Sunday, December 13, 2009

CUTI SEKOLAH


Sekarang musim cuti sekolah. Orang kita sibuk kepada dua aktiviti utama iaitu kenduri dan melancong. Kalau kenduri, lazimnya kenduri kahwin dan bersunat manakala melancong dalam dan luar negara.
Kalau masa bercuti sekolah, Cikgu Mat Pedu akan membawa anak-anak ke kebun getah (sekangkang kera) di Kg. Pinang Pedu. Yang sering terlibat ialah Faisol, Fauzi dan Nasir.
Tugasan mereka ialah untuk membersihkan kebun getah tersebut yang dipenuhi dengan pokok-pokok belukar (secondary jungle). Kerja-kerja menebas sangat memenatkan dan amat tidak diminati kerana sebagai kanak-kanak seperti Fauzi dan Nasir mereka lebih gemar bermain-main sahaja.
Bagi Cikgu Mat Pedu, beliau mempunyai agenda lain yang tersembunyi, seperti apabila masuk ke kebun getah yang penuh semak samun dan di atas bukit dia juga turut mengajar anak-anaknya bagaimana 'memanggil' pelanduk yang banyak di dalam hutan bersebelahan kebun getah. Diajarnya kepada anak-anak bagaimana dengan menepuk-nepuk daun kering dengan ranting kayu dapat memanggil pelanduk datang dan menari-nari di celah-celah rimbunan pokok-pokok semak dalam kebun getah.
Agenda lain ialah dia mengajar anak-anak erti penat lelah penoreh yang terpaksa keluar awal pagi dan balik jam 2.00 petang selepas semua proses menoreh dilakukan.
Sebagai seorang ayah, Cikgu Mat Pedu berjaya membentuk anak-anaknya erti kehidupan yang sebenar. Susah dan senang...
Walau bagaimanapun bukan semua anak-anak Cikgu Mat Pedu mendapat pengalaman yang berharga. Khir dan Amer tidak pernah merasai penat lelah meneroka kebun getah tersebut. Hanya Fisol, Fauzi dan Nasir sahaja yang mempunyai pengalaman menebas kebun getah yang sekangkang kera itu. Yang lebih memahami jerit perih persoalan kebun getah tersebut ialah Cikgu Mat Pedu dan isterinya Hajah Puteh.

Catatan:
1. Fauzi tentu masih ingat bagaimana dia 'menipu' adiknya Nasir semasa menjunjung kayu api semasa balik daripada menebas di lorong yang dipenuhi limpahan air Sg Pedu. Dia berpura-pura lemas dan menyebabkan adiknya terpaksa menyelamat abangnya sehingga habis kayu api basah.

Monday, October 12, 2009

HARGA ROKOK NAIK LAGI !!!!!!


1. Beberapa minggu lalu kerajaan sekali lagi menaikkan harga rokok sebanyak 30 sen sekotak, menjadikan harga sekotak rokok sekitar RM8 - RM 9.30. Apakah kenaikan harga rokok akan mengurangkan perokok? Penulis mengaitkan isu merokok dengan tabiat merokok Cikgu Mat Pedu.
2. Seingat penulis, Cikgu Mat Pedu mula menghisap rokok semenjak remaja lagi. Semasa penulis masih kecil, penulis sudah melihat ayahanda Cikgu Mat Pedu menghisap rokok. Rokok yang menjadi ketagihan beliau ialah 'rokok tembak'. Apabila kehabisan rokok ayahanda akan menyuruh saya ke kedai membeli rokok tembak. Pada masa itu saya tidak tahu jenama rokok tersebut tetapi saya percaya istilah rokok tembak itu adalah berdasarkan gambar yang tertera pada kotak iaitu seorang penunggang kuda yang sedang mengacukan senapang sambil menunggang kuda. Hebat bukan! Apabila sudah bersekolah dan boleh membaca barulah saya tahu jenama rokok tersebut ialah 'Rough Rider'. Pada masa itu (sekitar 1970an harganya sekitar RM 1). Kadang-kadang kalau tak ada rokok tembak, ayahanda akan hisap rokok Craven A.
3. Ingatan tentang tabiat merokok ayahanda Cikgu Mat Pedu juga mengingatkan saya kepada jiran kami semasa kami tinggal di Pedu, iaitu isteri kepada seorang guru (Tn. Syed K****) yang saya dan adik beradik memanggilnya sebagai Umi. Ingatan ini kerana Umi juga seorang perokok tetapi secara sembunyi-sembunyi daripada anak-anaknya. Jadi apabila Cikgu Mat Pedu kehabisan rokok tembak dia akan meminta rokok daripada Umi atau sebaliknya. Ini semua menjadikan keluarga kami begitu mesra dan akrab sehingga sekarang.
4. Ingatan lain ialah tabiat merokok ayahanda semasa bulan Ramadhan. Selepas waktu bersahur, ayahanda akan terus merokok sehingga hampir masuk waktu imsak dan ini akan menimbulkan kemarahan emak.
5. Sejarah merokok ayahanda berterusan sehinggalah beliau mendapat kanser usus dan hanya berhenti apabila kansernya semakin serius.( tetapi sudah terlewat).
6. Hari ini, saya bagi keluarga Cikgu Mat Pedu amat berbangga kerana walaupun ayahanda seorang perokok tegar tetapi sebahagian besar anak-anaknya ( 5 orang) tidak merokok. ( Walaupun ada seorang anaknya dulu merokok, tetapi sekarang sudah berhenti merokok). Doa dan harapan penulis ialah cucu-cucu Cikgu Mat Pedu juga tidak merokok..

Saturday, September 19, 2009

SELAMAT HARI RAYA

Allah hu akhbar... Allah hu akhbar ..... Allah hu akhbar....... walillah hilham...
Selamat Hari Raya ....
Apabila raya menjelang, penulis teringat tentang dua perkara yang mesti dilakukan oleh Cikgu Mat Pedu sebelum dan semasa menjelang hari raya.
Sebelum raya, Cikgu Mat Pedu akan menyuruh anak-anaknya seperti Fisol, Fauzi dan Nasir membasuh kereta buruknya ( Mazda 1000, Morris Minor dll) di telaga di hujung padang di SK Pedu yang merupakan sumber air kepada murid dan guru sekolah tersebut. Yang memenatkan ialah anak-anak terpaksa menceduk air telaga sedalam 20 kaki untuk setiap timba. Air yang banyak diperlukan.
Kedua, ialah setiap pagi raya, semua keluarga akan mandi sunat hari raya dengan menggunakan sabun "khas" yang disebut sabun cap burung. Sabun burung berwarna hijau ini hanya dibeli untuk digunakan pada hari raya sahaja kerana ia sangat wangi dan ini menimbulkan nostalgia kepada ayahanda. Walau bagaimanapun penulis tidak meneruskan tradisi ini pada tahun ini kerana penulis terlupa untuk membelinya. Untuk suku sakat semua , jangan lupa beli sabun cap burung pada tahun hadapan.
Untuk semua, SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN

Thursday, August 27, 2009

Ramadhan Al-Mubarak

Allahamdulillah, Ramadhan datang lagi!!!
Kehadiran Ramadhan mengingatkan penulis aktiviti yang sering dilakukan oleh Cikgu Mat Pedu sepanjang bulan tersebutdi Pedu.
1. Perkara wajib ialah membaca Al-Quran sepanjang Ramadhan, Bagi tempoh sebulan Ramadhan, Cikgu Mat Pedu akan khatam sekurang-kurangnya sekali. Bagi beliau aktiviti tersebut bermula awal pagi sehingga petang sebelum berbuka. Pada waktu pagi beliau akan membaca Quran di ruang tamu, tetapi bila waktu petang, apabila isterinya sibuk memasak di dapur dia akan ke dapur untuk membaca Quran. Apabila penat membaca Quran, Cikgu Mat Pedu akan menolong isterinya pula. Yang sering ditolong hanyalah mengetuk halia untuk dijadikan minuman air halia untuk berbuka yang merupakan air kegemarannya di bulan Ramadhan.
2. Semasa tinggal di Pedu yang serba daif, pada bulan Ramadhan kadang-kadang Cikgu Mat Pedu akan berbuka secara berkelah (rihlah Ramadhan). Pada malam bulan terang ( malam 14, 15, 16 Ramadhan) dia akan menyuruh anak-anak membentang tikar di halaman rumah di bawah pokok limau bali berhadapan sekolah Pedu sebagai persediaan berbuka. Tugas anak-anak ( Fauzi dan Nasir) ialah mengangkat makanan dari dapur ke bawah pokok. Yang lebih penting ialah menyediakan 2 atau 3 pelita ayan kerana waktu itu tiada bekalan elektrik lagi di Pedu. Apabila tiba waktu berbuka, mereka sekeluarga akan berbuka secara berkelah. Disitulah juga Cikgu Mat Pedu bersolat selepas berbuka. Kemeriahan berbuka secara berkelah itu menjadi kenang-kenangan kepada anak-anaknya sehingga hari ini. Ada waktu, kadang-kadang katak melompat berhampiran makanan atau kala jengkeng merayap menghampiri.
3. Jika ingin mendapatkan minuman sejuk (sirap ais) , Fauzi atau Nasir akan disuruh pergi membeli 'ais ketul' pada waktu petang di kedai Jab. 'Ais ketul' ialah bongkah-bongkah ais yang besar yang kemudiannya disimpan dalam sekam padi atau serbuk kayu bergergaji. Dengan harga 20 sen, bongkah ais yang besar akan digergaji menjadi ketulan ais yang lebih kecil dan ketulan ais tersebut akan dibalut dengan kertas bersama-sama dengan sekam padi dan ia mesti segera di bawa pulang. Kalau lewat ketulan ais tersebut akan cair di jalanan. Apa yang berlaku ialah sebaik sahaja membeli ais ketul Fauzi atau Nasir akan mengayuh basikal dengan kuat untuk membawa balik ais ketul kerana takut cair di jalanan. Jika tidak berbasikal, mereka akan berlari pulang membawa ais ketul yang dibungkus dengan kertas dan sekam padi. Bayangkan jika terpaksa memegang ketulan ais selama 10 minit sebelum sampai di rumah! Tangan menjadi kebas dan biru. Mungkin generasi hari ini tidak dapat membayangkannya kerana mereka hanya perlu membuka peti sejuk untuk mendapatkan ketulan ais atau membeli ais tuib yang dimasukkan ke dalam plastik.
4. Walau bagaimanapun semua pengalaman yang dilalui dahulu telah berjaya mendewasa dan mematangkan lagi pengalaman hidup anak-anak Cikgu Mat Pedu.

Sunday, August 9, 2009

SANTAI...

Membaca blog-blog suku sakat Cikgu Mat Pedu dan rakan-rakan yang mengeluh mengenai kehidupan yang kian mencabar dan penuh tekanan, penulis mengirimkan persoalan di bawah untuk mengurangkan sedikit tekanan dalam kehidupan kita.
Secara bersantai, sila selesaikan 2 masalah di bawah:
1. What 15-letter of English word contains the letter 'E' five times and no other vowels? Please spell it out .

2. The Spotlight Puzzle
A conference room contains three separate wall-mounted spotlights - right, left and front of stage. Each is controlled by its own on-off switch. These three switches are numbered 1, 2 and 3, but they are in a back-room which has no sight of the the spotlights or the conference room (and there are no reflections or shadows or mirrors, and you are alone). How do you identify each switch correctly - right, left, front - if you can only enter the back-room once?
Selamat berfikir dan mencuba.......

