Monday, December 29, 2008

Anak-anak Murid Cikgu Mat Pedu 1

Cikgu Mat Pedu mempunyai ramai anak murid terutama semasa dia mengajar SK Pedu. Salah seorang anak muridnya yang berjaya ialah Ismail bin Ahmad. Walaupun bapanya buta huruf dan tinggal jauh dari SK Pedu iaitu di Kg Kuala Tekai, dia seorang murid yang gigih. Kegigihan dan kesungguhan dalam pelajaran menjadikan dia seorang pelajar cemerlang. Dia dapat melanjutkan pelajaran ke SM Sultan Abdul Halim Jenan dan seterusnya ke Universiti Malaya. Dialah anak lulusan SK Pedu yang pertama melanjutkan pelajaran ke universiti. Di kalangan masyarakat Pedu dia dikenali sebagai Ismail U dan di kalangan rakan pendidik sebagai Ismail Pedu ( nampaknya dia mewarisi gelaran Pedu selepas Cikgu Mat )
Setelah tamat pengajian Ismail menjawat jawatan sebagai seorang pendidik. Jawatan terakhirnya ialah sebagai Pengarah Pelajaran Negeri Perlis dan kini sudah bersara.
Sesungguh Cikgu Mat Pedu amat berbangga jika dia masih ada hari di atas kejayaan anak didiknya. Bagi seorang guru itulah hadiah yang paling berharga.... kejayaan anak didik mereka. Ismail Ahmad hanyalah satu daripada beribu kejayaan anak didik Cikgu Mat Pedu.
(Kisah kejayaan anak didik Cikgu Mat Pedu akan diceritakan lagi.......... )

Anak Ketiga Cikgu Mat Pedu 1

Anak ketiga Cikgu Mat Pedu ialah Nasir atau panggilan ringkas Cet. Status di kalangan anak-anak saudara ialah Pak Ndak. Menurut cerita ibunya, Nasir seorang anak yang baik semenjak kecil. Dia boleh ditinggalkan kepada sesiapa sahaja, jika ibunya ingin ke mana-mana. Dia jarang meragam dan buat hal.
Semasa kecil, Nasir banyak menjadi pak turut kepada abangnya Fauzi. Jika abangnya buat sesuatu atau diarahkan oleh abangnya dia akan ikut. Contohnya abangnya gemar bermain gitar, maka dia disuruh abangnya main drum. Jadi mereka berusahalah buat drum sendiri dengan mencari periuk belanga dan tong air sahara (tong khas yang dibawa oleh ayah mereka untuk mengisi air zam-zam semasa menunaikan fardhu haji dengan kapal air). Walaupun tidak begitu berminat, oleh kerana disuruh oleh abangnya dia ikut juga. Begitu juga semasa bermain bola, jika abangnya mempunyai kasut bola, dia hanya berkaki ayam. Walau bagaimanapun pasukan bola mereka PAMP sering menjadi johan terutama semasa pertandingan 7 sebelah. Demikianlah kuatnya pengaruh abangnya dalam hidup Nasir.
Seperti abangnya, dia mendapat pendidikan awal di Kuala Nerang English Primary School dan untuk ke sekolah dia akan naik bas MARA dengan menggunakan kad bulanan RM7.00 dan membawa wang saku sebanyak 20 sen sehari.
Setelah menamatkan persekolahan rendah dia menyambung pelajaran menengah di SMDSA (sekarang SMKDSA) bersebelahan dengan sekolah rendahnya. Pada awalnya dia mengayuh basikal dari rumah ke sekolah kira-kira 7 batu (12km) bersama sepupunya Mahadzir. Tahun berikutnya dia menaiki bas dan tinggal di asrama SMKDSA untuk memudahkan pengajian. Dia berjaya menamatkan pengajian LCE dan MCE (aliran Inggeris) di sekolah tersebut. Dia kemudian melanjutkan pengajian ke tingkatan enam di Kolej Sultan Abdul Hamid selama dua tahun dan memperoleh sijih penuh peperiksaan HSC pada tahun 1978.
( Kisah Nasir akan diceritakan lagi .............. )

