Wednesday, February 17, 2010

KAMPUNG CAMP SIAM

Membaca dan melihat gambar wanita siam Kampung Tanjung Pedu bersenam setiap malam Ahad dan Rabu dalam akhbar Sinar Harian (Edisi Utara) bertarikh 18.2.2010 mengingatkan penulis tentang aktiviti riadah yang dilakukan oleh anak-anak Cikgu Mat Pedu (Fauzi dan Nasir) di tempat yang sama sekitar 1970an.
Di Kampung Tanjung Pedu terdapat komuniti siam beragama Buddha. Dahulu Kg Tanjung Pedu dikenali sebagai Camp Siam dan diketuai oleh Tok Geng (Ah Geng). Untuk mengeratkan perpaduan antara kaum, di kampung tersebut telah dibina sebuah dewan masyarakat untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan. Di samping sebuah dewan, turut dibina ialah gelanggang sepak takraw/badminton.
Bagi Fauzi dan Nasir, mereka akan mengayuh basikal sejauh 4km untuk bermain badminton di gelanggang tersebut bersama rakan-rakan pada petang hujung minggu. Gelanggang tersebut adalah yang terbaik di kampung tersebut kerana berturapkan simen.
Kalau bermain secara bergu, mereka akan berpasangan dua beradik. Adiknya Nasir akan mengawal di hadapan manakala Fauzi akan kawal di belakang. Permainan mereka agak hebat kerana sering mengalahkan lawan. Kalau bermain secara single, Fauzi lebih hebat daripada adiknya. Apa yang seronok ialah mereka akan memukul bulu ayam tersebut sehingga hampir togel bulunya. Penggunaan secara optimum kerana bukan mudah untuk membeli bulu ayam yang mahal. Walaupun tidak sehebat keluarga Misbun, tetapi semangat kesukanan anak-anak Cikgu Mat Pedu agak hebat.
Catatan:
1. Hari ini, Fauzi masih meneruskan aktiviti bermain badminton bersama-sama rakan stafnya dan dimaklumkan masih 'hebat' kerana masih digeruni oleh lawan.
2. Dalam banyak permainan badminton Fauzi banyak menggunakan trick yang dapat mengelirukan lawannya.
3. Nasir sudah lama menggantungkan reket badminton.
4. Khir dan Amir telah masuk dalam kelompok elit, hanya bermain golf.
5. Aiman, cucu Cikgu Mat Pedu, akan wakili Johor dalam pertandingan golf SUKMA 2010 di Melaka
6. Abang Mat, dulu hebat bermain tenis sehingga dapat mewakili UUM, tapi hari ini tak pasti, masih aktif atau tidak
7. Ahmad Syafiq, syok main futsal di UNIMAS.

Monday, February 15, 2010

KEMARAU 2

Musim kemarau adalah musim yang memeritkan, terutama bagi kaum ibu di Pedu. Ini kerana pada musim kemarau, air telaga akan kering kontang dan ini amat menyukarkan suri rumah. Bila musim kemarau kaum ibu akan berbondong-bondong ke sungai Pedu. Isteri Cikgu Mat Pedu dan anak-anaknya akan membawa pakaian keluarga untuk di cuci di sungai dan perjalanan ke sungai ialah hampir 2 km disamping membawa baldi untuk mengisi air apabila pulang nanti. Perjalanan ke Pengkalan Lubuk Pauh (Sg Pedu), terpaksa melalui bendang dan dusun dan cukup memenatkan. Tetapi apabila sampai di sungai anak-anaknya akan mandi dan bermain di sungai yang airnya begitu dingin, jernih dan menyegar. Di pengkalan itu , anak-anak akan mencari udang dalam celahan buluh atau banir-banir kayu. Kekadang sekawan kerbau akan turut sama bermandi di ulu sungai dan ini akan menyebabkan kemarahan kanak-kanak yang bermandi manda dan menghalau kerbau tersebut yang kemudian akan datang semula berendam kerana kepanasan.
Satu lagi pengkalan sungai yang popular ialah Pengkalan Titi Gantung untuk ke Padang Stol, Titi gantung tersebut adalah untuk kegunaan penduduk Padang Stol. Pangkalan tersebut lazim digunakan oleh anak saudaranya Asiah (isteri Ismail) untuk membasuh dan mandi manda. Disamping itu Kak Siah akan menjunjung air untuk dibawa balik ke rumah sehingga kadang-kadang basah kuyup, malah ada juga terjatuh dan tertumpah dijalanan.
Kemarau adalah satu siksaan tetapi kaum ibu di Pedu tetap bersyukur dengan ujian Allah. Kesabaran mereka tinggi. Air pili hanya disediakan oleh kerajaan di sekitar lewat 80an sahaja untuk masyarakat Pedu. Hari ini Sg Pedu, sudah semakin lesu dan tidak dipedulikan lagi oleh generasi baru.. Kemarau tidak memberi sebarang makna lagi untuk orang Pedu...