Sunday, July 19, 2009

KEKANDAKU

Kekandaku
tidur lenalah dalam sejahteramu yang panjang
tenang dan damai dalam dingin liang lahat
berbekalkan iman dan taqwa yang engkau miliki
selama ini.

Kekandaku
apa yang engkau tinggalkan buat kami
kalau bukan ingatan yang tidak terlekang diminda
tentang akrab kekeluargaan ini tidak terputus dicincang
tentang perkongsian segala walau sedikit diagih sesama rata
tentang sakit cubitan paha kirimu menjalar ke paha kanan kami
tentang semua yang perlu dirasai bersama
dalam suka dalam duka kehidupan kita sekeluarga.

Kekandaku
Tatkala nanti engkau dibangunkan
dari tidur lenamu yang panjang
yakinlah
kami pasti bersamamu
mengadap Rabbi yang SATU.

21.07.2009
Taman Indera

Catatan:
1. Ingatan penulis kerana pemergian kekanda Hj. Ismail Ahmad (anak saudara Cikgu Mat Pedu) yang telah kembali ke rahmatullah pada pagi Khamis 19.07.2009
2. Doa kami sekeluarga agar rohnya dicucuri rahmat Allah.
Al-Fatihah.

Tuesday, July 14, 2009

Kamera Apa?


Kamera Model Mamiya C330 : twin-lens reflex

Dalam penulisan yang lalu sdr Wickedwarhol bertanyakan jenis kamera apakah yang digunakan untuk mengambil gambar keluarga Cikgu Mat Pedu. Untuk menjawab soalan tersebut penulis menemui ibu untuk memberi diskripsi gambar tersebut. Menurutnya, gambar tersebut diambil oleh seorang juru gambar Cina yang datang berurusan untuk satu majlis rasmi di SK Pedu. Kesempatan itu, diambil oleh Cikgu Mat Pedu untuk merakam gambar keluarganya. Menurut ibu, juru gambar Cina tu guna kamera yang yang dia tengok secara tunduk dan kena pegang dua belah tangan dan dia asyik kata " tengok sini... tengok sini! ". Daripada gambaran cerita oleh ibu penulis beranggapan kamera yang digunakan adalah jenis twin reflex dan mungkin jenama Mamiya seperti di atas.
Seingat penulis,pengalaman paling awal pendedahan kamera kepada anak-anak Cikgu Mat Pedu ialah sekitar 1960an iaitu apa Fauzi dihadiahi sebuah kamera jenama Yashica yang dianggap cukup canggih pada masa itu..
Catatan:
Masih adakah kamera tersebut, abang G?

Tuesday, June 30, 2009

Potret Keluarga Tahun 1950an

Potret Keluarga Cikgu Mat Pedu diambil sekitar 1950an

Gambar menunjukkan Cikgu Mat Pedu bersama keluarga. Berdiri di belakang ialah anak sulung Faisol, manakala berdiri di tengah ialah Fauzi. Penulis berada diribaan ibunya Hjh Puteh. Disebelah Hjh Puteh ialah adiknya, Osman. Gambar ini temui penulis dalam simpanan keluarga. Ahli keluarga berminat boleh down load gambar ini.

Thursday, June 18, 2009

'Sinar Bahagia Pedu'

Sepanjang cuti sekolah yang lalu penulis banyak menghabiskan cuti dengan menghadiri kenduri kahwin anak-anak rakan dan keluarga sama ada jauh atau dekat. Disamping kemeriahan majlis tersebut yang dipenuhi dengan gelak tawa pengantin, keenakan lauk pauk penulis juga tertarik dengan deejay yang dijemput memeriah majlis tersebut.
Deejay yang berceloteh dan diiringi dengan lagu-lagu mengingatkan penulis kepada Cikgu Mat Pedu. Ini kerana Cikgu Mat Pedu juga pernah mempunyai sistem pembesar suara( p.a.system) yang disewakan untuk majlis perkahwinan dan majlis keagamaan. Sistem pembesar suara itu dinamakan "Sinar Bahagia Pedu". Dia juga dapat dianggap orang yang pertama mempunyai pembesar suara untuk disewakan di Pedu. Sebelum itu orang Pedu terpaksa menyewa dari pemilik dari Kg Tualak atau dari Tanjung Musang,Jabi.
Cikgu Mat Pedu hanya membeli peralatan tersebut tetapi dia tidak pernah menguruskannya sebaliknya disuruh anak-anaknya seperti Fauzi atau Nasir yang menjaga apabila disewa. Dia hanya menghantar peralatan tersebut dan meninggalkannya untuk diurus oleh anak-anaknya.
Apakah peralatan yang perlu ada? Untuk satu set p.a. system perlu ada amplifier, mikrofon ( 2 unit), speaker (pembesar suara) dan alat pemain piring hitam, dan bateri basah (bateri kereta).
Semua alat-alat tersebut sangat mudah dipasang dan dikendalikan. Tetapi apa yang memeningkan anak-anak Cikgu Mat Pedu, ialah satu bentuk kepercayaan di kalangan penduduk kampung ialah speaker perlu diletakkan ditempat yang tinggi seperti atas pokok-pokok yang tinggi kerana lagi tinggi lagi jauh kedengaran bunyinya. Untuk menaikkan speaker setinggi manapun tidak menjadi masalah kerana pada waktu pagi kenduri ramai 'sukarelawan' yang sanggup menaikkan speaker setinggi manapun, tetapi masalahnya ialah waktu menurunkan speaker pada waktu tengah malam tiada siapa yang sanggup memanjat untuk menurunkannya. Inilah yang memeningkan kepada anak-anak Cikgu Mat Pedu.
Soal deejay tidak menjadi masalah kerana di setiap kampung sudah dikenalpasti siapa yang petah bercakap dan dialah yang menjadi deejay dan tugasnya hanyalah menjemput tetamu yang hadir. Disamping itu dialah yang menentukan lagu yang perlu dimainkan. Lazimnya permulaan majlis ialah dengan memperdengarkan bacaan ayat Al-Quran (Hj. Ismail Hashim,Qari Malaysia), kemudian diikuti dengan lagu-lagu nasyid ( spt Selimut Putih oleh kumpulan El-Suraya), kemudian disusuli pula oleh lagu komptemporari ( lagu-lagu dari filem hindustan seperti Sangam, An evening In Paris, Love In Tokyo, Hate Mere Sathi dll), lagu melayu seperti M.Daud Kilau, atau irama 60an.
Sewa sistem siaraya tersebut hanyalah sekitar RM40 dimana sehari suntuk (siang hingga malam) masa anak-anak Cikgu Mat Pedu terpaksa dihabiskan di situ.
Hari ini, alat tersebut sudah tiada lagi, tetapi bagi anak-anak Cikgu Mat Pedu seperti Fauzi masih menguruskan alat tersebut jika disekolahnya mengadakan Hari Anugerah Cemerlang, dan Nasir pula diberi tugas berkaitan PA system dan siaraya apabila pelajar baru mendaftar di tempat kerjanya.
Catatan Penulis:
Cikgu Mat Pedu memang suka kepada Pedu.

Wednesday, May 27, 2009

JODOH ANAK-ANAK CIKGU MAT PEDU

Musim naik pelamin datang lagi!. Bila? Tentulah apabila cuti sekolah bermula. Sila kira berapa banyak jemputan kenduri kahwin yang kita terima sepanjang cuti sekolah ini. Bagi si teruna dan dara, mereka sedang tersenyum riang menanti hari bahagia tersebut kerana telah mendapat restu ayah bonda.
Bagaimana Cikgu Mat Pedu merestui perkahwinan anak-anaknya? Bagi Cikgu Mat Pedu yang mempunyai lima ( 5 ) orang anak teruna dia menggunakan pendekatan 'laizze faire' dalam pemilihan jodoh anak-anaknya. Pendekatan yang digunakan adalah mudah. Bila sampai waktunya anak-anak untuk berumah tangga dia akan bertanya; Hang dah ada calon isteri ke belum? Kalau ada anak yang menjawab 'ada' (kerana mereka bercinta) maka dia akan terus menguruskan perkahwinan mereka. Tetapi jika ada anak yang menjawab 'tak ada', maka dia akan mencarikan pasangan untuk mereka dan anak mesti akur dengan pemilihan ibu bapa mereka.
Demikian, pendekatan yang digunakan oleh Cikgu Mat Pedu dalam menentukan jodoh bagi anak-anak terunanya. Alhamdullilah, dasar liberalisasi dalam mencari jodoh kepada anak-anaknya membuatkan rumah tangga anak-anaknya nampaknya bahagia sehingga hari ini. Walau bagaimanapun Cikgu Mat Pedu hanya sempat menguruskan 3 drp 5 perkahwinanan anak-anaknya kerana meninggal, Tradisi liberalisasi dalam pemilihan pasangan hidup diteruskan oleh isterinya pula bagi dua orang lagi anak teruna mereka.
Kehidupan berumah tangga anak-anak Cikgu Mat Pedu nampak bahagia sehingga hari ini walaupun hakikatnya bapa mereka, Cikgu Mat Pedu pernah bernikah sebanyak tujuh ( 7) kali dan sifat tersebut tidak pernah diikuti oleh anak-anaknya.
Kepada mereka yang akan menaiki jinjang pelamin, : SELAMAT PENGANTIN BAHARU.
Catatan Penulis:
1. Sila teka, anak kedua kata "ada" atau "tidak ada"?
2. Sila teka, anak kelima kata "ada" atau "tidak ada"?
3. Cerita isteri dan bekas isteri-isteri Cikgu Mat Pedu akan ditulis apabila penulis mendapat maklumat.

Tuesday, May 12, 2009

PERANGAI UBAHSUAI RUMAH

Beberapa minggu yang lalu penulis sekeluarga sempat balik ke kampung di Pedu. Kesempatan balik ke Pedu, penulis menziarahi rumah abang sepupu. Sebagai pesara guru dia banyak menghabiskan masa di rumah, ditambah pula dengan tahap kesihatan yang agak rendah. Tetapi satu aktiviti yang amat suka dilakukannya ialah mengubahsuai rumahnya. Semasa penulis di rumahnya dia sedang memerhati tiga pekerja sedang memasang ubin di rumahnya.
"Aku seperti ayah hang dulu-dulu, kalau ada duit sikit asyik nak ubahsuai rumah...."
Memang benar apa yang dikatakan oleh abang pupu penulis, Cikgu Mat Pedu memang suka melihat kerja-kerja pengubahsuaian rumahnya. Dia hanya memerhati tukang membuat rumah kami. Apa bila tukang balik dia akan mengambil tikar dan bantal dan akan duduk atau bersantai ditempat yang diubahsuai oleh tukang. Hobi yang aneh itu kadang-kadang menimbulkan kemarahan kepada isterinya kerana tempat yang berhabuk dan belum siap itu menjadi tempat dia berehat dan memasang angan-angan. Pada waktu-waktu beginilah kadang-kadang kerja mengubahsuai rumah lewat kerana keesokan hari dia akan memberi cadangan untuk meminda bahagian lain pula.
Apa yang lebih diingati oleh anak-anaknya ialah sikap bapa mereka yang suka duduk dan berbaring di tempat yang belum sempurna binaan, memerhati tukang membuat kerja dan menyuruh isterinya menyediakan kopi dan makanan untuk tukang yang bekerja.
Nampaknya tingkah laku Cikgu Mat Pedu yang sedemikian tidak diwarisi oleh anak-anaknya sebaliknya diwarisi oleh anak saudara kesayangannya yang asyik mengubahsuai rumahnya. Sepupu penulis yang dimaksudkan ialah Abang Ismail Kak Siah.