Thursday, December 25, 2008

Anak-anak Saudara Cikgu Mat Pedu

Cikgu Mat Pedu mempunyai ramai anak-anak saudara sama ada di sebelahnya atau sebelah isteri. Walaupun ramai, hanya ada beberapa orang diberi perhatian dan bimbingan dalam membentuk pekerti ,kerjaya dan haluan hidup mereka. Antara mereka ialah anak kakaknya bernama Jah iaitu Ismail dan Aisyah @ Chah. Mereka anak yatim diusia muda apabila ayah mereka Ahmad meninggal dunia. Oleh sebab itu Cikgu Mat Pedu memberi perhatian yang lebih kepada kedua anak saudara ini dengan membantu memberi pelajaran dan mengahwinkan mereka.
Anak saudara yang lain ialah Zainun@Zainol dan Wahab yang juga kematian bapa mereka Said ( adik Cikgu Mat Pedu ) ketika mereka masih kecil. Walaupun di bawah jagaan ibu mereka Ramlah, Cikgu Mat Pedu terus membantu dan menguruskan dan memberi semangat untuk mereka belajar.
Selain anak-anak saudaranya yang di atas, anak saudara sepupunya juga mendapat bimbingannya terutama dalam pendidikan ialah Mohd Noh dan Mohd Zain, anak Kadir ( Pak Long Janggut) dengan Romlah ( Mak Mek Melah).
Oleh kerana Cikgu Mat Pedu tidak mempunyai anak perempuan, dia mengambil anak saudara sebelah isterinya bernama Zainah untuk dijadikan anak angkat dan menyekolahkannya sehingga dewasa.
Cerita mengenai anak-anak saudara Cikgu Mat Pedu akan disambung...............

Anak Ke empat Cikgu Mat Pedu 1

Anak ke empat Cikgu Mat Pedu ialah Mohd Khir. Nama ini diambil sempena nama mantan Menteri Pelajaran YB Khir Johari. Dia agak hebat sedikit, kerana dilahirkan di hospital kerajaan di Alor Star sedangkan pada waktu itu masyarakat tidak suka pergi hospital kalau nak bersalin atau sakit demam.
Semasa kecil, walaupun Khir dijaga dengan baik oleh ibunya, dia juga dijaga oleh nenek angkat yang dikenali sebagai Tok Lang Bunga. Tok Lang Bunga ialah seorang ibu tunggal dan tidak mempunyai anak justeru itu kasih sayangnya ditumpahkan kepada Khir bagai menatang minyak yang penuh. Khir dari kecil akan dikilek dengan menggunakan sehelai kain yang diselepangkan dibahunya dan di bawa ke merata kampung tanpa penat dan lelah. Kadang-kadang tingkah laku Tok Lang Bunga kepada Khir yang begitu memanjakannya menyebabkan abang-abangnya Fauzi dan Nasir merasa iri hati. Contohnya jika dia membawa buah hutan yang tumbuh meliar di kampung seperti buah kemunting ( sejenis pokok tumbuhan renik) atau buah keriang batu ( pokok besar dan lazimnya tumbuh ditepi sawah bendang) atau buah setol, dia akan sembunyikan buah itu sehingga dia bertemu Khir barulah diberikan. Khir digalas dan dikilik oleh Tok Lang Bunga sehingga ke usia tiga empat tahun, sedangkan bagi kanak-kanak yang sebaya dengannya telah berlari di padang. Demikianlah hebatnya Khir diusia kanak-kanak.
Khir tidak seperti abang-abangnya dalam pendidikan. Dia mendapat pendidikan pra sekolah (tadika) di Kuala Nerang pada usia enam tahun. Dia agak bernasib baik, kerana Cikgu tadika itu Cikgu Khadijah Lazim (Hatiah) menyewa rumah bersebelahan dengan rumah Cikgu Mat Pedu walaupun terpaksa berulang aling dari Pedu ke Kuala Nerang. Ini kerana dia selesa tinggal bersama sepupunya Ustazah Sofiah Bakar yang mengajar di SK Pedu. Waktu itu di Pedu belum ada lagi kelas tadika atau pra sekolah.
Khir semasa kecil seorang anak yang sangat cerewet baik dari segi makan minum atau pakaian. Semasa kecil dia hanya makan nasi dengan telur goreng dan ikan kembung sahaja. Untuk telur goreng umpamanya, kadang-kadang ibunya terpaksa menggoreng dua tiga kali disebabkan sikap cerewetnya kerana bila digoreng, dia hendak yang tidak terlalu masak atau terlalu keras. Jadi serba tak kena. Begitu juga dengan pakaian sekolahnya. Kadang=kadang jika kasut yang baru dibasuh tapi masih ada sikit kekotoran dia akan buat hal. Menurut ibunya, menguruskan Khir semasa kecil cukup memenatkan.
( Kisah anak ke empat anak Cikgu Mat Pedu akan disambung lagi........)

