Monday, December 29, 2008

Anak Ketiga Cikgu Mat Pedu 1

Anak ketiga Cikgu Mat Pedu ialah Nasir atau panggilan ringkas Cet. Status di kalangan anak-anak saudara ialah Pak Ndak. Menurut cerita ibunya, Nasir seorang anak yang baik semenjak kecil. Dia boleh ditinggalkan kepada sesiapa sahaja, jika ibunya ingin ke mana-mana. Dia jarang meragam dan buat hal.
Semasa kecil, Nasir banyak menjadi pak turut kepada abangnya Fauzi. Jika abangnya buat sesuatu atau diarahkan oleh abangnya dia akan ikut. Contohnya abangnya gemar bermain gitar, maka dia disuruh abangnya main drum. Jadi mereka berusahalah buat drum sendiri dengan mencari periuk belanga dan tong air sahara (tong khas yang dibawa oleh ayah mereka untuk mengisi air zam-zam semasa menunaikan fardhu haji dengan kapal air). Walaupun tidak begitu berminat, oleh kerana disuruh oleh abangnya dia ikut juga. Begitu juga semasa bermain bola, jika abangnya mempunyai kasut bola, dia hanya berkaki ayam. Walau bagaimanapun pasukan bola mereka PAMP sering menjadi johan terutama semasa pertandingan 7 sebelah. Demikianlah kuatnya pengaruh abangnya dalam hidup Nasir.
Seperti abangnya, dia mendapat pendidikan awal di Kuala Nerang English Primary School dan untuk ke sekolah dia akan naik bas MARA dengan menggunakan kad bulanan RM7.00 dan membawa wang saku sebanyak 20 sen sehari.
Setelah menamatkan persekolahan rendah dia menyambung pelajaran menengah di SMDSA (sekarang SMKDSA) bersebelahan dengan sekolah rendahnya. Pada awalnya dia mengayuh basikal dari rumah ke sekolah kira-kira 7 batu (12km) bersama sepupunya Mahadzir. Tahun berikutnya dia menaiki bas dan tinggal di asrama SMKDSA untuk memudahkan pengajian. Dia berjaya menamatkan pengajian LCE dan MCE (aliran Inggeris) di sekolah tersebut. Dia kemudian melanjutkan pengajian ke tingkatan enam di Kolej Sultan Abdul Hamid selama dua tahun dan memperoleh sijih penuh peperiksaan HSC pada tahun 1978.
( Kisah Nasir akan diceritakan lagi .............. )

1 comment:

  1. LAGI TENTANG CET
    Walaupun anak ketiga & dikatakan pak turut (???) tetapi dalam banyak hal beliau sebenarnya seorang yang hebat. Beliau banyak jadi ‘the first atau/dan the one & only’ in the family Antaranya:
    1. menjadi ketua pengawas SM Datuk Syed Ahmad, Kuala Nerang.
    2. menjadi ketua Rumah Singa (rumah sukan) semasa menuntut di SMSDA. Selaku ketua rumah, Cet diberi penghormatan sebagai pembawa bendera rumah (warna kuning – kalau tak salah ingatan) semasa perbarisan pembukaan Kejohanan Olahraga Tahunan SMDSA.
    3. menjadi pensyarah institut perguruan (maktab perguruan).
    4. diminta dan menerima permintaan keluarga untuk berkahwin sepupu.
    5. mewarisi minat ayahandanya dalam bidang pertanian – bercucuk tanam (kebun getah & dusun buah-buahan).
    6. mengikut jejak ayahandanya mengajar di Langkawi (SMK Mahsuri)
    7. lulus HSC – Higher School Certificate (kini STPM) dengan memperolehi sijil penuh.
    8. Layak ke Tingkatan 6
    9. Menjadi pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star.
    10. ... dan banyak lagi.

    ReplyDelete