KEMARAU

Sekarang pertengahan Februari, adalah kemuncak musim kemarau di kawasan utara semenanjung terutama di Kedah dan Perlis. Di Pedu, tempat tinggal Cikgu Mat Pedu pada tahun 50an hingga 70an pada musim kemarau terdapat beberapa aktiviti oleh masyarakat tempatan.
Antara aktiviti lazim yang dilakukan ialah mengapit tebu. Ini kerana musim ini adalah musim yang sesuai untuk menebang tebu (bukan tebu untuk dibuat gula) yang ditanam oleh orang kampung. Apa yang menarik ialah kegiatan gotong royong memerah tebu iaitu menggunakan kerbau yang menarik alat pengapit yang diperbuat drp dua bongkah kayu yang besar. Batang-batang tebu kemudiannya akan dimasukkan dicelah bongkah kayu yang berpusing (ditarik oleh kerbau) dan air tebu akan ditadah dicelahan bongkah tersebut. Kerja mengapit tebu amat seronok sekali kerana selepas itu air tebu segar dapat diminum dan amat enak di musim kemarau. ( bagi kanak-kanak keenakannya lelehan air tebu hingga menjilat siku..)

Bagi orang muda Pedu pula, musim kemarau ialah musim untuk bermain wau. Pada waktu petang ramai anak muda akan datang bermain di padang sekolah Pedu. Riuh rendahlah kawasan padang sekolah Pedu dengan bunyi dengungan wau berlagu-lagu di udara. Terdapat pelbagai jenis wau dinaikkan. Bagi kanak-kanak kecil, mereka menggunakan sejenis daun (jenis pokok tumpang) kering dan diikat dengan benang dan dapatlah dinaikkan 5 - 10 meter di udara.Wau tersebut dikenali sebagai wau kikek. Atau kadang-kadang mereka mengoyak sehelai kertas buku tulis, dilipat dan dijadikan wau.. (buku tulis sekolah menjadi nipis pada musim bermain wau). Bagi yang ada wang, mereka membeli wau kertas berharga 10 atau 20 sen yang dilukis gambar kartun.
Orang muda dan dewasa pula lagi hebat permainan wau mereka... Wau-wau mereka sangat besar dan menarik kerana dipasangkan dengan dengung (bahannya dari daun ibus) dan talinya dibubuh kaca untuk digesel kepada wau-wau yang lain. Beberapa jenis wau yang popular ialah seperti wau jala budi dan wau bulan. Dua keseronokan yang diperolehi iaitu nikmat mendengar dengungan wau di udara dan merasa hebat jika dapat memutuskan tali wau lawan berada di udara. Walau bagaimanapun wau-wau anak muda Pedu tidak bersifat dekoratif seperti di pantai timur. Jika ada wau yang jatuh atau terputus tali, maka ramai kanak-kanak akan mengejar wau tersebut masuk ke Belukar Luas, iaitu hutan simpan bersebelahan sekolah Pedu ( tapak Sekolah Pedu sekarang). Kadang-kadang dapat ditemui , kadang-kadang hilang dalam belukar tersebut.
Bagi anak-anak Cikgu Mat Pedu terutama Fauzi dan Nasir, mereka bermula dengan wau kikek, wau kertas buku, wau kertas cina sehinggalah kepada wau bulan atau jala budi. Untuk wau besar terpaksalah ditempah daripada orang tua yqng pandai membuat wau seperti Cik Nuih (Junus), dll dengan harga RM 3 - 4.

