Monday, August 30, 2010

PERJALANAN BAHARU

Hari ini, 31 Ogos 2010 (sempena 53 tahun merdeka), seorang lagi cucu Cikgu Mat Pedu (CMP ) akan memulakan perjalanan baharu untuk menuntut ilmu. Bertepatan dengan tuntutan agama Islam yang syumul, Ahmad Syafiq akan melanjutkan pengajian peringkat sarjana di National Taiwan Ocean University dalam bidang akuakultur selama dua tahun.
Pemergian Ahmad Syafiq hanyalah meneruskan tradisi menuntut ilmu yang telah dilaksanakan oleh cucu, cucu saudara dan anak=anak CMP yang lain seperti Zakuan yang sedang menuntut di Russia, Mohd Khir yang telah belajar di US dan UK, Amerul di UK, Zambri di US dan Che Rus di UK dan Australia. Untuk Ahmad Syafiq, perjalanan hari agak berlainan dengan bapa saudara dan sepupunya kerana mereka semuanya menghala ke barat manakala dia ke timur.

Adalah menjadi harapan agar Ahmad Syafiq akan pulang dengan kejayaan iaitu segulung ijazah, pengetahuan baharu, dan menguasai bahasa mandarin. Semoga berjaya. Insya Allah.

Thursday, August 26, 2010

MENJELANG SYAWAL


Untuk anak-anak Cikgu Mat Pedu (CMP) sudahkah anda membeli sebuku sabun yang sering disediakan untuk mandi sunat Syawal. Masih kalian ingat sebuku sabun berwarna hijau dengan lambang seekor burung yang harum baunya yang dibeli oleh CMP khusus untuk mandi sunat aidil fitri.

Perlukah tradisi ini diteruskan untuk generasi CMP seterusnya. Masih adakah sabun tersebut dipasaran. Adakah kita menjadi konservatif apabila menggunakan sabun buku sebab sekarang telah bertukar dengan sabun mandi cecair atau body shampoo.

Untuk anak-anak CMP, fikir-fikirkan lah...

NUZUL QURAN


Hari ini nuzul Al Quran. Hari diturunkan al Ouran kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada bulan yang penuh barakah.

Bagaimanakah Cikgu Mat Pedu (CMP) mengimarakkan Ramadhan? Salah satu cara CMP mengimarakkan Ramadan ialah dengan membaca al-Quran sepanjang Ramadan. Beliau membaca secara berseorangan apabila ada masa lapangan.

Seingat penulis, membaca al quran telah lama menjadi amalan CMP kerana semasa penulis masih kanak-kanak lagi beliau telah membaca al-Quran. Semasa membaca, CMP akan meletakkan al Quran di atas bantal bukannya rehal. Tempat membaca senantiasa berubah-ubah, sekejap di ruang tamu, sekejap di dapur sambil menemani isteri memasak dan menyediakan juadah berbuka dan membaca sambil duduk bersila. Selepas bersara amalan membaca al Quran semakin aktif kerana dapat khatam 2 atau 3 kali sepanjang Ramadan.

Hari ini di kalangan anak-anak, cucu-cucu, dan suku sakat CMP siapakah yang meneruskan amalan mulia ini?

Untuk CMP... al-Fatihah.

Friday, July 2, 2010

BOLA SEPAK II


Musim Piala Dunia menjadikan semua warga dunia tertumpu kepada bola sepak. Pasukan negara dan pemain yang disokong menjadi bahan bualan di mana-mana..

Anak-anak Cikgu Mat Pedu (CMP) bagaimana anda semua?

Dari segi sejarah, semuanya berminat main bola. Anak sulong CMP, Fisol menjadi goolie untuk pasukan SRK Inggeris Kuala Nerang dan terus menjadi goolie semasa belajar di SM Jalan Day. Fauzi berada diposisi penyerang semasa di sekolah rendah dan sekolah menengah sehingga terlibat dengan pasukan belia. Nasir pula hanya mewakili pasukan bola sepak di sekolah rendah sahaja. Khir tidak pernah mewakili sekolah dalam bola sepak kerana dia tidak berminat sebaliknya menghabiskan masa dengan membaca, manakala Amir tidak pasti sama ada dia mewakili sekolah untuk bola sepak sebaliknya dalam bidang olahraga sehingga dapat belajar di Maktab Tentera Diraja, Sg. Besi .

