Wednesday, February 17, 2010

KENDURI KAHWIN: KAHWIN FISOL VS KAHWIN FIRZAH

Penulis ingin membuat perbandingan antara kenduri kahwin anak sulong Cikgu Mat Pedu dengan kenduri kahwin cucu sulong Cikgu Mat Pedu (Firzah) baru-baru ini.
Persamaan:- Kedua-dua majlis itu telah berjalan dengan lancar dan meriah serta dihadiri sanak saudara dan kaum keluarga dari jauh dan dekat.
Perbezaan:-
Sebelum Kenduri
1. Persediaan, dulu persediaan kenduri kahwin mengambil masa berbulan-bulan. Antara persediaan awal ialah mencari kayu api untuk memasak, menyediakan 'rokmo' atau tempat memasak dengan menggunakan kawah ( rokmo dibuat dengan menggali 2 lubang dalam tanah sedalam 3 - 4 kaki. Satu lubang adalah tempat meletakkan kawah. Satu lubang lagi digali bersebelahan lubang yang pertama dan perlu disambung ke lubang pertama tersebut. Lubang kedua berfungsi sebagai tempat masukkan kayu api dan pengudaraan. Jadi untuk kenduri yang besar memerlukan 4 rokmo ( 8 lubang) untuk memasak nasi dan gulai. Tempat makan tetamu dikenali sebagai bangsal yang atapnya diperbuat drp daun kelapa yang dianyam dan berlantai papan dan tiangnya ialah drp batang kelapa yang ditebang. Tempat makan pada masa itu tidak mempunyai bangku sebaliknya tetamu akan makan bersila di atas bangsal.
Persediaan memenatkan tetapi menimbulkan kepuasan dan kegembiraan kerana semua orang kampung dapat memberi sumbangan secara sukarela kepada tuan kenduri.
Sekarang, semua urusan diuruskan oleh tuan kenduri sama ada menyewa khemah atau menghubungi syarikat catering yg menyediakan makanan. Penglibatkan keluarga dan jiran sudah tiada. Hanya datang untuk makan kenduri sahaja.
Semasa Kenduri
1. Dulu, orang kampung akan membuat pengusung iaitu tempat mengisi hadiah seperti beras, gula, kopi , biskut dan lain-lain. Pengusung tersebut dibuat dalam pelbagai bentuk seperti perahu, atau haiwan seperti gajah, diperbuat daripada buluh dan dihias cantik. Orang kampung yang ingin memberi sumbangan kepada tuan kenduri akan memasukkan barang yang ingin dihadiahi ke dalam pengusung dan akan diusung (dipikul) beramai-ramai. Semasa mengusung 'perahu' atau 'gajah' maka riuh rendah bunyinya. Ini menambahkan kemeriahan majlis kendur i tersebut.
Untuk menjamu selera, tetamu akan makan secara berhidang iaitu 4 orang untuk satu hidang. Tetamu terpaksa tunggu sehingga 4 orang barulah hidangan diangkat. Juadahnya ialah 4 mangkuk gulai(setiap seorang 1 mangkuk), pajeri nanas dan kerabu taugeh bercampur perut serta 2 nasi tangkup. Untuk mencuci tangan dibekalkan satu koleh besar dan kadang-kadang koleh tersebut juga digunakan untuk minum secara berkongsi. Jangan minta sudu untuk menyudu gulai, hanya guna jari untuk kacau dan angkat mangkuk untuk tuang kuahnya. Sebab itulah satu mangkuk satu orang. Kalau mangkuk gulai anda sudah habis jangan pandai-pandai nak menggagau mangkuk orang lain.
Semasa kenduri kahwin anak sulong Cikgu Mat Pedu, banyaklah pengusung hadiah dari beberapa kampung dan komuniti siam Pedu.
Sekarang, semasa kenduri Firzah , cucu Cikgu Mat Pedu tetamu yang datang hanya menghadiahi tuan rumah dengan envelope yang mengandungi wang. Disamping itu rakan dan keluarga terdekat ada juga menghadiahi pengantin baru dengan bungkusan hadiah seperti cadar, pinggan mangkuk, album gambar untuk dijadikan tanda kenang-kenangan.
Untuk menjamu selera, tetamu akan dihidang secara buffet iaitu bebas mengambil makanan dan juga bebas untuk duduk di mana-mana tempat.
Kesimpulannya, sudah banyak perubahan yang sudah dan sedang berlaku berlaku dalam majlis kenduri kahwin dalam keluarga Cikgu Mat Pedu. Perbezaan semasa perkahwinan anak sulong dengan cucu sulong Cikgu Mat Pedu.
Catatan:
1. Bagaimana keadaan kenduri kahwin cicit-cicit Cikgu Mat Pedu nanti??

No comments:

Post a Comment