Padang Setol.

Selepas kematian suami pertama, Salamah berkahwin kali kedua dengan Md. Saman (Tok Saman) dan terus berpindah mengikut suaminya ke Kg. Barokas. Md. Saman adalah seorang kaya dan banyak memelihara kerbau. Di Kg Barokas, mereka membina rumah bersebelahan masjid Kg Barokas. Masjid tersebut terletak agak jauh dari jalan besar Pedu - Kuala Nerang dan di sebuah kawasan berlembah. Antara rumah Salamah dan masjid terdapat sebatang pokok setol yang besar. Hasil perkahwinan kedua Salamah dikurniakan seorang anak lelaki dan diberi nama Abdul Majid.

Di sekitar tahun 1970an, Salamah yang telah kematian suami, berpindah untuk tinggal berhampiran dengan anak bongsunya Abdul Majid di tepi jalan utama Pedu - Kuala Nerang. Dia membina sebuah rumah kecil bersebelahan rumah anaknya. Dia turut mewakafkan tanah miliknya yang bersebelahan rumah untuk dibina sebuah masjid yang baharu. Anaknya Abdul Majid, pula telah mewakafkan tanah emaknya kepada parti PAS untuk dijadikan markas parti tersebut juga bersebelahan masjid tersebut.

Hari ini, masjid Kg Barokas telah dinamakan Masjid Hajah Salamah sempena nama bonda CMP.

Al-Fatihah buat Hjh. Salamah dan suami-suami serta kesemua anak-anaknya Khadijah,Muhammad, Said dan Abdul Majid. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka.


Catatan:

1. Jenazah Hjh Salamah tidak dikebumikan di Kg. Barokas, sebaliknya disemadikan di tanah perkuburan Kg. Surau, Kg. Musa Pedu.

2. Cucu dan cicit Hjh Salamah perlu meneruskan legasi amalan mulia tersebut.

Monday, August 30, 2010

PERJALANAN BAHARU

Hari ini, 31 Ogos 2010 (sempena 53 tahun merdeka), seorang lagi cucu Cikgu Mat Pedu (CMP ) akan memulakan perjalanan baharu untuk menuntut ilmu. Bertepatan dengan tuntutan agama Islam yang syumul, Ahmad Syafiq akan melanjutkan pengajian peringkat sarjana di National Taiwan Ocean University dalam bidang akuakultur selama dua tahun.
Pemergian Ahmad Syafiq hanyalah meneruskan tradisi menuntut ilmu yang telah dilaksanakan oleh cucu, cucu saudara dan anak=anak CMP yang lain seperti Zakuan yang sedang menuntut di Russia, Mohd Khir yang telah belajar di US dan UK, Amerul di UK, Zambri di US dan Che Rus di UK dan Australia. Untuk Ahmad Syafiq, perjalanan hari agak berlainan dengan bapa saudara dan sepupunya kerana mereka semuanya menghala ke barat manakala dia ke timur.

Adalah menjadi harapan agar Ahmad Syafiq akan pulang dengan kejayaan iaitu segulung ijazah, pengetahuan baharu, dan menguasai bahasa mandarin. Semoga berjaya. Insya Allah.

Thursday, August 26, 2010

MENJELANG SYAWAL


Untuk anak-anak Cikgu Mat Pedu (CMP) sudahkah anda membeli sebuku sabun yang sering disediakan untuk mandi sunat Syawal. Masih kalian ingat sebuku sabun berwarna hijau dengan lambang seekor burung yang harum baunya yang dibeli oleh CMP khusus untuk mandi sunat aidil fitri.

Perlukah tradisi ini diteruskan untuk generasi CMP seterusnya. Masih adakah sabun tersebut dipasaran. Adakah kita menjadi konservatif apabila menggunakan sabun buku sebab sekarang telah bertukar dengan sabun mandi cecair atau body shampoo.

Untuk anak-anak CMP, fikir-fikirkan lah...

NUZUL QURAN


Hari ini nuzul Al Quran. Hari diturunkan al Ouran kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada bulan yang penuh barakah.

Bagaimanakah Cikgu Mat Pedu (CMP) mengimarakkan Ramadhan? Salah satu cara CMP mengimarakkan Ramadan ialah dengan membaca al-Quran sepanjang Ramadan. Beliau membaca secara berseorangan apabila ada masa lapangan.

