Wednesday, September 15, 2010

BONDA CIKGU MAT PEDU


Bonda Cikgu Mat Pedu (CMP) ialah Salamah. Semasa muda dara dia berkahwin dengan jejaka bernama Abdul Rahman seorang pemuda berasal dari Kampung Padang Setol, Pedu. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang puteri dan dua putera. Anak sulung mereka bernama Khadijah (Jah), kedua Muhammad dan ketiga Said. Agak malang bagi bagi Salamah dia kehilangan suami pada usia muda. Jenazah Abdul Rahman dikebumikan di tanah perkuburan Padang Setol di atas sebidang tanah yang mereka wakafkan kepada penduduk Kg. Padang Setol.

Selepas kematian suami pertama, Salamah berkahwin kali kedua dengan Md. Saman (Tok Saman) dan terus berpindah mengikut suaminya ke Kg. Barokas. Md. Saman adalah seorang kaya dan banyak memelihara kerbau. Di Kg Barokas, mereka membina rumah bersebelahan masjid Kg Barokas. Masjid tersebut terletak agak jauh dari jalan besar Pedu - Kuala Nerang dan di sebuah kawasan berlembah. Antara rumah Salamah dan masjid terdapat sebatang pokok setol yang besar. Hasil perkahwinan kedua Salamah dikurniakan seorang anak lelaki dan diberi nama Abdul Majid.

Di sekitar tahun 1970an, Salamah yang telah kematian suami, berpindah untuk tinggal berhampiran dengan anak bongsunya Abdul Majid di tepi jalan utama Pedu - Kuala Nerang. Dia membina sebuah rumah kecil bersebelahan rumah anaknya. Dia turut mewakafkan tanah miliknya yang bersebelahan rumah untuk dibina sebuah masjid yang baharu. Anaknya Abdul Majid, pula telah mewakafkan tanah emaknya kepada parti PAS untuk dijadikan markas parti tersebut juga bersebelahan masjid tersebut.

Hari ini, masjid Kg Barokas telah dinamakan Masjid Hajah Salamah sempena nama bonda CMP.

Al-Fatihah buat Hjh. Salamah dan suami-suami serta kesemua anak-anaknya Khadijah,Muhammad, Said dan Abdul Majid. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka.


Catatan:

1. Jenazah Hjh Salamah tidak dikebumikan di Kg. Barokas, sebaliknya disemadikan di tanah perkuburan Kg. Surau, Kg. Musa Pedu.

2. Cucu dan cicit Hjh Salamah perlu meneruskan legasi amalan mulia tersebut.

No comments:

Post a Comment