KENDURI KAHWIN

Pada 14 Februari 2010, telah berlangsung majlis kenduri kahwin cucu Cikgu Mat Pedu yang pertama iaitu Firzah @ Fauziah. Walaupun dia cucu pertama, tetapi adik-adiknya telah bertemu jodoh lebih awal.
Kalau Cikgu Mat Pedu masih ada tentu dia amat gembira sekali....
Ramai sekali sanak saudara dari jauh dan dekat telah hadir memeriah majlis kenduri tersebut. Fisol begitu teruja dengan kehadiran tetamu yang ramai.
Sekarang cucu-cucu Cikgu Mat Pedu yang sedang menunggu giliran... mungkin Ipah, Abang Mat dan Syafiq dan cicitnya Nurul ( anak Pak Ali & Kak Chik). Mereka ini sudah layak masuk zon untuk berumah tangga, manakala yang lain seperti Zakuan, Syazwan, Aiman, Syafiqah, Arinah perlu belajar bersungguh-sungguh dan berjaya....
Turut menunggu senarai untuk kenduri kahwin pada tahun ini ialah Iwan, anak saudara Cikgu Mat Pedu yang tinggal di Pokok Sena. Insya Allah.
* Buat pengantin baharu : Firzah & Saiful, SELAMAT PENGANTIN BAHARU, BAHAGIA KE AKHIR HAYAT.



Thursday, January 7, 2010

KASUT BATA

Tahun 70an...
Setiap awal tahun, anak-anak Cikgu Mat Pedu begitu teruja untuk ke sekolah. Di tahun baru Fauzi, Nasir, Khir dan Amer akan mengenakan pakaian sekolah yang baru. Untuk baju sekolah, mereka akan memakai baju yang dijahit oleh emak mereka. Bagi Fauzi dan Nasir kekadang mereka boleh berkongsi baju untuk elak pembaziran. Lazimnya, Fauzilah yg paling gembira kerana setiap awal tahun dia akan dapat pakaian baru, manakala Nasir pula akan dapat baju second hand yang telah dipakai oleh abangnya pada tahun baru... Memang tidak membazir, tapi jiwa kanak-kanak ke kadang terasa juga...
Yang paling mengembirakan ialah apabila anak-anak Cikgu Mat Pedu dibelikan kasut yang special, yang akan diperhati oleh kawan-kawan ialah KASUT BADMINTON MASTER drp BATA. Tapaknya mesti warna hijau... Itu dikira kasut yg branded.
Setelah ayahanda tiada...
Terima kasih ayahanda, kerana membelikan aku sepasang kasut yg branded yang anakmu minta walaupun waktu itu ayahanda bukanlah mempunyai wang yang banyak. namun demi anak-anakmu , kau sanggup berkorban.
Bagi anak-anak sekolah hari ini jangan malas untuk mencuci kasut sekolahmu.. hargai kasut sekolahmu..

Sunday, December 13, 2009

CUTI SEKOLAH


Sekarang musim cuti sekolah. Orang kita sibuk kepada dua aktiviti utama iaitu kenduri dan melancong. Kalau kenduri, lazimnya kenduri kahwin dan bersunat manakala melancong dalam dan luar negara.
Kalau masa bercuti sekolah, Cikgu Mat Pedu akan membawa anak-anak ke kebun getah (sekangkang kera) di Kg. Pinang Pedu. Yang sering terlibat ialah Faisol, Fauzi dan Nasir.
Tugasan mereka ialah untuk membersihkan kebun getah tersebut yang dipenuhi dengan pokok-pokok belukar (secondary jungle). Kerja-kerja menebas sangat memenatkan dan amat tidak diminati kerana sebagai kanak-kanak seperti Fauzi dan Nasir mereka lebih gemar bermain-main sahaja.
Bagi Cikgu Mat Pedu, beliau mempunyai agenda lain yang tersembunyi, seperti apabila masuk ke kebun getah yang penuh semak samun dan di atas bukit dia juga turut mengajar anak-anaknya bagaimana 'memanggil' pelanduk yang banyak di dalam hutan bersebelahan kebun getah. Diajarnya kepada anak-anak bagaimana dengan menepuk-nepuk daun kering dengan ranting kayu dapat memanggil pelanduk datang dan menari-nari di celah-celah rimbunan pokok-pokok semak dalam kebun getah.
Agenda lain ialah dia mengajar anak-anak erti penat lelah penoreh yang terpaksa keluar awal pagi dan balik jam 2.00 petang selepas semua proses menoreh dilakukan.
Sebagai seorang ayah, Cikgu Mat Pedu berjaya membentuk anak-anaknya erti kehidupan yang sebenar. Susah dan senang...
Walau bagaimanapun bukan semua anak-anak Cikgu Mat Pedu mendapat pengalaman yang berharga. Khir dan Amer tidak pernah merasai penat lelah meneroka kebun getah tersebut. Hanya Fisol, Fauzi dan Nasir sahaja yang mempunyai pengalaman menebas kebun getah yang sekangkang kera itu. Yang lebih memahami jerit perih persoalan kebun getah tersebut ialah Cikgu Mat Pedu dan isterinya Hajah Puteh.