SELAMAT HARI GURU

16 Mei datang lagi!!
Tarikh keramat ini mengingatkan penulis kepada Cikgu Mat Pedu, ayahanda yang telah kembali ke rahmatullah. Ada sedikit kekesalan dalam diri kerana semasa hayat beliau penulis tidak pernah mengirim kad ucapan sempena hari tersebut semasa berjauhan atau mengucapkannya semasa berhadapan dengannya. Ucapan semudah, 'Ayah, Selamat Hari Guru' tidak terucap kerana kejahilan diri dan menganggap ia adalah sesuatu yang remeh dan rutin tahunan.
Tetapi hari ini, pada usia sebegini penulis sedar ucapan seringkas itu memberi makna yang besar kepada penerimanya iaitu nilai penghargaan, terima kasih, senantiasa diingati, disayangi, dan disanjungi. Penulis percaya kepada golongan pendidik, mereka bukan mengharap 'segunung intan' tetapi sekadar ucapan yang ikhlas daripada anak didik mereka sudah melebihi segunung intan. Kebanggaan mereka ialah kejayaan anak didik mereka menjadi insan yang berguna kepada masyarakat.
Kesempatan 16 Mei 2009, bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa penulis ingin merakam ucapan Selamat Hari Guru kepada insan-insan berikut:
1. Isteri tersayang - Cikgu di SMKBBD
2. Abang G - Cikgu di KSAH
3. Adik & adik ipar - mantan pensyarah & pensyarah di UTM
4. Mak Lang -Emak saudara - pesara guru di Pokok Sena
5. Abang Sepupu - pesara guru di Pedu
6. Anak-anak Saudara & suaminya - Pn. Intan di Sik, Cik Rus & Uda - pensyarah di UUM dan cikgu di SAINA, Fuad & Azah - cikgu di Naka & SK Tong Plu, Hatta & Salamah - di PPD Pdg Terap & SK Kuala Nerang.
6. Mantan guru-guru penulis - Tn Hj. Rahman Hussin, Cikgu Shuib, Cikgu Palani Veloo, Cikgu Darus, Dato' Cikgu Md Khir Shafie dll ( guru penulis di SKMDSA, K. Nerang), Cikgu Rahman Bakar, Cikgu Manaf dll- (semasa di KSAH)
7. Semua Rakan & Rakan di IPDA - Hj. Jus, Hj. Hashim, Hj. Zaki, Hisham, Cik Lat, Ab. Razak,Shoaaibi, Hj. Azmi, Hj. Bakar, Sam, Rodzi, Rosli 3X, dll ( terlalu banyak nak disenaraikan..)
8. Pelajar-pelajar saya - cikgu-cikgu yg jadi peserta kursus KDP 14M OUM, pelajar OUM
dan
UNTUK IBU TERCINTA- walaupun tidak mempunyai sijil perguruan, tetapi telah berjaya menjadi guru yang terbaik buat anak-anakmu kerana mereka berjaya menjadi insan yang berguna kepada agama bangsa dan negara.
UNTUK ALMARHUM AYAHANDA - Al-Fatihah

Wednesday, April 22, 2009

Pendidikan Formal

Sejarah pendidikan awal Cikgu Mat Pedu tidaklah diketahui dengan jelas oleh penulis. Dia dikatakan menerima pendidikan formal di Kuala Ketil, Sg Petani. Sejarah penghijrahan beliau semasa kecil ke Kuala Ketil tidak dapat dikesan kerana setakad ini tidak ada waris yang ada di Kuala Ketil. Dikatakan Cikgu Mat Pedu belajar di SK Kuala Ketil dari darjah satu hingga darjah lima sebelum perang dunia. Apabila Perang Dunia II bermula dia balik ke Pedu kerana tidak dapat belajar.
Pendidikan rasmi ialah setakad darjah 5 sebelum perang. Dengan pendidikan sedemikian dia menjadi guru. Bermula dengan guru normal yang terpaksa menjalani latihan setiap hujung minggu kemudian melayakkan beliau menjadi guru tetap di bawah skim 'Teacher Under Other Scheme' atau dikenali sebagai Guru TUOS. Kelayakan guru TUOS adalah bersamaan dengan guru lepasan SPM.
Catatan Penulis:
Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai pendidikan Cikgu Mat Pedu atau skim guru TUOS sila hubungi penulis diblog ini.

Sunday, March 29, 2009

Musim Buah di Pedu


Musim buah datang lagi!!! Apabila tiba musim buah-buahan, kawasan Pedu adalah sebahagian kawasan pengeluaran buah-buahan seperti langsat, manggis dan durian. Pada musim tersebut kawasan Pedu menjadi tarikan orang luar untuk menikmati durian Pedu.



Bagi Cikgu Mat Pedu, musim buah-buahan ialah musim untuk mengeratkan silatulrahim antara rakan-rakannya. Pada musim ini, lazimnya rakan-rakan guru dan pegawai-pegawai pelajaran yang tinggal di Alor Setar akan bertanya bila nak jemput makan durian.
Lazimnya Cikgu Mat Pedu akan menjemput rakan-rakannya makan durian dalam dua situasi; makan di dusun atau makan di rumah bergantung kepada kehendak rakan-rakan. Ini kerana ada rakan-rakan yang seronok berkelah di dusun yang berhampiran Sg. Pedu yang jernih airnya (sekitar tahun 60an sebelum ada Empangan Pedu tetapi hari ini airnya tidak lagi jernih) dan ada juga rakan yang datang berkeluarga yang tidak mahu ke dusun kerana takutkan pacat dan nyamuk.

Untuk rakan-rakan yang ke dusun, Cikgu Mat akan menyuruh anak-anaknya seperti Fisol, Fauzi dan Nasir serta anak-anak saudara seperti Zainon dan Wahab mengutip buah durian yang berguguran dan diletakkan di dangau untuk dijamu. Kemudian disuruh pula anak-anak untuk memanjat pokok langsat dan manggis untuk dipetik buahnya untuk dijamu kepada rakan-rakan dari bandar. Jadi seronoklah orang bandar datang makan durian. Bagi anak-anak Cikgu Mat kerja tersebut cukup memenatkan kerana kena panjat pokok manggis dan langsat dan kemudian mengutipnya untuk dihidangkan kepada orang bandar.

Lebih teruk ialah bila rakan-rakan Cikgu Mat sekeluarga tidak mahu pergi ke dusun. Cikgu Mat Pedu akan menyuruh anak-anaknya atau anak saudara mengandar buah-buahan seperti durian, manggis dan langsat dari dusun dibawa balik ke rumah. Perjalanan sejauh 4 kilometer berjalan kaki dan menyeberangi Sg. Pedu amat memeritkan. Sesampai di rumah maka berkendurilah keluarga orang bandar manakala anak-anaknya keletihan. Bagi Cikgu Mat Pedu dia ikhlas menjamu rakan-rakan dari bandar.

Apabila anak-anak Cikgu Mat Pedu membesar ( di sekolah menengah), mereka pula mula menjemput guru-guru mereka makan durian di dusun. Anak-anaknya seperti Fauzi dan Nasir akan menjemput cikgu mereka seperti Cikgu Rahman Hussain (bekas KJ Sains Perpustakaan, IPDA) , Cikgu Tony, Cikgu Palani Vello ( bekas pensyarah IPDA ) dan lain-lain untuk berkelah di dusun bapa mereka.

Apabila Cikgu Mat Pedu berpindah ke Taman Uda, dia masih meneruskan tradisi menjemput kawan-kawan makan buah apabila musim durian tetapi kali ini disuruh anak-anak balik ke Pedu mengambil buah-buahan dan dibawa balik ke Taman Uda. Kemudian selepas solat subuh pagi Jumaat dia akan menjemput makmum dan kawan-kawan makan pulut durian dan buah-buahan. Tradisi tersebut diteruskan sehingga beliau meninggal dunia.
Walau bagaimanapun jemputan musim buah Cikgu Mat Pedu tidaklah sehebat seorang lagi orang besar Pedu iaitu Jab Pedu JP seorang usahawan kerana setiap kali musim durian beliau akan menjemput DYMM Tuanku Sultan Kedah untuk santap durian Pedu.
Hari semua kenangan tersebut nampaknya tidak berulang lagi kerana anak-anaknya sendiri terpaksa membeli buah durian....., tetapi isteri Cikgu Mat Pedu , Hjh Puteh telah menggerakan semula aktiviti berdusun di tanah di belakang SK Pedu lama. Hasilnya masih belum dapat dirasai sepenuhnya kerana pokok yang mula berbuah pada tahun lepas ialah dokong dan manggis, manakala durian masih belum berbuah. Insya Allah mungkin tahun ini anak cucu Cikgu Mat Pedu mungkin dapat merasainya.

Catatan Penulis
Anak cucu Cikgu Mat Pedu harus meneruskan tradisi yang telah dibuat oleh ayah dan datuk mereka.
Harta tak akan kekal, makna persahabatan lebih bermakna...

Thursday, March 19, 2009

Al-Fatihah

Al-Fatihah.
Hari ini ( Khamis, 19 Mac 2009) , seorang sepupu Cikgu Mat Pedu, iaitu Ahmad ( isterinya Maimon) atau lebih mesra di kalangan anak-anak saudara dengan panggilan Wa Mat telah kembali ke Rahmatullah pada usia 90 tahun. Allahyarham dilahirkan pada 1918 di Pedu. Selepas bersara daripada jawatan OCS Polis, allahyarham telah balik ke Pedu dan membina rumah di Kg Jelutung, Jln Pedu.
Jenazah beliau telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg Surau, Mukim Pedu.
Al - Fatihah.....

