Anak ke empat Cikgu Mat Pedu ialah Mohd Khir. Nama ini diambil sempena nama mantan Menteri Pelajaran YB Khir Johari. Dia agak hebat sedikit, kerana dilahirkan di hospital kerajaan di Alor Star sedangkan pada waktu itu masyarakat tidak suka pergi hospital kalau nak bersalin atau sakit demam.
Semasa kecil, walaupun Khir dijaga dengan baik oleh ibunya, dia juga dijaga oleh nenek angkat yang dikenali sebagai Tok Lang Bunga. Tok Lang Bunga ialah seorang ibu tunggal dan tidak mempunyai anak justeru itu kasih sayangnya ditumpahkan kepada Khir bagai menatang minyak yang penuh. Khir dari kecil akan dikilek dengan menggunakan sehelai kain yang diselepangkan dibahunya dan di bawa ke merata kampung tanpa penat dan lelah. Kadang-kadang tingkah laku Tok Lang Bunga kepada Khir yang begitu memanjakannya menyebabkan abang-abangnya Fauzi dan Nasir merasa iri hati. Contohnya jika dia membawa buah hutan yang tumbuh meliar di kampung seperti buah kemunting ( sejenis pokok tumbuhan renik) atau buah keriang batu ( pokok besar dan lazimnya tumbuh ditepi sawah bendang) atau buah setol, dia akan sembunyikan buah itu sehingga dia bertemu Khir barulah diberikan. Khir digalas dan dikilik oleh Tok Lang Bunga sehingga ke usia tiga empat tahun, sedangkan bagi kanak-kanak yang sebaya dengannya telah berlari di padang. Demikianlah hebatnya Khir diusia kanak-kanak.
Khir tidak seperti abang-abangnya dalam pendidikan. Dia mendapat pendidikan pra sekolah (tadika) di Kuala Nerang pada usia enam tahun. Dia agak bernasib baik, kerana Cikgu tadika itu Cikgu Khadijah Lazim (Hatiah) menyewa rumah bersebelahan dengan rumah Cikgu Mat Pedu walaupun terpaksa berulang aling dari Pedu ke Kuala Nerang. Ini kerana dia selesa tinggal bersama sepupunya Ustazah Sofiah Bakar yang mengajar di SK Pedu. Waktu itu di Pedu belum ada lagi kelas tadika atau pra sekolah.
Khir semasa kecil seorang anak yang sangat cerewet baik dari segi makan minum atau pakaian. Semasa kecil dia hanya makan nasi dengan telur goreng dan ikan kembung sahaja. Untuk telur goreng umpamanya, kadang-kadang ibunya terpaksa menggoreng dua tiga kali disebabkan sikap cerewetnya kerana bila digoreng, dia hendak yang tidak terlalu masak atau terlalu keras. Jadi serba tak kena. Begitu juga dengan pakaian sekolahnya. Kadang=kadang jika kasut yang baru dibasuh tapi masih ada sikit kekotoran dia akan buat hal. Menurut ibunya, menguruskan Khir semasa kecil cukup memenatkan.
( Kisah anak ke empat anak Cikgu Mat Pedu akan disambung lagi........)
Visiting Grands
7 years ago
No comments:
Post a Comment