Tuesday, December 23, 2008

Kereta Cikgu Mat Pedu 2

Azizah

(Original version)

rupa kamu yang cantik
mata kamu yang bulat
membikin pemuda
jadilah gembira

senyumanmu yang manis
gigi kamu yang putih
oh nonaku Azizah (2X)

hidungmu yang mancung
rambutmu kerinting
membikin pemuda
sehari-hari manaruh
cinta padamu
oh Azizah

cantik rupamu (2X)
dipandang mata tak jemu
bagai biduan (2X)
dari syurga

cantik rupamu (2X)
dipandang mata tak jemu
bagai biduan (2X)
dari syurga

tidur malam terbayang
teringat kamu seorang
membikin hati pemuda
menjadi bimbang
oh Azizah

Sumber:http://www.p-ramlee.com

Lagu Azizah adalah lagu yang sering Cikgu Mat Pedu nyanyikan semasa dia memandu terutama jika dia mengantuk. Dia akan menggunakan tangan kiri memegang stereng manakala tangan kanan dikeluarkan untuk menepuk bumbung kereta. Itulah cara dia menghilangkan rasa mengantuk.

Kereta Cikgu Mat Pedu

Cikgu Mat Pedu adalah di antara beberapa orang terawal di Pedu menggunakan kereta. Orang terawal lain ialah Ah Geng ( ketua komuniti Siam Pedu, bapa kepada Cikgu Ah Teik) yang menggunakan land rover.
Cikgu Mat Pedu telah menggunakan kereta semenjak tahun 1950an lagi walaupun jalan Pedu ke Kuala Nerang pada waktu itu masih bertanah merah dan berdebu. Antara kereta yang pernah dimiliki olehnya ialah:
1. Hillman
2. Ford Prefect
3.Austin Mini ( baru)
4. Morris Minor
5. Mazda 1000 ( baru)
6. Nissan Vannette C20 (baru)
*Sila tambah jika sesiapa ada maklumat.
Kereta Austin Mini pernah digunakan utk membawa keluarganya melancong ke pantai timur di sekitar 1960an. Pada waktu itu untuk ke pantai timur terpaksa turun ke Kuala Lumpur dan melalui negeri Pahang (jalan bengkang bengkok ke Bentong & kawasan ditakuti kerana serangan pengganas komunis.) kemudian ke Trengganu dan Kelantan. Semasa di Kelantan Cikgu Mat Pedu tinggal beberapa hari di rumah sepupunya se orang konstabel Ahmad dan isterinya Ainon di Pasir Mas. Konstabel Ahmad (hari ini pesara polis berpangkat Sarjan) dan isteri yang lebih mesra dengan panggilan Wa Enon telah menerima tetamu ini dengan tangan terbuka. Agak malang, Kelantan dan Trengganu telah dilanda banjir dan keluarga Cikgu Mat Pedu telah terkandas dan terpaksa tinggal selama beberapa hari di rumah sepupunya.
Apabila banjir surut di Kelantan, Cikgu Mat Pedu sekeluarga balik melalui Trengganu. Malangnya di Kuala Trengganu, sekali lagi mereka terkandas akibat banjir. Oleh kerana tiada sanak saudara di Kuala Trengganu, Cikgu Mat Pedu terpaksa menyewa rumah (tak mampu nak sewa hotel) orang. Oleh kerana Cikgu Mat Pedu yang mesra, tuan rumah tersebut membekalkan bantal dan makanan untuk hampir 10 hari tersadai di Kuala Trengganu.
Satu lagi kegemaran Cikgu Mat Pedu mengenai keretanya ialah setiap kali menjelang hari raya dia akan menyuruh anak-anaknya ( 3 yang awal) untuk membasuh kereta supaya bersih untuk digunakan pada hari raya. Kereta akan dibasuh di tepi telaga sekolah ( waktu itu pili air belum ada) untuk beberapa jam. Semasa itu anak-anaknya lebih banyak bermain daripada mencuci dan ini menyebabkan Cikgu Mat Pedu memarahi mereka.
Hari ini nampaknya budaya menjaga dan mencuci kereta diwarisi oleh anak keduanya Fauzi yang begitu rajin membasuh dan menjaga kereta berbanding dengan anak-anaknya yang lain.