Sunday, March 8, 2009

Cikgu Mat Pedu : Orang Ulu

Cikgu Mat Pedu adalah anak mukim Pedu jati. Dia lahir, besar dan sebahagian besar kerjaya gurunya dihabiskan di Pedu. Jadi amat tepat dia mendapat gelaran "Pedu".
Pedu adalah nama sebuah mukim yang terletak dalam daerah Padang Terap dengan ibu daerahnya ialah Kuala Nerang. Bagi orang Kedah, Pedu dan daerah Padang Terap adalah daerah ulu dan mundur. Takrif orang ulu telah mendapat ulasan daripada Tun Dr Mahathir ( layari blog: http://chedet.co.cc/chedetblog/)
Sebagai anak Pedu dan orang ulu, masyarakat Pedu termasuk Cikgu Mat Pedu mempunyai beberapa kelainan daripada orang hilir (istilah yang merujuk kepada orang Kedah yang tinggal di sekitar bandar Alor Setar)
Kelainan yang paling ketara ialah dari segi tutur kata. Semua orang Pedu bertutur mengikut dialek Melayu Pattani, di Selatan Thai atau masyarakat Kelantan. Dialek dan loghat Pedu adalah sama dengan masyarakat Sik dan Baling yang berkemungkinan berasal dari rumpun melayu yang sama dengan masyarakat Pattani di selatan Thai. Kalau orang hilir (bandar) Kedah bertanya kemana anda hendak pergi dengan loghat Kedah iaitu " hang nak pi mana?" (yang dianggap bahasa standard Kedah), masyarakat Cikgu Mat Pedu akan menuturkan seperti berikut; "Mu nak gi ko na?". Istilah lain yang digunakan oleh masyarakat Pedu ialah seperti khelik (balik), ' a' ( air), ' wat pa' (buat apa?), mu (kamu) dan banyak lagi. Secara umumnya dialek atau loghat bahasa itu sebenarnya telah diringkaskan atau dipendekkan sebutannya.
Oleh kerana dialek yang berlainan, maka orang Pedu jika mereka keluar daripada lengkungan masyarakatnya mereka akan merasa rendah diri dan mempunyai tahap inferioriti kompleks yang tinggi. Oleh itu mereka akan kurang bertutur dengan orang luar.
Kelainan lain ialah nama gelaran kepada ibu dan bapa yang mempunyai anak. Apabila seseorang bapa mempunyai anak, maka masyarakat akan memanggilnya dengan gelaran nama anak sulung. Contohnya, Cikgu Mat Pedu mempunyai anak lelaki sulung bernama Fisol, maka selain daripada nama Cikgu Mat Pedu, dia juga dipanggil dengan nama gelaran Pak Fisol manakala isterinya dipanggil Mak Fishol. Jadi dalam masyarakat Pedu, akan ada Pak Sara dan Mak Sara (merujuk nama anak pertama mereka, Sara ), Pak Hawa dan Mak Hawa dan begitulah seterusnya. Jadi jika kita bertanya nama individu itu sendiri, mungkin masyarakat tidak akan tahu kecuali jika kita kaitkan nama anak sulung mereka.
Begitulah uniknya masyarakat Pedu dari sudut sosiologi dan antropologi yang diwarisi oleh Cikgu Mat Pedu.
Hari ini, nampaknya dialek dan loghat Pedu makin pupus, Anak-anak muda tidak lagi bertutur menggunakan loghat Pedu kerana mereka telah terdedah dengan dunia luar ( orang hilir ). Hanya generasi lama sahaja yang masih menuturkan loghat tersebut. Begitu juga dengan gelaran mengikut nama anak sulung juga semakin dilupakan. Pembangunan, telah merubah world view anak-anak Pedu. Walau bagaimanapun masyarakat Pedu patut berbangga kerana budaya menyebut istilah secara ringkas yang dipraktikkan dalam masyarakat mereka kini digunakan secara meluas dalam budaya sms.

Berpindah ke Taman Uda

Semasa masih mengajar di SK Pedu pada tahun 1970an dan telahpun membina sebuah rumah sendiri di belakang SK Pedu (bangunan lama yang masih ada hingga sekarang), Cikgu Mat Pedu masih berhasrat untuk mempunyai sebuah rumah di Alor Setar. Hasrat tersebut dilontarkan kepada rakan-rakan dan keluarga. Reaksi yang diterima daripada rakan dan keluarga ialah mengapa perlu membazir untuk membeli rumah di bandar kerana sebagai seorang guru dan anak tempatan Pedu besar kemungkinan Cikgu Mat Pedu tidak akan ditukarkan ke mana-mana sehingga pencen. Dia akan terus kekal di Pedu.
Walau bagaimanapun Cikgu Mat Pedu terus berkeras hati. Kepada isterinya diceritakan niat atau tujuan kenapa harus membeli sebuah rumah di Alor Setar. Katanya, 'Kalau kita ada rumah di Alor Setar, nanti senang anak cucu kita yang dapat belajar di Alor Setar. Mereka boleh tinggal di rumah kita dan akan memudahkan mereka belajar."
Dengan izin Allah rezeki untuk memiliki rumah di Alor Setar menjadi lebih mudah, apabila Cikgu Mat Pedu menyuarakan hasrat tersebut kepada rakannya En. Rahim seorang pegawai pertanian di Kuala Nerang yang mencadangkan agar dia membeli sebuah rumah di Jalan Day (sekarang Jln. Sultanah, A Setar) yang diusahakan oleh UDA dengan harga RM27k. Pada waktu itu harga sedemikian adalah agak tinggi.
Pada peringkat awal pembinaan projek perumahan tersebut, ramai orang menyindir mengatakan macam rumah nelayan di Kuala Kedah kerana melihat tiangnya yang berceracak di kelilingi oleh sawah bendang terutama pada musim sawah dipenuhi air.
Alhamdulillah apabila Cikgu Mat Pedu bertukar ke SK Iskandar Alor Setar, dia dapat tinggal di rumah barunya di Taman Uda pada tahun 1976. Memang benar, apabila berpindah ke Taman Uda, anak-anaknya Nasir mudah berulang alik semasa belajar tingkatan 6 di Kolej Sultan Abdul Hamid, Khir pula dapat mengayuh basikal ke SM Dato Syed Omar dan Amer pula mengikutnya ke SK Iskandar. Nampaknya niat murni Cikgu Mat Pedu untuk mendidik anak-anak sebaik mungkin dimakbulkan tuhan dengan cara mempermudahkan segala urusan memiliki rumah baru.
Niat murni Cikgu Mat Pedu untuk menjadikan rumahnya di Taman Uda sebagai tempat anak cucu tinggal untuk belajar dimakbulkan Allah kerana ramailah anak saudara dan cucu saudara datang dan tinggal di rumah itu semasa mereka belajar. Antaranya ialah Ruziah (Kak Chik), Zuraida ( Eda ), Zaini, dan Roslee (Pak Ali). Selain daripada itu, di tingkat bawah terus di sewakan kepada pelajar-pelajar yang belajar di SMK Dato Syed Omar dan SMK Sultanah Bahiyah.
Hari ini rumah di Taman Uda terus didiami oleh isteri Cikgu Mat Pedu bersama dengan anaknya Fauzi sekeluarga dan mereka masih bersedia menerima anak cucu dari Pedu untuk tinggal dan belajar di Alor Setar.

Friday, February 13, 2009

Anak Murid Cikgu Mat Pedu II

Hari ini di Kedah terdapat tokoh koperat yang terkenal iaitu Dato B*****. Beliau merupakan seorang kontraktor yang berjaya dan disegani di negeri Kedah. Walau bagaimanapun beliau bersifat 'low profile' dan tidak suka menonjolkan dirinya. Beliau sebenarnya adalah antara beberapa orang anak Pedu yang berjaya dalam dunia koperat sehingga mampu mendapat anugerah Dato daripada DYMM Sultan Kedah.

Beliau adalah antara beberapa orang anak murid Cikgu Mat Pedu yang berjaya dan masih meneruskan silatulrahim dengan keluarganya Cikgu Mat Pedu sehingga sekarang. Beliau berasal dari Kg Lubuk Merbau, Pedu. Untuk ke sekolah Dato terpaksa berjalan kaki atau berbasikal dan terpaksa menyeberangi Sungai Pedu melalui jambatan gantung yang kecil dan daif. Jambatan gantung tersebut hanya boleh digunakan oleh pejalan kaki, basikal dan motosikal sahaja. Jika musim kemarau, bila air sungai agak kering kanak-kanak lebih gemar menyeberangi sungai tanpa menggunakan jambatan gantung sekaligus mandi manda dengan baju sekolah.
Walaupun dalam keadaan susah sedemikian, Dato B***** tetap meneruskan persekolahannya sehingga tamat darjah enam di SK Pedu. Bahari seorang murid yang pintar kerana dia pandai membaca quran dan berlagu. Dia berjaya mewakili SK Pedu dalam pertandingan bacaan Quran (sekarang Tilawah). Dia disuruh tinggal di rumah guru besar iaitu Cikgu Mat Pedu selama beberapa minggu untuk membuat persediaan pertandingan. Ini kerana dia dibimbing oleh Ustaz Muin yang akan datang semula pada waktu malam. Jadi pada waktu malam sekali lagi dia berlatih membaca quran.
Walaupun tidak berjaya ke peringkat negeri tetapi Bahari adalah seorang murid yang baik dan cemerlang. Kecemerlangannya berterusan sehingga ke sekolah menengah, kemudian melanjutkan pengajiannya ke Sek Men Teknik Kuantan dan seterusnya Politeknik Ungku Omar dan berjaya menamatkan pengajian. Dia kemudian bekerja dengan Syarikat Gila Padang Terap.
Selepas beberapa lama di Syarikat Gula Padang Terap, beliau mengambil keputusan untuk berhenti dan melibatkan diri dalam dunia kontraktor. Bermula daripada itu rezeki beliau melimpah ruah dengan pelbagai jenis kontrak dan bisnes daripada pembinaan , perladangan, pusat latihan PLKN, pusat latihan kapal terbang dan lain-lain.
Episod penting dalam mengeratkan lagi hubungan silatul rahim ini ialah apabila beliau datang ke rumah Cikgu Mat Pedu dan meminta pertolongan Cikgu Mat Pedu menguruskan perkahwinan dengan gadis pilihannya. Atas usaha Cikgu Mat Pedu dan niat suci akhirnya, mereka dapat jodoh sehingga beranak pinak sehingga sekarang.
Falsafah Cikgu Mat Pedu adalah mudah; jika anda jujur dan ikhlas dalam sesuatu perkara, dia akan sedia menolong tanpa mengira wang ringgit atau tenaga.

Thursday, February 12, 2009

Membawa Keluarga Ke Alor Setar




Dari Pedu ke Alor Setar pada tahun 1960an adalah perjalanan yang jauh walaupun jaraknya sekarang adalah lebih kurang 45 minit sahaja. Untuk perjalanan sejauh 30 batu ( 48 km) Cikgu Mat Pedu akan memandu melintasi pekan-pekan kecil seperti Kuala Nerang, Pokok Sena, Jabi, Langgar sebelum sampai ke Alor Setar. Oleh kerana jauh Cikgu Mat Pedu hanya mampu membawa keluarga ke Alor Setar dua atau tiga bulan sekali.
Sepanjang perjalanan ke Alor Setar ada beberapa tempat yang sunyi dan menakutkan seperti di Bukit Tampoi berhampiran Kg Pokok Machang. Di kawasan Bukit Tampoi contohnya adalah kawasan di mana pengganas komunis telah menyerang pasukan keselamatan kerana di kiri kanan jalan tersebut dipenuhi hutan tebal dan tiada berpenghuni.
Oleh kerana terlalu jauh perjalanan ke Alor Setar, suatu kelaziman yang sering dilakukan oleh Cikgu Mat Pedu ialah dia akan berhenti di pekan Langgar. Di pekan Langgar sebenarnya ada dua kedai bihun sup yang sedap dan menyelerakan iaitu kedai Omar Bom dan Kedai Non dan di situ dia mula menjamu keluarga dengan bihun sup dan ais kacang. Oleh kerana terlalu jauh, kadang-kadang anak Cikgu Mat Pedu terpaksa meminta tambahan satu pinggan lagi kerana lapar dan juga sedap. Lazimnya Cikgu Mat Pedu akan memilih untuk makan bihun sup di kedai Non.
Setelah kenyang, mereka akan meneruskan perjalanan ke Alor Setar.
Di Alor Setar, Cikgu Mat Pedu akan ke Pekan Melayu untuk membeli pakaian di sebuah kedai yang boleh dianggap besar. Untuk membeli barangan untuk masakan dia akan ke kedai-kedai di Jalan Tengku Ibrahim. Antara barang yang dibeli ialah bihun dan sotong kering yang akan digunakan oleh isterinya yang berniaga di kantin sekolah Pedu.