Catatan:
1. Fauzi tentu masih ingat bagaimana dia 'menipu' adiknya Nasir semasa menjunjung kayu api semasa balik daripada menebas di lorong yang dipenuhi limpahan air Sg Pedu. Dia berpura-pura lemas dan menyebabkan adiknya terpaksa menyelamat abangnya sehingga habis kayu api basah.

Monday, October 12, 2009

HARGA ROKOK NAIK LAGI !!!!!!


1. Beberapa minggu lalu kerajaan sekali lagi menaikkan harga rokok sebanyak 30 sen sekotak, menjadikan harga sekotak rokok sekitar RM8 - RM 9.30. Apakah kenaikan harga rokok akan mengurangkan perokok? Penulis mengaitkan isu merokok dengan tabiat merokok Cikgu Mat Pedu.
2. Seingat penulis, Cikgu Mat Pedu mula menghisap rokok semenjak remaja lagi. Semasa penulis masih kecil, penulis sudah melihat ayahanda Cikgu Mat Pedu menghisap rokok. Rokok yang menjadi ketagihan beliau ialah 'rokok tembak'. Apabila kehabisan rokok ayahanda akan menyuruh saya ke kedai membeli rokok tembak. Pada masa itu saya tidak tahu jenama rokok tersebut tetapi saya percaya istilah rokok tembak itu adalah berdasarkan gambar yang tertera pada kotak iaitu seorang penunggang kuda yang sedang mengacukan senapang sambil menunggang kuda. Hebat bukan! Apabila sudah bersekolah dan boleh membaca barulah saya tahu jenama rokok tersebut ialah 'Rough Rider'. Pada masa itu (sekitar 1970an harganya sekitar RM 1). Kadang-kadang kalau tak ada rokok tembak, ayahanda akan hisap rokok Craven A.
3. Ingatan tentang tabiat merokok ayahanda Cikgu Mat Pedu juga mengingatkan saya kepada jiran kami semasa kami tinggal di Pedu, iaitu isteri kepada seorang guru (Tn. Syed K****) yang saya dan adik beradik memanggilnya sebagai Umi. Ingatan ini kerana Umi juga seorang perokok tetapi secara sembunyi-sembunyi daripada anak-anaknya. Jadi apabila Cikgu Mat Pedu kehabisan rokok tembak dia akan meminta rokok daripada Umi atau sebaliknya. Ini semua menjadikan keluarga kami begitu mesra dan akrab sehingga sekarang.
4. Ingatan lain ialah tabiat merokok ayahanda semasa bulan Ramadhan. Selepas waktu bersahur, ayahanda akan terus merokok sehingga hampir masuk waktu imsak dan ini akan menimbulkan kemarahan emak.
5. Sejarah merokok ayahanda berterusan sehinggalah beliau mendapat kanser usus dan hanya berhenti apabila kansernya semakin serius.( tetapi sudah terlewat).
6. Hari ini, saya bagi keluarga Cikgu Mat Pedu amat berbangga kerana walaupun ayahanda seorang perokok tegar tetapi sebahagian besar anak-anaknya ( 5 orang) tidak merokok. ( Walaupun ada seorang anaknya dulu merokok, tetapi sekarang sudah berhenti merokok). Doa dan harapan penulis ialah cucu-cucu Cikgu Mat Pedu juga tidak merokok..