Friday, December 19, 2008

Sekolah-sekolah Cikgu Mat Pedu Pernah Mengajar

Berikut ialah sekolah-sekolah yang pernah Cikgu Mat Pedu mengajar: (sepanjang ingatan penulis)
1. Sek. Keb. Hutan Kampung.
2. Sek. Keb. Tong Plu
3. Sek. Keb. Pedu ( paling lama)
4. Sek. Keb. Kurung Hitam
5. Sek. Keb. Kubur Panjang
6.Sek. Keb. Bohor, Hutan Kampung
7. Sek. Keb. Iskandar, A. Setar
8.Sek. Keb. Kuah, Langkawi
9.Sek Keb. Ladang Sungai Raya, Langkawi.
(Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tambahan sila tambah)
Sejarah dan cabaran hidupnya amat besar dalam membangunkan mutu pendidikan.... realitinya sejarah seorang guru tidak banyak dikenang oleh orang lain kecuali anak-anak dan isteri tercinta.
Aduhai, begitulah nasib insan yang bernama guru... Cikgu Mat Pedu.

Anak Kedua Cikgu Mat Pedu


Fauzi @ G adalah anak Cikgu Mat Pedu yang kedua. Dia petah bercakap dan berhujah tanpa kira tajuk apapun. Kata orang sekarang mempunyai tahap kecerdasan verbal linguistik yang tinggi. Semasa bersekolah nampaknya dia seorang yang serba boleh. Dia pernah mewakili Sek Men Dato Syed Ahmad Kuala Nerang dalam bidang sukan dan olahraga. Pernah mewakili sekolah dalam bola sepak dan larian 100m dan relay 4x100m. Agak cukup hebat kerana boleh pula mewakili daerah Pdg Terap ke peringkat negeri.
Bukan setakad bersukan, Fauzi juga aktif dalam bidang kesenian dan kebudayaan. Dia mewakili sekolah dan belia daerah utk mempersembahkan tarian kepada pembesar negeri Kedah yang melawat daerah Padang Terap. Juru latihnya ialah Cikgu Abu. Dia juga gemar bermain alat muzik seperti gitar dan dia akan suruh adiknya pukul tong sebagai drum. Lagu... O bloody.. o.. bladaaa..oo.
Sebelum berkhidmat sebagai pendidik di KSAH pada hari, Fauzi pernah menjawat jawatan sebagai kerani sekolah di SK Wan Abdul Samad Pokok Sena selama hampir 2 tahun sebelum melanjutkan pengajian ke Maktab Perguruan Jalan Northam, P.Pinang. Atas kegigihan dan kerajinannya dia terus belajar dan memperolehi ijazah sarjana muda dan sarjana di UUM.
Hasil perkahwinan dengan Faridah Taib, mereka dianugerah 3 orang cahaya mata, Mohd Adi Faiz (sedang melanjutkan pengajian diUUM), Mohd Zakuan Affandi (sedang melanjutkan pengajian di Russia) dan puteri bongsunya Aida Saleha...... (Ada banyak lagi cerita mengenai Fauzi)