Bagi anak-anaknya Fauzi dan Nasir jika ke Alor Setar mereka tidak melepas peluang untuk membeli komik dalam bahasa Inggeris iaitu The Beano dan Dandy di kedai-kedai India di hadapan stesyen bas Jalan Langgar. Di dalam komik bersaiz tabloid ada beberapa cerita kartun seperti Dennis the Menace, Minnie the Minx, The Bash Street Kids dan lain-lain. Turut dibeli ialah komik-komik penerbitan Marvel seperti Captain America, Fantastic Four, Hulk, Ironman dll. Bagi anak-anak Cikgu Mat Pedu bila dah dapat buku-buku komik seperti itu, mereka akan duduk diam dan membacanya sepanjang perjalanan pulang.
Setelah penat membeli belah di Alor Setar, tempat makanan yang special ialah makan mee bandung di kedai Ishak Mee Bandung berhadapan dengan stesyen bas Jalan Langgar. Mee bandung Ishak sangat enak dimakan dan para pelanggan terpaksa menunggu agak lama untuk menikmati mee bandungnya. Sesekali Cikgu Mat Pedu akan membawa keluarganya menonton wayang filem-filem P. Ramlee di panggung Cathay dan Rex.
Untuk balik ke Pedu, Cikgu Mat Pedu akan memastikan bahawa dia mesti sampai ke rumahnya di Pedu sebelum hari malam kerana dengan kereta yang daif dan perjalanan yang jauh boleh menimbulkan pelbagai masalah.
Hari ini semuanya telah berubah, tiada lagi kedai barangan runcit di sepanjang Jln Tunku Ibrahim. Panggung Cathay telah bertukar menjadi restoran makanan segera manakala panggung Rex di Jln Putra telah berhenti operasi.




Jika hari ini anak-anak Pedu boleh berulang alik dari Pedu ke Alor Setar, tetapi di tahun 1960an adalah sebaliknya. Kita patut bersyukur!!!


Monday, February 9, 2009

Cikgu Mat Pedu Dan Kuarters Guru

Sepanjang kerjaya Cikgu Mat Pedu sebagai guru dia berkesempatan untuk tinggal di kuarters kerajaan di dua tempat iaitu di kuarters guru SK Bohor, Hutan Kampung dan di SK Kuah, Pulau Langkawi ( sekarang dikenali sebagai SK Seri Negeri, di hadapan Masjid Al-Hana, Kuah). Semasa di Pedu tiada kuarters guru disediakan oleh kerajaan, jadi terpaksa membina rumah sendiri di atas tanah sekolah dan kemudian membeli sebidang tanah di belakang SK Pedu ( sekarang blok yang lama di seberang jalan). Dia kemudian membina sebuah rumah sendiri di atas tanah tersebut.
Apabila ditukarkan ke SK Bohor, Hutan Kampung pada 1975 dia terpaksa membawa keluarga ke tempat tinggal yang baru. Di sekolah tersebut terdapat dua unit rumah guru, satu diduduki oleh Cikgu Hassan dan isterinya Cikgu Jamilah manakala satu unit lagi terbiar kosong dan rosak dan pihak sekolah tidak berhasrat untuk membaikinya.
Cikgu Mat Pedu tiada pilihan untuk menempatkan keluarganya, maka dia terpaksa juga tinggal di rumah guru yang terbiar itu. Guru Besar, Mr. Phang Boon Khing ketika itu tidak mengambil inisiatif untuk membantu Cikgu Mat Pedu dan hanya sekadar membenarkan dia tinggal di rumah guru yang terbiar dan rosak.
Sebagai seorang guru lama, tentu Cikgu Mat Pedu kecewa dengan sikap guru besarnya yang tidak prihatin dan tidak ambil peduli kebajikan anak buahnya. Dia mengambil langkah dengan mengeluarkan belanja untuk memasang elektrik dan air, membersih rumah yang bertahun-tahun tidak diduduki dan kotor. Anak-anak diarah untuk mencuci dan membersih rumah tersebut. Pintu tingkap yang tertanggal diupah tukang untuk dibaiki. Akhirnya dapatlah dia sekeluarga tinggal di kuaters usang dan terbuang selama hampir tiga tahun dan kemudian berpindah ke rumah barunya di Taman Uda, Jalan Sultanah.
Keadaan perit dan sukar mendapat kuaters sekali lagi berulang pada tahun 1980 apabila sekali lagi Cikgu Mat Pedu ditukarkan ke SK Ladang Sungai Raya, Jln. Kisap, Pulau Langkawi, walaupun pada waktu itu dia hampir hendak bersara. Sekali lagi, masalah tempat tinggal menjadi masalah kerana pada waktu itu Pulau Langkawi belum membangun dan bagi sesetengah orang dianggap sebagai tempat buangan daerah penjawat awam di negeri Kedah. Oleh kerana di SK Ladang Sg Raya tidak mempunyai kuarters, Cikgu Mat Pedu merayu pihak Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Langkawi untuk membenarkan dia untuk tinggal di kuarters papan yang usang dan uzur di SK Kuah (bersebelahan pejabat PPD). Kuarters itu sebenarnya telah dijadikan stor untuk menyimpan kerusi dan meja yang patah dan tempat simpanan buku-buku terbuang SK Kuah. Kuarters itu juga sering dinaiki air apabila hujan lebat.
Dengan keadaan kuarters yang cukup uzur, pihak guru besar dan PPD Langkawi beranggapan tentu Cikgu Mat Pedu tidak sanggup untuk tinggal di rumah tersebut. Tetapi dengan kegigihan seperti yang ditunjukkan semasa membaik pulih kuarters di Hutan Kampung dia akhirnya dapat tinggal di kuarters buruk itu. Alhamdulillah di kuarters itulah Cikgu Mat Pedu tinggal bersama isteri dan anak bongsunya Amer serta anak angkat Latiff seorang juru teknik Jabatan Perumahan Negara yang ditugaskan untuk menyelia projek perumahan kos rendah di Langkawi.
Kuarters yang buruk dan tidak terurus oleh pihak sekolah telah menjadi 'istana' kepada Cikgu Mat Pedu sekeluarga. Semua kos untuk membaik pulih kuarters tersebut ditanggung oleh Cikgu Mat Pedu pada awalnya.
Apa yang lebih menarik, apabila hujan lebat, kuarters itu akan digenangi air hujan di bawah rumah dan akan terdapat ikan puyu dan keli berenang di bawah rumah dan bagi Amer danLatiff mereka hanya memancing dari celahan papan lantai rumah untuk mendapatkan ikan puyu dan keli. Jika orang lain terpaksa ke sawah dan sungai mereka hanya duduk di atas rumah dan terus memancing.
Walau bagaimanapun ada juga insiden sedih, iaitu apabila pihak sekolah mengunci bilik tandas sekolah kerana tidak membenarkan keluarga Cikgu Mat Pedu menggunakan tandas sekolah. Sebenarnya di kuarters itu tidak terdapat tandas dan Cikgu Mat Pedu terpaksa memohon ehsan pihak sekolah membenarkan mereka menggunakan tandas sekolah ( itupun sekadar untuk membuang air besar sahaja). Bayangkan jika dalam situasi 'cemas' tiba-tiba kita tidak dapat menggunakan tandas. Inilah situasi dan tingkahlaku sesama kekeluarga pendidik, kita tidak mahu bekerjasama dan saling tolong menolong apatah lagi jika ditambah dengan perasaan hasad dengki.
Ada juga peristiwa di mana pihak sekolah cepat meninjau dan membantu untuk melihat kuarters tempat tinggal Cikgu Mat Pedu sekeluarga. Ini berlaku apabila pegawai audit sekolah datang untuk mengaudit sekolah tersebut dan kebetulan salah seorang pegawai audit tersebut adalah anak buah Cikgu Mat Pedu dan membuat "lodging" di kuarters tersebut, pihak sekolah baru datang dan bertanya masalah. Inilah budaya kita, bila orang besar datang kita baharu terhegeh-hegeh untuk menunjuk simpati.
Bagi Cikgu Mat Pedu, pengalaman susah senang di tempat orang mungkin menjadi asam garam kehidupannya sekeluarga, tetapi bagi anak-anaknya,tindak tanduk segelintir pegawai pelajaran(GB dan PPD) gagal melaksanakan amanah mereka dalam dunia pendidikan. Mereka bercakap tentang nilai dan moral tetapi mereka sendiri gagal melaksanakan. Cakap Tak Serupa Bikin!!!
Hari ini, kedua-dua kuarters tempat tinggal itu telah berkubur. Di SK Bohor, di atas tapak kuarters itu telah di dirikan apartmen guru manakala di P. Langkawi tapak kuarters itu telah dibina bilik-bilik darjah.
Yang masih kukuh dan tersemat diingatan ahli keluarga Cikgu Mat Pedu, ialah kegigihan dan azam kuat yang dimiliki oleh Cikgu Mat Pedu dalam mengharungi cabaran dan dugaan dalam kehidupan.

Monday, January 26, 2009

Fisol Anak Yang Gigih Mengejar Ilmu

Antara anak-anak Cikgu Mat Pedu yang paling gigih nak masuk universiti ialah Fisol. Dia mengambil peperiksaan STP (STPM) tidak kurang dari 10 kali, namun tidak berjaya ke universiti. Dia mengambil peperiksaan dari muda sehingga berkeluarga dan tidak mudah berputus asa. Kalau melihat cara dia belajar, adik-adiknya lain tidak mampu mengikutnya. Segala nota dan buku pelajaran disimpan kemas dan tersusun. Buku-buku, majalah dan surat kabar tidak akan dibuang sewenang-wenang sebaliknya disimpan seberapa lama yang mampu.
Dia tidak dapat ke universiti bukan kerana gagal peperiksaan tetapi pada masa tersebut peluang ke universiti amat terhad. Tidak seperti sekarang - universiti banyak, macam-macam program ada. Hanya hendak atau tidak saja.
Hari ini walaupun dia tidak ke universiti, tetapi anak-anaknya telah berjaya ke menara gading.
Catatan Penulis
Terima kasih PEKASAM kerana memberi input.