Seingat penulis, membaca al quran telah lama menjadi amalan CMP kerana semasa penulis masih kanak-kanak lagi beliau telah membaca al-Quran. Semasa membaca, CMP akan meletakkan al Quran di atas bantal bukannya rehal. Tempat membaca senantiasa berubah-ubah, sekejap di ruang tamu, sekejap di dapur sambil menemani isteri memasak dan menyediakan juadah berbuka dan membaca sambil duduk bersila. Selepas bersara amalan membaca al Quran semakin aktif kerana dapat khatam 2 atau 3 kali sepanjang Ramadan.

Hari ini di kalangan anak-anak, cucu-cucu, dan suku sakat CMP siapakah yang meneruskan amalan mulia ini?

Untuk CMP... al-Fatihah.

Friday, July 2, 2010

BOLA SEPAK II


Musim Piala Dunia menjadikan semua warga dunia tertumpu kepada bola sepak. Pasukan negara dan pemain yang disokong menjadi bahan bualan di mana-mana..

Anak-anak Cikgu Mat Pedu (CMP) bagaimana anda semua?

Dari segi sejarah, semuanya berminat main bola. Anak sulong CMP, Fisol menjadi goolie untuk pasukan SRK Inggeris Kuala Nerang dan terus menjadi goolie semasa belajar di SM Jalan Day. Fauzi berada diposisi penyerang semasa di sekolah rendah dan sekolah menengah sehingga terlibat dengan pasukan belia. Nasir pula hanya mewakili pasukan bola sepak di sekolah rendah sahaja. Khir tidak pernah mewakili sekolah dalam bola sepak kerana dia tidak berminat sebaliknya menghabiskan masa dengan membaca, manakala Amir tidak pasti sama ada dia mewakili sekolah untuk bola sepak sebaliknya dalam bidang olahraga sehingga dapat belajar di Maktab Tentera Diraja, Sg. Besi .

Semasa di Pedu, dua anak CMP menyertai 'kelab' belia yang dikenali sebagai pasukan Pemuda Angkatan Muda Pedu (PAMP) dan pasukan itu menjadi kegerunan pasukan lain di mukim Pedu. Mereka pernah mengalahkan pasukan polis Kg Pinang yg hebat dan bertenaga semasa menyertai Liga 7 sebelah. Antara ahli pasukan PAMP ialah Man Yoma, Mat Hj. Rahman, Shawai Pak Teh Pa, Fauzi CMP, Nasir CMP, Halim, adik Man Yoma dan Rusdi Chu Run.

Secara umumnya anak CMP yang paling hebat dalam bidang bola sepak ialah Fauzi.. Syabas Fauzi!!!!!

Catatan

1. Bagaimana pula dengan cucu-cucu CMP

BOLA SEPAK



Sekarang musim bola sepak Piala Dunia. Penulis percaya jika Cikgu Mat Pedu masih ada dia juga peminat bola sepak.

Semasa bertugas sebagai guru besar di SK Pedu dia seorang yang cukup komited dengan bola sepak. Walau pun bukan sebagai jurulatih dia menjadi penaik semangat bagi pemain SK Pedu. Dahulu sekolah-sekolah rendah ada pertandingan bola sepak dan pasukan SK Pedu adalah antara pasukan yang digeruni di daerah Padang Terap di bawah bimbingan Cikgu Ah Teik Ah Geng, Cikgu Ahmad Hassan dan beberapa yang lain. Kalau lebih awal lagi murid Pedu dilatih oleh Tok Lateh Guru (antara guru terawal SK Pedu).

Pada hari pertandingan, Cikgu Mat Pedu sanggup berulang alik 2, 3 kali untuk membawa pasukan bola sepak SK Pedu bertanding di Kuala Nerang atau ke Bukit Tembaga. Antara pemain terbaik pada 1970an ialah Ghani "Bulat", Rosdi (penjaga gol), Man' Yoma', Ahmad Tok Hj Rahman, dll. Mereka bermain dengan baik dan hanya memakai guard kaki dan bukannya boot bola kerana rata-rata adalah pelajar miskin.

Sempena Piala Dunia segala kenang-kenangan bola sepak dapat dikongsi oleh anak cucu Cikgu Mat Pedu.




Catatan:


1. Bagaimana pula dengan anak-anak Cikgu Mat Pedu?


2. Siapakah di kalangan anak-anak CMP yang paling hebat?