Sunday, March 8, 2009

Cikgu Mat Pedu : Orang Ulu

Cikgu Mat Pedu adalah anak mukim Pedu jati. Dia lahir, besar dan sebahagian besar kerjaya gurunya dihabiskan di Pedu. Jadi amat tepat dia mendapat gelaran "Pedu".
Pedu adalah nama sebuah mukim yang terletak dalam daerah Padang Terap dengan ibu daerahnya ialah Kuala Nerang. Bagi orang Kedah, Pedu dan daerah Padang Terap adalah daerah ulu dan mundur. Takrif orang ulu telah mendapat ulasan daripada Tun Dr Mahathir ( layari blog: http://chedet.co.cc/chedetblog/)
Sebagai anak Pedu dan orang ulu, masyarakat Pedu termasuk Cikgu Mat Pedu mempunyai beberapa kelainan daripada orang hilir (istilah yang merujuk kepada orang Kedah yang tinggal di sekitar bandar Alor Setar)
Kelainan yang paling ketara ialah dari segi tutur kata. Semua orang Pedu bertutur mengikut dialek Melayu Pattani, di Selatan Thai atau masyarakat Kelantan. Dialek dan loghat Pedu adalah sama dengan masyarakat Sik dan Baling yang berkemungkinan berasal dari rumpun melayu yang sama dengan masyarakat Pattani di selatan Thai. Kalau orang hilir (bandar) Kedah bertanya kemana anda hendak pergi dengan loghat Kedah iaitu " hang nak pi mana?" (yang dianggap bahasa standard Kedah), masyarakat Cikgu Mat Pedu akan menuturkan seperti berikut; "Mu nak gi ko na?". Istilah lain yang digunakan oleh masyarakat Pedu ialah seperti khelik (balik), ' a' ( air), ' wat pa' (buat apa?), mu (kamu) dan banyak lagi. Secara umumnya dialek atau loghat bahasa itu sebenarnya telah diringkaskan atau dipendekkan sebutannya.
Oleh kerana dialek yang berlainan, maka orang Pedu jika mereka keluar daripada lengkungan masyarakatnya mereka akan merasa rendah diri dan mempunyai tahap inferioriti kompleks yang tinggi. Oleh itu mereka akan kurang bertutur dengan orang luar.
Kelainan lain ialah nama gelaran kepada ibu dan bapa yang mempunyai anak. Apabila seseorang bapa mempunyai anak, maka masyarakat akan memanggilnya dengan gelaran nama anak sulung. Contohnya, Cikgu Mat Pedu mempunyai anak lelaki sulung bernama Fisol, maka selain daripada nama Cikgu Mat Pedu, dia juga dipanggil dengan nama gelaran Pak Fisol manakala isterinya dipanggil Mak Fishol. Jadi dalam masyarakat Pedu, akan ada Pak Sara dan Mak Sara (merujuk nama anak pertama mereka, Sara ), Pak Hawa dan Mak Hawa dan begitulah seterusnya. Jadi jika kita bertanya nama individu itu sendiri, mungkin masyarakat tidak akan tahu kecuali jika kita kaitkan nama anak sulung mereka.
Begitulah uniknya masyarakat Pedu dari sudut sosiologi dan antropologi yang diwarisi oleh Cikgu Mat Pedu.
Hari ini, nampaknya dialek dan loghat Pedu makin pupus, Anak-anak muda tidak lagi bertutur menggunakan loghat Pedu kerana mereka telah terdedah dengan dunia luar ( orang hilir ). Hanya generasi lama sahaja yang masih menuturkan loghat tersebut. Begitu juga dengan gelaran mengikut nama anak sulung juga semakin dilupakan. Pembangunan, telah merubah world view anak-anak Pedu. Walau bagaimanapun masyarakat Pedu patut berbangga kerana budaya menyebut istilah secara ringkas yang dipraktikkan dalam masyarakat mereka kini digunakan secara meluas dalam budaya sms.

6 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Saya ingat-ingat lupa... Ada yang dikenali sebagai Pak Leha dan Mak Leha?

    Khir
    Anak No 4

    ReplyDelete
  3. Salam.
    Bagaimana dengan Pak Syafiq & Mak Syafiq?

    ReplyDelete
  4. Kalau kat Johor, anak bungsu Cikgu Mat Pedu kita panggil Pak Aiman dan Mak Aiman...

    Khir

    ReplyDelete
  5. O mcm tu ka ceritanya kesusahan pak menakan & sepupu2 ku dulu. Saya anak menakan Cikgu Mat Pedu anak kepada Cikgu Mad Pokok Sena. Hehehe. :)

    ReplyDelete
  6. boo tak thu nak oyat cita mu.ni.best wang ooo...boleh belaka lorat orang kita walaupun tk branak di pedu kita org koneeang pon thu la cekap gini...cakp hiir ni ku jaja sapei ke kl dan sarawak mu tha.unik pa..

    ReplyDelete