Anak Bongsu Yang Mengenang Jasa

Amer anak bongsu Cikgu Mat Pedu adalah seorang anak yang mengenang jasa. Disamping berjasa kepada kedua ibu dan ayah serta keluarganya, dia juga mengenang jasa kepada gurunya.
Berikut ialah cerita bagaimana dia mengenang jasa guru.
Sekitar tahun 1990an bekas pengetuanya di SM Mahsuri, P. Langkawi iaitu Cikgu Manaf Ahmad telah dinaikkan pangkat dan ditugaskan sebagai Pengetua Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim (MPTI), Johor Bharu. Apabila mendapat maklumat bahawa bekas pengetuanya bertukar ke Johor Bharu, Amer yang tinggal dan bekerja di Johor Bharu terus menghubungi MPTI untuk bercakap dengan gurunya dan dia merupakan bekas anak murid Cikgu Manaf yang pertama menghubungi dan bersedia membantu cikgunya. Walaupun Cikgu Manaf tidak memerlukan pertolongan daripada Amer, tetapi dia amat menghargai sikap anak didiknya yang menghubungi gurunya.
Apabila Cikgu Manaf Ahmad ditukarkan sebagai Pengetua Institut Perguruan Darulaman (IPDA) Jitra, dalam ucapan pertamanya di hadapan pelatih IPDA dia telah menceritakan bagaimana mulianya tugas seorang pendidik kerana mereka akan dikenang oleh anak didik mereka. Dengan memberikan contoh tentang tingkah laku Amer yang menjadi anak murid pertama menghubunginya untuk menghulurkan bantuan. Walaupun dalam majlis itu dia tidak menyebut nama Amer sebaliknya menyebut " anak Cikgu Mat Pedu " dan mengagumi cara Cikgu Mat Pedu mendidik anak-anak menghormati guru dan insan lain, dia turut mengharapkan pelatih IPDA mempunyai pekerti yang sedemikian.
Difahamkan juga sikap menolong orang masih diteruskan oleh Amer dan rakan-rakan tetapi mereka bersikap low profile dan tidak menghebah kepada orang ramai. Bantuan yang dihulurkan kepada ibu-ibu tunggal, mangsa banjir dan lain-lain di sekitar Bandaraya Johor Bharu.
Syabas, Amer teruskan usaha memartabatkan keluarga Cikgu Mat Pedu.

Kaedah Pengajaran Cikgu Mat Pedu

Cikgu Mat Pedu sebagai seorang guru menggunakan kaedah pengajaran yang berkesan untuk mendidik anak didiknya. Kaedah yang digunakan ialah merotan. Sebagai seorang guru besar di SK Pedu dia akan meronda dari kelas ke kelas dan ditangannya pasti memegang sebatang rotan. Dengan rotan ditangan menyebabkan anak murid akan duduk diam dan tidak berani melanggar peraturan sekolah. Apatah lagi dengan wajahnya yang garang akan menambah rasa takut di kalangan anak muridnya. Kadang-kadang bila murid bising dalam kelas, dia akan memukul meja dengan rotan dan bunyinya sudah pasti menakutkan anak muridnya. Sebenarnya Cikgu Mat Pedu jarang merotan anak murid kecuali mereka benar-benar melakukan kesalahan seperti mencuri dan bergaduh. Rotan hanyalah alat untuk menakutkan anak muridnya. Sebab itu sehingga sekarang kalau ditanya tentang Cikgu Mat Pedu di kalangan anak muridnya mereka akan mengatakan Cikgu Mat Pedu sangat garang. Walau bagaimanapun sekarang mereka bersyukur dengan sikap garang Cikgu Mat Pedu kerana melalui didikan sedemikian mereka telah menjadi 'manusia' dan kini mampu mendidik anak mereka untuk belajar.
Apabila Cikgu Mat Pedu ditukarkan ke beberapa sekolah lain, dia tidak lagi menggunakan rotan dalam proses p&p nya, kerana mungkin dia menggunakan pendekatan psikologikal pula.
Hari ini pendekatan pembelajaran menggunakan rotan nampaknya tidak lagi dapat dilaksanakan dalam bilik darjah. Hanya guru-guru tertentu sahaja dibenarkan merotan murid yang melakukan kesalahan. Terserah kepada pembaca untuk menilai baik buruk penggunaan rotan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Anak-anak Angkat Cikgu Mat Pedu II

Terima kasih PEKASAM kerana menambah maklumat mengenai anak-anak angkat Cikgu Mat Pedu. Di bawah diturunkan maklumat yang disediakan oleh PEKASAM mengenai dua lagi anak angkat Cikgu Mat Pedu:

Lagi tentang anak angkat Cikgu Mat Pedu: Roziah
Cikgu Mat Pedu pernah ada anak angkat yang bernama Roziah . Rodziah diberi oleh emaknya yang tinggal di Kg Padang Sanai kepada keluarga Cikgu Mat Pedu. Mereka menyerahkan Roziah kerana keluarga tersebut hidup dalam kesempitan kerana kemiskinan. Keluarga Cikgu Mat Pedu amat gembira kerana mereka tiada anak perempuan. Anak-anak Cikgu Mat Pedu (masa tu Khir & Amir belum ada lagi) paling gembira - maklum dapat kakak. Tinggal tak lama kerana nenek Kak Roziah (panggilan anak-anak Cikgu Mat Pedu) kacau & minta balik balik cucunya. Walau pun sayang, keluarga Cikgu Mat Pedu terpaksa serahkan kembali mengikut kehendak neneknya.
Kali terakhir ditemu (entah berapa puluh tahun dulu) di kawasan pondok Langgar.

Anak Angkat Cikgu Mat Pedu : Ali
Kalau tak salah ingatan (maklum dah tua) anak angkat Cikgu Mat Pedu yang paling awal ialah Ali seorang anak muda dari Seberang Prai, P Pinang. Bagaimana dia jadi anak angkat Cikgu Mat Pedu tidaklah diketahui . Semasa bersama keluarga Cikgu Mat Pedu, beliau lebih banyak bertindak sebagai pemandu kereta Cikgu Mat Pedu. Setelah berpisah (tahun?? & kenapa??) beliau yang jadi pemandu teksi pernah datang cari Cikgu Mat Pedu di Taman Uda. Anak kedua Cikgu Mat Pedu pernah membalas lawatan tersebut sekali. Kini beliau sudah tidak ingat di mana rumahnya.

Catatan Penulis:
Terima kasih PEKASAM kerana menyenaraikan anak angkat Cikgu Mat Pedu yang lain. Anak-anak angkat ini harus disambung silatulrahim jika kita ada kesempatan dan maklumat di mana mereka tinggal sekarang. Insya Allah

Sunday, January 25, 2009

Anak-anak Angkat Cikgu Mat Pedu

Cikgu Mat Pedu mempunyai ramai anak angkat. Ini kerana memang dia suka menolong orang walaupun zahirnya wajahnya agak garang. Antara anak angkatnya ialah Zainuddin Sulaiman, Ustazah Sofiah Hj. Bakar,ustazah Fatimah, Cikgu Zainab, Latiff dan Ibnu Hajar.
Zainuddin Sulaiman, Sofiah, Fatimah dan Zainab sebenarnya adalah staf Cikgu Mat Pedu yang ditugaskan untuk mengajar di SK Pedu. Pada waktu itu SK Pedu tiada rumah guru (kuarters) untuk guru-guru baru yang datang bertugas di Pedu. Guru-guru baru sama ada berulang alik dari Kuala Nerang atau menyewa rumah penduduk kampung. Walau bagaimanapun rumah sewa tidaklah begitu sempurna dengan ketiadaan bekalan air dan api elektrik. Ini menyebabkan tidak ramai guru yang sanggup bertugas di luar bandar seperti Pedu.
Bagi guru-guru perempuan, seperti Ustazah Sofiah Hj. Bakar, Ustazah Fatimah dan Zainab mereka tiada pilihan dan terpaksa tinggal di rumah Cikgu Mat Pedu yang terletak di belakang sekolah. Ustazah Sofiah, tidak tinggal bersama di rumah cikgu Mat Pedu, sebaliknya dia menyewa rumah yang terletak di belakang rumah Cikgu Mat Pedu. Oleh kerana mereka sudah tinggal dengan Cikgu Mat Pedu, mereka memanggil Pak Long dan Mak Long kepada Cikgu Mat Pedu dan isterinya. Guru-guru ini tinggal agak lama, ada yang dua tahun, tiga tahun sehinggalah mereka berkahwin atau bertukar.
Bagi Zainuddin Sulaiman dia menjadi anak angkat Cikgu Mat Pedu begitu lama. Daripada seorang guru bujang yang datang dari Bukit Mertajam sehinggalah berumah tangga dengan Khadijah gadis Kg Sematang Gunung dia terus menetap di Pedu. Dia juga yang menyewa dan menjaga rumah Cikgu Mat Pedu apabila Cikgu Mat Pedu bertukar ke Hutan Kampung. Bagi Zainuddin , Cikgu Mat Pedu dianggap bapanya kerana dia kematian bapa semasa kecil lagi. Segala nasihat dan teguran Cikgu Mat Pedu diikut sepenuh hati. Contohnya, bila Cikgu Mat Pedu membeli rumah di Taman Uda, dia menyuruh Zainuddin membeli sama dan Zainuddin menurut cadangan bapa angkatnya.
Apabila Cikgu Mat Pedu bertukar ke Langkawi, dia juga memelihara anak angkat iaitu Latif Zainuddin dan Ibnu Hajar. Cikgu Mat Pedu seorang yang mudah kira bicara Apabila dia bertemu dengan Latif di pekan Kuah, pemuda itu menceritakan masalah tempat tinggal dia terus menawarkan untuk tinggal di rumahnya untuk beberapa hari sebelum dapat rumah sewa. Dari beberapa hari menjadi bertahun kerana Latif rasa cukup selesa tinggal bersama Cikgu Mat Pedu. Begitu juga dengan kawan Latif, Ibnu Hajar (pegawai Felcra Teluk Yu ) turut tinggal dan menjadi anak angkat sehingga dia berkahwin dengan gadis Langkawi.
Demikianlah sikap Cikgu Mat Pedu yang suka menolong sesiapa sahaja dan alhamdullilah semua anak-anak angkatnya sentiasa mengingati Cikgu Mat Pedu dengan sesekali mengunjungi Mak Long mereka yang ada di Taman Uda.

Anak Kedua Cikgu Mat Pedu III

Cikgu Mat Pedu seorang insan yang amat mencintai ilmu. Dia sanggup bergolok gadai untuk ilmu. Tradisi mencintai ilmu nampaknya diwarisi oleh anak-anak beliau iaitu Fisol, Fauzi, Nasir, Khir dan Amer. Mereka semuanya gemar belajar untuk berjaya.
Fauzi adalah model yang boleh diikuti oleh semua dalam mencari ilmu. Selepas menamatkan pelajaran peringkat MCE (SPM) dalam aliran Inggeris dia mendapat jawatan sebagai kerani sekolah dan ditugaskan di SK Gajah Mati, Pokok Sena. Dari situ dia belajar hal-hal perkeranian sekolah seperti membuat penyata gaji, dan lain-lain. Walau bagaimanapun dia tidak berpuas hati dengan kerja tersebut menyebabkan dua tahun kemudian dia memohon untuk mengikuti kursus di maktab perguruan. Rezeki memihak kepadanya kerana dengan sekali permohonan dia mendapat tawaran kursus perguruan di Maktab Perguruan Jalan Northam (MPJN)Pulau Pinang pada 1977. Selama dua tahun dia menjadi guru pelatih . Setelah tamat pengajian di MPJN, Fauzi telah dihantar bertugas ke Kelantan untuk mengajar Bahasa Inggeris. Di Kelantan, Fauzi tidak berkesempatan untuk melanjutkan pelajaran sehinggalah dia balik semula ke Kedah setelah lima tahun bertugas di sana.
Apabila pulang ke Kedah, Fauzi aktif dalam kegiatan sukan seperti bola sepak dan bola baling di sekolah-sekolah dia mengajar. Dia sering menjadi juru latih dan guru pengiring bagi pasukan sukan sekolahnya. Oleh kerana tidak mempunyai sijil dalam kejurulatihan sukan dia sering diperlekehkan oleh guru-guru lain tentang kebolehannya. Menyedari kekurangan ilmu dalam bidang sukan ( walau pun bakat sukannya besar), dia memohon untuk mengikuti kursus satu tahun dalam bidang sukan. Alhamdullilah, dia berjaya ditawarkan untuk mengikuti kursus satu tahun dalam bidang sukan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras sehingga tamat pengajian dalam bidang sukan dengan cemerlang.
Apabila rakan-rakan lain sibuk melanjutkan pengajian ke universiti, Fauzi juga mencuba nasib dengan cara laluan kedua, iaitu tanpa menggunakan kelulusan STPM sebaliknya melalui kursus lanjutan. Sekali lagi Fauzi menyambung kursus dalam bidang sukan di Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI), Tg Malim kerana dijanjikan selepas tamat pengajian di IPSI mereka akan diserap sebagai pelajar Universiti Pertanian Malaysia (UPM). Agak malang, kerana janji awal tidak ditepati oleh pihak kementerian.
Walau bagaimanapun Fauzi tidak berputus asa. Beberapa tahun kemudian dia sekali lagi memohon untuk mengikuti kursus satu tahun di Institut Perguruan Darulaman (IPDA) dalam bidang ICT yang menjadi bidang kegemarannya yang baru. Setelah menamatkan pengajian di IPDA dia ditawarkan untuk mengikuti ijazah sarjana muda di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan berjaya menamatkan pengajian dengan ijazah kepujian walaupun pada waktu ini dia sudah berkeluarga dan tanggung jawab terhadap keluarga semakin besar.
Tidak berpuas hati dengan ijazah pertama, Fauzi sekali lagi ke UUM untuk menyambung pengajian peringkat sarjana secara jarak jauh dan mampu memperolehi ijazah sarjana dalam pengurusan pendidikan. Hari ini difahamkan bahawa Fauzi sedang berusaha untuk meneruskan pengajian di peringkat tertinggi iaitu Phd. Sama-sama kita doakanagar Fauzi berjaya memperolehi ijazah tersebut.
Jelaslah bahawa Fauzi adalah insan yang amat mencintai ilmu. Baginya umur bukan penghalang untuk mencari ilmu. Tidak hairan apabila mendidik, dia sering mengajak anak didiknyauntuk rajin menuntut ilmu.