Tuesday, December 16, 2008

Anak Sulung Cikgu Mat Pedu

Anak sulung Cikgu Mat Pedu bernama Faisol @ Abdul Rahman. Dia ada dua nama kerana masalah semasa persekolahan. Nama Abdul Rahman itu diambil daripada nama anak Pak Su Mat Padang Stol, Pedu (sepupunya) dan terus digunakan sehingga sekarang. Rakan-rakannya sekarang lebih mengenali Rahman berbanding Faisol manakala keluarga dan rakan di Pedu lebih kenal nama Pisol.
Pisol pernah menjadi penjawat awam iaitu kerani sekolah, kerani di Jabatan Perangkaan KL dan ketua kerani di Pejabat Akauntan Negara cawangan Kedah. Dia kemudian meletak jawatan dan menceburi bidang kontraktor binaan dengan menubuhkan Syarikat Pedu Enterprise sehingga sekarang.
Abdul Rahman (Haji) telah mendirikan rumah tangga dengan Khatijah Lazim atau 'Hatiah' gadis Sungai Baru Gunung Alor Setar. Mereka telah dikurniakan empat cahaya mata, tiga perempuan dan seorang lelaki. Bermula dengan Firzah@Fauziah, Firdiana, Firdaus dan yang bongsu Firzatul Iffah.
Setakad hari ini mereka telah dikurniakan empat orang cucu iaitu dua puteri dan dua putera hasil perkahwinan dua orang anaknya ialah Firdiana dan Fidaus.

Friday, December 12, 2008

Anak-anak Cikgu Mat Pedu

Cikgu Mat Pedu mempunyai lima orang anak. Kesemua anak-anaknya adalah lelaki. Bermula dengan yang sulung Abdul Rahman @ Faisol, diikuti oleh Fauzi, Nasir, Khir dan Amerul. Cikgu Mat Pedu telah membesarkan anak-anaknya dengan memberi pendidikan. Abdul Rahman terpaksa mengayuh basikal dari Pedu ke Kuala Nerang sejauh kira-kira lapan batu untuk bersekolah di Kuala Nerang English Primary School. ( sekarang bangunan sekolah itu telah menjadi pejabat PPD Padang Terap Pendang ). Begitu juga dengan Fauzi, Nasir dan Khir yang juga terpaksa berulang alik ke sekolah yang sama. Mereka agak bernasib baik berbanding dengan abang sulung Faisol kerana pada waktu itu kerajaan telah menyediakan perkhidmatan bas Rida ( sekarang dikenali dengan bas MARA) untuk memudahkan orang kampung keluar ke pekan kecil Kuala Nerang.
Walau bagaimanapun anak bongsu Cikgu Mat Pedu , Amerul memulakan pelajaran sekolah rendahnya di SK Bohor, Hutan Kampung dan SK Iskandar, Alor Star kerana mengikut ayahnya yang bekerja di sekolah-sekolah tersebut.
Bagi Cikgu Mat Pedu, pendidikan adalah penting untuk dunia dan akhirat sebab itu dia tidak berkira sangat tentang duit ringgit untuk menyekolahkan anak-anaknya.

Tuesday, December 9, 2008

Preface

This blog is created in rememberance of my late father, Cikgu Hj. Muhammad bin Abdul Rahman or well known as Cikgu Mat Pedu to the local people. He was a teacher by profession to my kampung folks.