Monday, February 9, 2009

Cikgu Mat Pedu Dan Kuarters Guru

Sepanjang kerjaya Cikgu Mat Pedu sebagai guru dia berkesempatan untuk tinggal di kuarters kerajaan di dua tempat iaitu di kuarters guru SK Bohor, Hutan Kampung dan di SK Kuah, Pulau Langkawi ( sekarang dikenali sebagai SK Seri Negeri, di hadapan Masjid Al-Hana, Kuah). Semasa di Pedu tiada kuarters guru disediakan oleh kerajaan, jadi terpaksa membina rumah sendiri di atas tanah sekolah dan kemudian membeli sebidang tanah di belakang SK Pedu ( sekarang blok yang lama di seberang jalan). Dia kemudian membina sebuah rumah sendiri di atas tanah tersebut.
Apabila ditukarkan ke SK Bohor, Hutan Kampung pada 1975 dia terpaksa membawa keluarga ke tempat tinggal yang baru. Di sekolah tersebut terdapat dua unit rumah guru, satu diduduki oleh Cikgu Hassan dan isterinya Cikgu Jamilah manakala satu unit lagi terbiar kosong dan rosak dan pihak sekolah tidak berhasrat untuk membaikinya.
Cikgu Mat Pedu tiada pilihan untuk menempatkan keluarganya, maka dia terpaksa juga tinggal di rumah guru yang terbiar itu. Guru Besar, Mr. Phang Boon Khing ketika itu tidak mengambil inisiatif untuk membantu Cikgu Mat Pedu dan hanya sekadar membenarkan dia tinggal di rumah guru yang terbiar dan rosak.
Sebagai seorang guru lama, tentu Cikgu Mat Pedu kecewa dengan sikap guru besarnya yang tidak prihatin dan tidak ambil peduli kebajikan anak buahnya. Dia mengambil langkah dengan mengeluarkan belanja untuk memasang elektrik dan air, membersih rumah yang bertahun-tahun tidak diduduki dan kotor. Anak-anak diarah untuk mencuci dan membersih rumah tersebut. Pintu tingkap yang tertanggal diupah tukang untuk dibaiki. Akhirnya dapatlah dia sekeluarga tinggal di kuaters usang dan terbuang selama hampir tiga tahun dan kemudian berpindah ke rumah barunya di Taman Uda, Jalan Sultanah.
Keadaan perit dan sukar mendapat kuaters sekali lagi berulang pada tahun 1980 apabila sekali lagi Cikgu Mat Pedu ditukarkan ke SK Ladang Sungai Raya, Jln. Kisap, Pulau Langkawi, walaupun pada waktu itu dia hampir hendak bersara. Sekali lagi, masalah tempat tinggal menjadi masalah kerana pada waktu itu Pulau Langkawi belum membangun dan bagi sesetengah orang dianggap sebagai tempat buangan daerah penjawat awam di negeri Kedah. Oleh kerana di SK Ladang Sg Raya tidak mempunyai kuarters, Cikgu Mat Pedu merayu pihak Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Langkawi untuk membenarkan dia untuk tinggal di kuarters papan yang usang dan uzur di SK Kuah (bersebelahan pejabat PPD). Kuarters itu sebenarnya telah dijadikan stor untuk menyimpan kerusi dan meja yang patah dan tempat simpanan buku-buku terbuang SK Kuah. Kuarters itu juga sering dinaiki air apabila hujan lebat.
Dengan keadaan kuarters yang cukup uzur, pihak guru besar dan PPD Langkawi beranggapan tentu Cikgu Mat Pedu tidak sanggup untuk tinggal di rumah tersebut. Tetapi dengan kegigihan seperti yang ditunjukkan semasa membaik pulih kuarters di Hutan Kampung dia akhirnya dapat tinggal di kuarters buruk itu. Alhamdulillah di kuarters itulah Cikgu Mat Pedu tinggal bersama isteri dan anak bongsunya Amer serta anak angkat Latiff seorang juru teknik Jabatan Perumahan Negara yang ditugaskan untuk menyelia projek perumahan kos rendah di Langkawi.
Kuarters yang buruk dan tidak terurus oleh pihak sekolah telah menjadi 'istana' kepada Cikgu Mat Pedu sekeluarga. Semua kos untuk membaik pulih kuarters tersebut ditanggung oleh Cikgu Mat Pedu pada awalnya.