Anak Kedua Cikgu Mat Pedu II

Anak kedua Cikgu Mat Pedu, Fauzi apabila tamat menjalani kursus di Maktab Perguruan Jalan Northam P.Pinang telah di hantar mengajar ke Kelantan pada tahun awal 1979. Pada waktu itu ramai guru-guru lepasan maktab kumpulan PPAK (Inggeris) dihantar bertugas di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Trengganu dan Pahang. Penghantaran guru-guru muda bertujuan memenuhi keperluan guru bahasa Inggeris yang amat berkurangan dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar pantai timur.
Pada waktu itu ada satu bentuk stigma di kalangan masyarakat dan keluarga iaitu kalau bertugas di Kelantan mesti sangkut dengan gadis-gadis Kelantan (cik mek kelate) yang cantik molek. Kalau dah sangkut nanti tak balik ke kampung asal lagi. Itu bentuk pemikiran ibu bapa Fauzi.
Di Kelantan, Fauzi telah ditugaskan di beberapa buah sekolah dan antaranya ialah SK Bakong dalam daerah Pasir Mas. Dia dan beberapa orang kawan ( Cikgu Hidzir, Cikgu Mahazir (allahyarham Det) telah berkongsi menyewa rumah di Pasir Mas. Untuk tempoh lima tahun bertugas di Kelantan ada banyak kenangan pahit manis ditempuh oleh Fauzi dan dalam tempoh itu juga Cikgu Mat Pedu ternanti sama ada Fauzi akan sangkut dengan gadis Kelantan. Bagi cikgu Mat Pedu yang agak liberal dia tidak kisah sama ada bermenantukan orang Kedah atau luar Kedah. Baginya sama sahaja.
Apabila mendapat memo untuk balik ke Kedah setelah lima tahun bertugas di Kelantan, Fauzi menyewa lori untuk membawa balik barangnya. Apabila lori sampai di rumah di Taman Uda, semua keluarga terkejut besar kerana dia membawa balik "Mat Ripin" yang diluar pemikiran keluarga.
Mat Ripin sebenarnya ialah seekor kuda padi yang dibeli di Kelantan. Bagi masyarakat Kelantan yang tinggal berhampiran Sg. Golok memelihara kuda padi adalah perkara biasa, tetapi bagi masyarakat Taman Uda ial adalah haiwan yang ganjil untuk dipelihara di taman perumahan. Walau bagaimanapun Fauzi mampu memeliharanya untuk beberapa tahun dan kemudiannya Mat Ripin telah dijual kerana dia semakin sibuk dengan hobi baru... bersukan dan berkursus..
Oleh kerana Mat Ripin juga Cikgu Mat Pedu menjadi popular di kalangan penduduk Taman Uda kerana hanya anaknya seorang yang membawa pulang ole-ole lain daripada yang lain. Anak orang lain bawa balik menantu tapi anak Cikgu Mat Pedu bawa balik Mat Ripin.
Syabas Fauzi!! anda lain daripada yang lain.

Saturday, January 24, 2009

Ibu Cikgu Mat Pedu

Ibu Cikgu Mat Pedu bernama Salamah dan berasal dari Kg Lubuk Merbau, Pedu. Dia berkahwin dengan Hj. Abdul Rahman orang Kg Padang Setol. Mengikut salasilah, Hj Abdul Rahman berasal dari tanah seberang (Sumatra ?? atau tanah Jawa?? ). Difahamkan Hj. Abdul Rahman ialah seorang alim dan pernah menuntut di Mekah serta menunai menunaikan fardhu di Mekah sebelum perang Dunia II. Pada waktu itu, hanya seseorang yang gigih sahaja dan berkemampuan sahaja yang boleh menunaikan fardhu haji.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Jah (Khadijah????), Muhamad dan Said. Hj. Abdul Rahman meninggal dunia dan dikebumikan di kubur Kg Padang Stol di atas tanah wakafnya sendiri. Lokasi tanah perkuburan itu terletak dalam dusun durian Cikgu Mat Pedu yang menjadi tanah pusaka yang dibahagikan diantara anak-anak Hj Abdul Rahman.
Apabila kematian suami pertama, Salamah kemudian berkahwin kali kedua dengan Mat Saman dan berpindah ke Kg Barokas. Mereka dikurniakan seorang anak bernama Majid. Rumah mereka terletak bersebelahan masjid lama yang terletak lebih kurang 500 meter dari jalan besar . Penulis masih ingat bersebelahan rumah itu ada sebatang pokok sentul yang besar dan sebuah perigi kecil tempat makmum mengambil wuduk. Selepas kematian suami kedua, Hj. Salmah berpindah ke tepi jalan Pedu untuk tinggal bersama anaknya Majid. Walaupun bagaimanapun dia tidak tinggal bersama anaknya Majid, sebaliknya membina sebuah rumah kecil bersebelahan rumah Majid. Di rumah dia memasak dan tinggal bersendirian. Di waktu bersendirian, dia banyak menghabiskan masa dengan berzikir dan bersolat sunat.
Hjh Salamah kemudian mewakaf tanahnya untuk pembinaan masjid baru di Kg. Barokas dan masjid itu dinamakan Masjid Salamah sempena nama emak Cikgu Mat Pedu. Walaupun Hjh Salamah tinggal di Kg Barokas tetapi dia menghembuskan nafas terakhir di rumah anak sulungnya iaitu Cikgu Mat Pedu dan jenazahnya disimpan di tanah perkuburan Kg Musa . (bersebelahan Masjid Pedu) Anak Hjh Salamah iaitu adik bongsu Cikgu Mat Pedu, Hj Majid pula mewakafkan tanahnya kepada parti PAS (bersebelahan masjid ) untuk dibina markas PAS.
Ibu Cikgu Mat Pedu sebenarnya seorang yang pemurah yang senantiasa membantu orang.
Al Fatihah untuk Ibu Cikgu Mat Pedu.

Thursday, January 22, 2009

Hobi Anak Keempat Cikgu Mat Pedu

Khir ialah anak keempat Cikgu Mat Pedu. Hobinya memang berbeza daripada abang-abangnya dan juga adiknya, Amerul. Hobinya ialah MEMBACA. Dari kecil dia memang gemar membaca. Dia akan membaca apa sahaja bahan bacaan yang ada seperti buku cerita, surat khabar, majalah dan lain-lain bahan cetakan.
Di waktu lapangnya, dia jarang bersukan sebaliknya membaca buku. Kegemaran membaca buku menyebabkan buku senantiasa ada ditangannya. Di waktu tengahari, selepas makan dia akan berehat sambil berbaring di atas sofa panjang sambil membaca. Selepas membaca dia akan tertidur di atas sofa tersebut. Bila dia bangun, dia akan capai buku dan baca semula. Hobi membaca dapat diterap dalam dirinya semenjak kecil kerana pada masa itu (sekitar awal 70an), di rumah Cikgu Mat Pedu, tv hanya dapat ditonton pada waktu malam sahaja. Jadi banyaklah masa dapat digunakan untuk membaca.
Tabiat dan hobi murni tersebut berterusan sehingga ke hari ini walaupun dia sudah bekeluarga. Di rumahnya, penuh dengan pelbagai buku-buku tersusun di rak. Tetapi akhir-akhir ini Khir telah menambah hobi baru iaitu bermain golf.
Adalah menjadi harapan agar hobi membaca Khir dapat pula diwarisi oleh cucu dan cicit Cikgu Mat Pedu.

Tuesday, January 20, 2009

Hobi Cikgu Mat Pedu

Membaca hobi keluarga anak kedua Cikgu Mat Pedu dalam blog Anak Kedua Cikgu Mat Pedu memang menarik. ini kerana keluarga tersebut mampu memelihara pelbagai jenis haiwan (pets). Kegemaran ini bukanlah sesuatu yang baru dalam keluarga tersebut kerana anak kedua Cikgu Mat Pedu memang gemar memelihara haiwan semenjak kecil.
Fauzi ketika berusia sekitar 10 -11 tahun sebenarnya pernah menggendong dan memasukkan seekor anak anjing (puppy) dalam kain pelikat dan membawa anak anjing pulang ke rumah untuk dipelihara. Apabila sampai di rumah emaknya telah mengetahui bahawa dia telah membawa balik seekor anak anjing dan dia telah dimarahi dan dipaksa melepaskan anak anjing tersebut. Fauzi juga pernah memelihara seekor anak kera (ekor panjang) yang kematian ibu. Anak kera tersebut adalah pemberian Pak Long Janggut ( bapa Md Zain, di Kg Seladang Rebah). Fauzi sangat sayang kepada anak kera tersebut sehingga kadang-kadang dibawa tidur bersama. Agak malang anak kera tersebut akhirnya mati terjerut lehernya di ampaian di bawah rumah.
Nasir pula pernah memelihara seekor anak musang yang ditemui di dusun durian. Dia memelihara anak musang hingga besar dan apabila besar dia dinasihat oleh ibunya agar melepaskannya kerana takut musang tersebut akan memakan ayam peliharaan emaknya.
Cikgu Mat Pedu sendiri pernah juga memelihara beruk yang dibeli daripada orang kampung dan cuba melatihnya untuk memanjat kelapa. Walau bagaimanapun beruk itu diserahkan kepada orang lain kerana kerana ia cuba menggigit anak-anaknya semasa ditambat berhampiran rumah.
Isteri Cikgu Mat Pedu juga gemar memelihara binatang tetapi tidaklah seperti keluarganya yang lain. Dia lebih gemar memelihara lembu dan ayam itik sebagai sumber pendapatan sampingan keluarga.
Kesimpulannya, keluarga Cikgu Mat Pedu memang mempunyai hobi memelihara haiwan. Kalau Cikgu Mat Pedu masih ada, tentu dia juga akan sibuk memelihara lintah, ikan keli dan cacing sepeti yang banyak dilakukan oleh orang kita sekarang.

