Cikgu Mat Pedu mempunyai ramai anak angkat. Ini kerana memang dia suka menolong orang walaupun zahirnya wajahnya agak garang. Antara anak angkatnya ialah Zainuddin Sulaiman, Ustazah Sofiah Hj. Bakar,ustazah Fatimah, Cikgu Zainab, Latiff dan Ibnu Hajar.
Zainuddin Sulaiman, Sofiah, Fatimah dan Zainab sebenarnya adalah staf Cikgu Mat Pedu yang ditugaskan untuk mengajar di SK Pedu. Pada waktu itu SK Pedu tiada rumah guru (kuarters) untuk guru-guru baru yang datang bertugas di Pedu. Guru-guru baru sama ada berulang alik dari Kuala Nerang atau menyewa rumah penduduk kampung. Walau bagaimanapun rumah sewa tidaklah begitu sempurna dengan ketiadaan bekalan air dan api elektrik. Ini menyebabkan tidak ramai guru yang sanggup bertugas di luar bandar seperti Pedu.
Bagi guru-guru perempuan, seperti Ustazah Sofiah Hj. Bakar, Ustazah Fatimah dan Zainab mereka tiada pilihan dan terpaksa tinggal di rumah Cikgu Mat Pedu yang terletak di belakang sekolah. Ustazah Sofiah, tidak tinggal bersama di rumah cikgu Mat Pedu, sebaliknya dia menyewa rumah yang terletak di belakang rumah Cikgu Mat Pedu. Oleh kerana mereka sudah tinggal dengan Cikgu Mat Pedu, mereka memanggil Pak Long dan Mak Long kepada Cikgu Mat Pedu dan isterinya. Guru-guru ini tinggal agak lama, ada yang dua tahun, tiga tahun sehinggalah mereka berkahwin atau bertukar.
Bagi Zainuddin Sulaiman dia menjadi anak angkat Cikgu Mat Pedu begitu lama. Daripada seorang guru bujang yang datang dari Bukit Mertajam sehinggalah berumah tangga dengan Khadijah gadis Kg Sematang Gunung dia terus menetap di Pedu. Dia juga yang menyewa dan menjaga rumah Cikgu Mat Pedu apabila Cikgu Mat Pedu bertukar ke Hutan Kampung. Bagi Zainuddin , Cikgu Mat Pedu dianggap bapanya kerana dia kematian bapa semasa kecil lagi. Segala nasihat dan teguran Cikgu Mat Pedu diikut sepenuh hati. Contohnya, bila Cikgu Mat Pedu membeli rumah di Taman Uda, dia menyuruh Zainuddin membeli sama dan Zainuddin menurut cadangan bapa angkatnya.
Apabila Cikgu Mat Pedu bertukar ke Langkawi, dia juga memelihara anak angkat iaitu Latif Zainuddin dan Ibnu Hajar. Cikgu Mat Pedu seorang yang mudah kira bicara Apabila dia bertemu dengan Latif di pekan Kuah, pemuda itu menceritakan masalah tempat tinggal dia terus menawarkan untuk tinggal di rumahnya untuk beberapa hari sebelum dapat rumah sewa. Dari beberapa hari menjadi bertahun kerana Latif rasa cukup selesa tinggal bersama Cikgu Mat Pedu. Begitu juga dengan kawan Latif, Ibnu Hajar (pegawai Felcra Teluk Yu ) turut tinggal dan menjadi anak angkat sehingga dia berkahwin dengan gadis Langkawi.
Demikianlah sikap Cikgu Mat Pedu yang suka menolong sesiapa sahaja dan alhamdullilah semua anak-anak angkatnya sentiasa mengingati Cikgu Mat Pedu dengan sesekali mengunjungi Mak Long mereka yang ada di Taman Uda.
Kalau tak salah ingatan (maklum dah tua):
ReplyDelete1. Anak angkat Cikgu Mat Pedu yang paling awal ialah Ali - orang Seberang Prai, P Pinang.
2. Bagaimana dia jadi anak angkat Cikgu Mat Pedu tidaklah diketahui - penulis blog kena cari.
3. Semasa bersama keluarga Cikgu Mat Pedu, beliau lebih bayak bertindak sebagai pemandu kereta Cikgu Mat Pedu.
4. Setelah berpisah (tahun?? & kenapa??) beliau yang jadi pemandu teksi pernah datang cari Cikgu Mat Pedu di Taman Uda.
5. Anak kedua Cikgu Mat Pedu pernah membalas lawatan tersebut sekali. Kini beliau sudah tidak ingat di mana rumahnya.
Lagi tentang anak angkat Cikgu Mat Pedu:
ReplyDeleteCikgu Mat Pedu pernah ada anak angkat yang bernama Roziah - diberi oleh emaknya kepada keluarga Cikgu Mat Pedu. Keluarga Cikgu Mat Pedu amat gembira kerana mereka tiada anak perempuan. Anak-anak Cikgu Mat Pedu (masa tu Khir & Amir belum ada) paling gembira - maklum dapat kakak. Tinggal tak lama kerana nenek Kak Rodziah (panggilan anak-anak Cikgu Mat Pedu) kacau & minta balik. Walau pun sayang, keluarga Cikgu Mat Pedu terpaksa serahkan kembali.
Kali terakhir ditemu (entah berapa puluh tahun dulu) di kawasan pondok Langgar.