Semasa di Pedu, dua anak CMP menyertai 'kelab' belia yang dikenali sebagai pasukan Pemuda Angkatan Muda Pedu (PAMP) dan pasukan itu menjadi kegerunan pasukan lain di mukim Pedu. Mereka pernah mengalahkan pasukan polis Kg Pinang yg hebat dan bertenaga semasa menyertai Liga 7 sebelah. Antara ahli pasukan PAMP ialah Man Yoma, Mat Hj. Rahman, Shawai Pak Teh Pa, Fauzi CMP, Nasir CMP, Halim, adik Man Yoma dan Rusdi Chu Run.

Secara umumnya anak CMP yang paling hebat dalam bidang bola sepak ialah Fauzi.. Syabas Fauzi!!!!!

Catatan

1. Bagaimana pula dengan cucu-cucu CMP

BOLA SEPAK



Sekarang musim bola sepak Piala Dunia. Penulis percaya jika Cikgu Mat Pedu masih ada dia juga peminat bola sepak.

Semasa bertugas sebagai guru besar di SK Pedu dia seorang yang cukup komited dengan bola sepak. Walau pun bukan sebagai jurulatih dia menjadi penaik semangat bagi pemain SK Pedu. Dahulu sekolah-sekolah rendah ada pertandingan bola sepak dan pasukan SK Pedu adalah antara pasukan yang digeruni di daerah Padang Terap di bawah bimbingan Cikgu Ah Teik Ah Geng, Cikgu Ahmad Hassan dan beberapa yang lain. Kalau lebih awal lagi murid Pedu dilatih oleh Tok Lateh Guru (antara guru terawal SK Pedu).

Pada hari pertandingan, Cikgu Mat Pedu sanggup berulang alik 2, 3 kali untuk membawa pasukan bola sepak SK Pedu bertanding di Kuala Nerang atau ke Bukit Tembaga. Antara pemain terbaik pada 1970an ialah Ghani "Bulat", Rosdi (penjaga gol), Man' Yoma', Ahmad Tok Hj Rahman, dll. Mereka bermain dengan baik dan hanya memakai guard kaki dan bukannya boot bola kerana rata-rata adalah pelajar miskin.

Sempena Piala Dunia segala kenang-kenangan bola sepak dapat dikongsi oleh anak cucu Cikgu Mat Pedu.




Catatan:


1. Bagaimana pula dengan anak-anak Cikgu Mat Pedu?


2. Siapakah di kalangan anak-anak CMP yang paling hebat?


Saturday, June 5, 2010

CUCU CIKGU MAT PEDU


Hari ini, seorang lagi cucu Cikgu Mat Pedu telah berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang sains dan pengurusan sumber akuatik. Dia adalah anak sulung kepada anak ketiga Cikgu Mat Pedu. Walaupun telah tamat pengajian, dia masih belum mendapat kerja dan pilihan lain ialah meneruskan pengajian ke peringkat sarjana.

Kalau Cikgu Mat Pedu masih ada tentu dia amat gembira dan bersyukur kerana baginya dia hanya inginkan anak cucu dan cicitnya berjaya dalam pencarian ilmu.

Bagi Cikgu Mat Pedu dia sanggup bergolok gadai jika anak-anaknya ingin belajar dan ingin berjaya. Dia amat percaya ilmu adalah penyuluh hidup. Sebab itulah dia sanggup merestui anak-anaknya belajar sampai ke Amerika seperti Md Khir dan Amer di England. Begitu juga jika dia masih ada hari ini dia pasti merestui cucunya yang sedang menuntut di Russia.

Catatan

1. Kepada sdra-sdra dan suku sakat Cikgu Mat Pedu, tolong beri cadangan kpd anak muda ini hala tujunya .. bekerja atau terus belajar.

2. Dia bukan cucu pertama yg tamat pengajian tinggi tapi Kak Ipah, Kak Cik, Abg Mat dll telah memperolehi ijazah lebih awal.