Apa yang lebih menarik, apabila hujan lebat, kuarters itu akan digenangi air hujan di bawah rumah dan akan terdapat ikan puyu dan keli berenang di bawah rumah dan bagi Amer danLatiff mereka hanya memancing dari celahan papan lantai rumah untuk mendapatkan ikan puyu dan keli. Jika orang lain terpaksa ke sawah dan sungai mereka hanya duduk di atas rumah dan terus memancing.
Walau bagaimanapun ada juga insiden sedih, iaitu apabila pihak sekolah mengunci bilik tandas sekolah kerana tidak membenarkan keluarga Cikgu Mat Pedu menggunakan tandas sekolah. Sebenarnya di kuarters itu tidak terdapat tandas dan Cikgu Mat Pedu terpaksa memohon ehsan pihak sekolah membenarkan mereka menggunakan tandas sekolah ( itupun sekadar untuk membuang air besar sahaja). Bayangkan jika dalam situasi 'cemas' tiba-tiba kita tidak dapat menggunakan tandas. Inilah situasi dan tingkahlaku sesama kekeluarga pendidik, kita tidak mahu bekerjasama dan saling tolong menolong apatah lagi jika ditambah dengan perasaan hasad dengki.
Ada juga peristiwa di mana pihak sekolah cepat meninjau dan membantu untuk melihat kuarters tempat tinggal Cikgu Mat Pedu sekeluarga. Ini berlaku apabila pegawai audit sekolah datang untuk mengaudit sekolah tersebut dan kebetulan salah seorang pegawai audit tersebut adalah anak buah Cikgu Mat Pedu dan membuat "lodging" di kuarters tersebut, pihak sekolah baru datang dan bertanya masalah. Inilah budaya kita, bila orang besar datang kita baharu terhegeh-hegeh untuk menunjuk simpati.
Bagi Cikgu Mat Pedu, pengalaman susah senang di tempat orang mungkin menjadi asam garam kehidupannya sekeluarga, tetapi bagi anak-anaknya,tindak tanduk segelintir pegawai pelajaran(GB dan PPD) gagal melaksanakan amanah mereka dalam dunia pendidikan. Mereka bercakap tentang nilai dan moral tetapi mereka sendiri gagal melaksanakan. Cakap Tak Serupa Bikin!!!
Hari ini, kedua-dua kuarters tempat tinggal itu telah berkubur. Di SK Bohor, di atas tapak kuarters itu telah di dirikan apartmen guru manakala di P. Langkawi tapak kuarters itu telah dibina bilik-bilik darjah.
Yang masih kukuh dan tersemat diingatan ahli keluarga Cikgu Mat Pedu, ialah kegigihan dan azam kuat yang dimiliki oleh Cikgu Mat Pedu dalam mengharungi cabaran dan dugaan dalam kehidupan.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Salam.
    1. Rasanya tajuk yang lebih sesuai ialah "... kuarters guru" & bukan "... "kuarters kerajaan" kerana ini lebih melambangkan realiti sebenar dunia pendidikan dari dulu hingga sekarang.
    2. Cerita ini HANYALAH sebahagian kecil dari asam garam perjalanan hidup Cikgu Mat Pedu dalam perkhidmatan perguruan. Banyak lagi... Satu yang menarik ialah bagaimana gaji beliau dipotong oleh Guru Besar (dikenali dgn Cikgu H***** D**** - sdr sepupu Cikgu Mat Pedu). Beliau ketika itu mengajar SK Kurung Hitam.
    3. Nak tahu kenapa gaji Cikgu Mat Pedu dipotong? Kerana tidak hadir bertugas.
    4. Nak tahu kenapa tidak hadir bertugas?
    Sebab pada hari itu emaknya (Hjh Selamah) meninggal dunia - H***** D**** tahu sebab dia pun pergi ziarah). Tapi gaji kena potong juga. Pejabat Pelajaran pun lulus juga pemotongan tersebut.
    Entahlah, dunia2x ... sesungguhnya pemotongan gaji tersebut (oleh saudara sepupu sendiri pula tu) membawa banyak kesan, bukan sahaja dari segi perkhidmatan tetapi juga dari segi emosi dan kesannya bukan sahaja kepada Cikgu Mat Pedu tetapi juga bagi anak-anaknya yang tahu cerita ini.
    Nota:
    Jadikan amal memberi sedekah / pahala bacaan Fatihah setiap hari kepada: (1) mereka yang membuat kebaikan kepada kita; (2) mereka yang kita zalimi; dan (3) mereka yang menzalimi kita.

    ReplyDelete