Showing posts with label anak didik. Show all posts
Showing posts with label anak didik. Show all posts

Thursday, January 1, 2009

Cikgu Mat Pedu Garang 1

Cikgu Mat Pedu di mata anak muridnya ialah seorang yang sangat garang. Jika ditanya kepada anak murid yang belajar di SK Pedu, rata-rata mengatakan dia seorang yang sangat garang. Menurut Musa anak Pak Lahim , Kg. Seladang Rebah semasa dia belajar dengan Cikgu Mat Pedu, dia akan lari jika nampak Cikgu Mat Pedu kerana takut dan hormat. Begitu juga rakan-rakannya yang lain, mereka akan lari bertempiaran jika nampak atau dengar suara Cikgu Mat Pedu. Di sekolah, Cikgu Mat Pedu akan merotan murid-muridnya jika mereka malas belajar dan tindakannya merotan tidak mendapat tentangan daripada ibu bapa. Mereka menyerah 100 peratus kepada pihak sekolah untuk mengambil tindakan jika anak mereka bersalah. Itu dahulu... Hari ini jika Cikgu Mat Pedu bertindak demikian sudah pasti ibu bapa akan marah dan mungkin ambil tindakan mahkamah.
Menurut Musa lagi, kalau Cikgu Mat Pedu marah kepada anak muridnya, dia akan kata , binatang....... lembu....... Istilah ini lazimnya digunakan apabila anak muridnya malas menyiapkan kerja rumah atau belajar. Menurut Musa, ada satu peristiwa lucu telah berlaku apabila cikgu Mat memarahi anak muridnya.
Kisahnya begini...
Pada satu petang , di padang SK Pedu, ada anak murid yang telah melaku kesalahan dan dia telah dimarahi oleh Cikgu Mat Pedu dengan herdikan.. " binatang.... lembu.....". Tetapi secara selamba murid itu menjawab, "Bukan lembu cikgu, kerbau.." kerana dia merujuk ada beberapa ekor kerbau orang kampung yang sedang berkeliaran di padang sekolah. Mendengar jawapan anak murid itu Cikgu Mat Pedu mendengus dan beredar dari situ. Sebenarnya diminda anak muridnya itu menyangkakan cikgunya menyuruh dia menghalau kerbau di padang sekolah tetapi menyebut sebagai lembu. Sebab itu dia cuba membetulkan dengan mengatakan bukan lembu tetapi kerbau, sedangkan dia tidak sedar bahawa Cikgu Mat Pedu sedang memarahinya.
( cerita-cerita lain akan diceritakan lagi........)




Monday, December 29, 2008

Anak-anak Murid Cikgu Mat Pedu 1

Cikgu Mat Pedu mempunyai ramai anak murid terutama semasa dia mengajar SK Pedu. Salah seorang anak muridnya yang berjaya ialah Ismail bin Ahmad. Walaupun bapanya buta huruf dan tinggal jauh dari SK Pedu iaitu di Kg Kuala Tekai, dia seorang murid yang gigih. Kegigihan dan kesungguhan dalam pelajaran menjadikan dia seorang pelajar cemerlang. Dia dapat melanjutkan pelajaran ke SM Sultan Abdul Halim Jenan dan seterusnya ke Universiti Malaya. Dialah anak lulusan SK Pedu yang pertama melanjutkan pelajaran ke universiti. Di kalangan masyarakat Pedu dia dikenali sebagai Ismail U dan di kalangan rakan pendidik sebagai Ismail Pedu ( nampaknya dia mewarisi gelaran Pedu selepas Cikgu Mat )
Setelah tamat pengajian Ismail menjawat jawatan sebagai seorang pendidik. Jawatan terakhirnya ialah sebagai Pengarah Pelajaran Negeri Perlis dan kini sudah bersara.
Sesungguh Cikgu Mat Pedu amat berbangga jika dia masih ada hari di atas kejayaan anak didiknya. Bagi seorang guru itulah hadiah yang paling berharga.... kejayaan anak didik mereka. Ismail Ahmad hanyalah satu daripada beribu kejayaan anak didik Cikgu Mat Pedu.
(Kisah kejayaan anak didik Cikgu Mat Pedu akan diceritakan lagi.......... )