Wednesday, February 17, 2010

KENDURI KAHWIN: KAHWIN FISOL VS KAHWIN FIRZAH

Penulis ingin membuat perbandingan antara kenduri kahwin anak sulong Cikgu Mat Pedu dengan kenduri kahwin cucu sulong Cikgu Mat Pedu (Firzah) baru-baru ini.
Persamaan:- Kedua-dua majlis itu telah berjalan dengan lancar dan meriah serta dihadiri sanak saudara dan kaum keluarga dari jauh dan dekat.
Perbezaan:-
Sebelum Kenduri
1. Persediaan, dulu persediaan kenduri kahwin mengambil masa berbulan-bulan. Antara persediaan awal ialah mencari kayu api untuk memasak, menyediakan 'rokmo' atau tempat memasak dengan menggunakan kawah ( rokmo dibuat dengan menggali 2 lubang dalam tanah sedalam 3 - 4 kaki. Satu lubang adalah tempat meletakkan kawah. Satu lubang lagi digali bersebelahan lubang yang pertama dan perlu disambung ke lubang pertama tersebut. Lubang kedua berfungsi sebagai tempat masukkan kayu api dan pengudaraan. Jadi untuk kenduri yang besar memerlukan 4 rokmo ( 8 lubang) untuk memasak nasi dan gulai. Tempat makan tetamu dikenali sebagai bangsal yang atapnya diperbuat drp daun kelapa yang dianyam dan berlantai papan dan tiangnya ialah drp batang kelapa yang ditebang. Tempat makan pada masa itu tidak mempunyai bangku sebaliknya tetamu akan makan bersila di atas bangsal.
Persediaan memenatkan tetapi menimbulkan kepuasan dan kegembiraan kerana semua orang kampung dapat memberi sumbangan secara sukarela kepada tuan kenduri.
Sekarang, semua urusan diuruskan oleh tuan kenduri sama ada menyewa khemah atau menghubungi syarikat catering yg menyediakan makanan. Penglibatkan keluarga dan jiran sudah tiada. Hanya datang untuk makan kenduri sahaja.
Semasa Kenduri
1. Dulu, orang kampung akan membuat pengusung iaitu tempat mengisi hadiah seperti beras, gula, kopi , biskut dan lain-lain. Pengusung tersebut dibuat dalam pelbagai bentuk seperti perahu, atau haiwan seperti gajah, diperbuat daripada buluh dan dihias cantik. Orang kampung yang ingin memberi sumbangan kepada tuan kenduri akan memasukkan barang yang ingin dihadiahi ke dalam pengusung dan akan diusung (dipikul) beramai-ramai. Semasa mengusung 'perahu' atau 'gajah' maka riuh rendah bunyinya. Ini menambahkan kemeriahan majlis kendur i tersebut.
Untuk menjamu selera, tetamu akan makan secara berhidang iaitu 4 orang untuk satu hidang. Tetamu terpaksa tunggu sehingga 4 orang barulah hidangan diangkat. Juadahnya ialah 4 mangkuk gulai(setiap seorang 1 mangkuk), pajeri nanas dan kerabu taugeh bercampur perut serta 2 nasi tangkup. Untuk mencuci tangan dibekalkan satu koleh besar dan kadang-kadang koleh tersebut juga digunakan untuk minum secara berkongsi. Jangan minta sudu untuk menyudu gulai, hanya guna jari untuk kacau dan angkat mangkuk untuk tuang kuahnya. Sebab itulah satu mangkuk satu orang. Kalau mangkuk gulai anda sudah habis jangan pandai-pandai nak menggagau mangkuk orang lain.
Semasa kenduri kahwin anak sulong Cikgu Mat Pedu, banyaklah pengusung hadiah dari beberapa kampung dan komuniti siam Pedu.
Sekarang, semasa kenduri Firzah , cucu Cikgu Mat Pedu tetamu yang datang hanya menghadiahi tuan rumah dengan envelope yang mengandungi wang. Disamping itu rakan dan keluarga terdekat ada juga menghadiahi pengantin baru dengan bungkusan hadiah seperti cadar, pinggan mangkuk, album gambar untuk dijadikan tanda kenang-kenangan.
Untuk menjamu selera, tetamu akan dihidang secara buffet iaitu bebas mengambil makanan dan juga bebas untuk duduk di mana-mana tempat.
Kesimpulannya, sudah banyak perubahan yang sudah dan sedang berlaku berlaku dalam majlis kenduri kahwin dalam keluarga Cikgu Mat Pedu. Perbezaan semasa perkahwinan anak sulong dengan cucu sulong Cikgu Mat Pedu.
Catatan:
1. Bagaimana keadaan kenduri kahwin cicit-cicit Cikgu Mat Pedu nanti??