Wednesday, January 7, 2009

Cikgu Mat Pedu Penongkah Arus 1

Cikgu Mat Pedu sering menongkah arus bagi membawa pembaharuan kepada masyarakat Pedu. Di sini diperturunkan satu pembaharuan atau inovasi beliau yang mendapat tentangan masyarakat Pedu di sekitar 1950an.
Inovasi yang dibuat ialah mengadakan majlis kenduri kahwin pada waktu siang. Aneh kalau kita fikirkan hari ini tetapi itulah realitinya pada masyarakat Pedu pada waktu itu iaitu sekitar tahun 1950an. Bagi masyarakat Pedu pada waktu itu, majlis kenduri kahwin di adakan pada waktu malam. Tuan rumah akan menyediakan bangsal atau balai di mana semua tetamu akan naik dan bersila di atas balai dan apabila semua tetamu sudah sampai barulah hidangan akan diedarkan kepada tetamu yang hadir. Oleh kerana menanti semua tetamu hadir maka majlis makan akan bermula jam 10 malam atau lebih lewat. Orang kampung akan bersila bertemu lutut untuk mengadap hidangan. Satu talam hidangan akan dikongsi empat orang.
Bagi masyarakat Pedu waktu itu jika kenduri tetamu diedarkan satu talam mengandungi empat mangkuk gulai di mana seorang tetamu akan mendapat satu mangkuk seorang, manakala juadah lain seperti kerabu perut, atau goreng kacang panjang akan dikongsi. Aneh bagi orang luar kerana mangkuk gulai tidak akan dibekalkan dengan sudu, tetapi bagi masyarakat Pedu mereka akan menggunakan jari untuk kacau gulai dan mengangkat mangkuk untuk tuang ke dalam pinggan nasi. Nasi pula diedarkan secara bertangkup iaitu dua pinggan nasi ditangkup dan di dalamnya ada nasi. Satu talam ada dua tangkup nasi untuk dikongsi. Air pula menggunakan geluk dan semua orang akan minum dalam geluk yang sama. Demikianlah sedikit gambaran suasana majlis kenduri kahwin masyarakat Pedu sekitar tahun 1950an dan 60an.
Apabila anak saudara Cikgu Mat Pedu (Aisyah, anak Wa Jah, adik Cikgu Ismail Pedu) hendak berkahwin dengan Cikgu Ahmad dari Kg Padang Setol, dia berhasrat untuk mengadakan majlis kenduri kahwin pada waktu siang. Perubahan majlis kenduri dari malam ke siang kerana dia mempunyai saudara mara yang jauh di luar Pedu, seperti di Sg Baru Gunung, Alor Melintang menghadiri kenduri tersebut.
Hasrat tersebut telah mendapat tentangan daripada orang kampung. Mereka berhasrat memboikot majlis tersebut kerana bagi mereka orang tidak pernah membuat kenduri pada waktu siang. Bukan setakad memboikot, mereka tidak membenarkan cikgu Mat Pedu menggunakan pinggan mangkuk pakatan kampung. jadi bagaimana Cikgu Mat Pedu hendak mengadakan kenduri. Oleh kerana dia baik dengan masyarakat Siam yang tinggal di Camp Siam yang diketuai oleh Tok Ah Geng mereka telah bersetuju meminjamkan pinggan mangkuk masyarakat Siam. Tetapi akhirnya, masyarakat kampung berlembut dan membenarkan Cikgu Mat Pedu menggunakan peralatan pinggan mangkuk pakatan dan majlis kenduri kahwin Aisyah dapat dijalankan pada waktu siang. Budaya kenduri pada waktu siang di kalangan masyarakat Pedu sedikit demi sedikit telah berubah setelah mereka melihat idea yang dibawa oleh Cikgu Mat Pedu. Hari ini tiada lagi majlis kenduri kahwin pada waktu malam di kalangan masyarakat Pedu.
Sekarang, penulis ingin tahu siapakah orang Pedu pertama membawa budaya buffet dalam majlis kenduri kahwin masyarakat Pedu kerana sebelum mereka mengamalkan budaya makan berhidang..... ( satu talam empat orang )
* Catatan Penulis
Terima kasih IKANPEKASAM yang mencadangkan tajuk awal ditukar kepada tajuk di atas.

Friday, January 2, 2009

CIKGU MAT PEDU & BUDAYA ILMU

Sedutan Pandangan Daripada IKAN PEKASAM

CIKGU MAT PEDU & BUDAYA ILMU

Jangan salah faham & membuat andaian bahawa Cikgu Mat Pedu hanya meminati kereta. Beliau sebenarnya lebih mementingkan ilmu & kereta hanyalah sebagai satu kemudahan. Ini terbukti kerana:
1. Beliau menghantar anak-anaknya belajar di sekolah Inggeris di Kuala Nerang dan mengikuti sekolah menengah aliran Inggeris (kena bayar yuran bulanan RM 7.00 – bukan percuma).
2. Seawal tahun 1970 beliau membeli dan membayar secara ansuran satu set (20 buah) ensaiklopedia (Encyclopedia International: Copyright © 1970 By Crolier Incorporated, New York). Harganya (ingat-ingat lupa) sekitar RM500 - melebihi gaji bulanan beliau. Pembelian tersebut melayakkan beliau menerima percuma 4 buah ensaiklopedia perubatan & kesihatan iaitu The New Illustrated Medical & Health Encyclopedia: H. S. Stuttman Co., Inc. Publishers New York. Ensaiklopedia-ensaiklopedia tersebut masih disimpan dengan baik di rumahnya di Taman Uda. Nota: Biasanya individu jarang beli ensaiklopedia kecuali perpustakaan. Cikgu Mat Pedu beli kerana cintanya kepada ilmu.
3. Anak pertamanya dihantar ke Alor Star untuk sambung pelajaran. Mula-mula menumpang di SM Dato’Syed Omar kemudian bertukar ke SM Telok Chengai Lelaki (kini SMK Tunku Laksamana).
4. Kepada anak keduanya beliau pernah berkata yang beliau sanggup gadai rumahnya di Taman Uda sekiranya dia boleh melanjutkan pelajaran di universiti luar negara. Nota: Pada masa tersebut, hanya Fauzi seorang sahaja yang gagal ke mana-mana universiti kerana result peperiksaannya memang teruk (tak macam adik beradiknya lain yang pandai & bijak).
5. Pernah memesan agar tidak menjual rumahnya di Taman Uda & jangan tinggal di kampung kerana (berdasarkan pengalamannya & situasi pada masa itu) ruang menuntut ilmu anak-anak jauh lebih luas di bandar berbanding di kampung.
Sekian, cerita Cikgu Mat Pedu sebagai orang yang cintakan ilmu.
* Catatan Penulis:
Alhamdulillah, 4 naskah ensaiklopedia kesihatan tersebut telah berjaya merangsang cucunya Mohd Zakuan untuk mengambil jurusan perubatan di Russia. Nampaknya tak sia-sia Cikgu Mat Pedu melabur dalam pendidikan. Benarlah beliau seorang yang mencintai ilmu.
T. kasih IKAN PEKASAM.....

Thursday, January 1, 2009

Cikgu Mat Pedu Garang 1

Cikgu Mat Pedu di mata anak muridnya ialah seorang yang sangat garang. Jika ditanya kepada anak murid yang belajar di SK Pedu, rata-rata mengatakan dia seorang yang sangat garang. Menurut Musa anak Pak Lahim , Kg. Seladang Rebah semasa dia belajar dengan Cikgu Mat Pedu, dia akan lari jika nampak Cikgu Mat Pedu kerana takut dan hormat. Begitu juga rakan-rakannya yang lain, mereka akan lari bertempiaran jika nampak atau dengar suara Cikgu Mat Pedu. Di sekolah, Cikgu Mat Pedu akan merotan murid-muridnya jika mereka malas belajar dan tindakannya merotan tidak mendapat tentangan daripada ibu bapa. Mereka menyerah 100 peratus kepada pihak sekolah untuk mengambil tindakan jika anak mereka bersalah. Itu dahulu... Hari ini jika Cikgu Mat Pedu bertindak demikian sudah pasti ibu bapa akan marah dan mungkin ambil tindakan mahkamah.
Menurut Musa lagi, kalau Cikgu Mat Pedu marah kepada anak muridnya, dia akan kata , binatang....... lembu....... Istilah ini lazimnya digunakan apabila anak muridnya malas menyiapkan kerja rumah atau belajar. Menurut Musa, ada satu peristiwa lucu telah berlaku apabila cikgu Mat memarahi anak muridnya.
Kisahnya begini...
Pada satu petang , di padang SK Pedu, ada anak murid yang telah melaku kesalahan dan dia telah dimarahi oleh Cikgu Mat Pedu dengan herdikan.. " binatang.... lembu.....". Tetapi secara selamba murid itu menjawab, "Bukan lembu cikgu, kerbau.." kerana dia merujuk ada beberapa ekor kerbau orang kampung yang sedang berkeliaran di padang sekolah. Mendengar jawapan anak murid itu Cikgu Mat Pedu mendengus dan beredar dari situ. Sebenarnya diminda anak muridnya itu menyangkakan cikgunya menyuruh dia menghalau kerbau di padang sekolah tetapi menyebut sebagai lembu. Sebab itu dia cuba membetulkan dengan mengatakan bukan lembu tetapi kerbau, sedangkan dia tidak sedar bahawa Cikgu Mat Pedu sedang memarahinya.
( cerita-cerita lain akan diceritakan lagi........)




Anak Bongsu Cikgu Mat Pedu 1

Anak bongsu Cikgu Mat Pedu bernama Amerul Munir. Nama ini dicadangkan oleh Ustaz Muin (Munim) iaitu sepupu Cikgu Mat Pedu yang tinggal di Lubuk Gedung (berhampiran Pejabat Daerah Padang Terap sekarang ). Dia adalah anak imam masjid Kuala Nerang iaitu Tuan Hj Yaakob dan isterinya bernama Aisyah ( Tok Su Chah).
Di kalangan keluarga, panggilan mesra Amerul Munir ialah Amer manakala rakan-rakannya memanggil Amerul. Di kalangan keluarga dialah yang paling hensem. Dia dilahirkan selepas Cikgu Mat Pedu dan isteri balik menunaikan fardhu haji dengan menggunakan kapal laut. Tempoh tiga bulan menunaikan haji dan berdoa di depan Kaabah telah menambah rezeki Cikgu Mat Pedu dengan kelahiran anak lelaki walaupun mereka senantiasa mendoakan agar dianugerah Allah seorang puteri untuk menambah seri dalam keluarga.
Sebagai anak bongsu, Amer mendapat banyak kelebihan, Apa yang diminta sering diperolehi, apatah lagi rezeki Cikgu Mat Pedu juga agak murah kerana gaji sebagai guru dinaikkan oleh kerajaan.
Amer mendapat pendidikan awal di SK Bohor ( sekolah rendah aliran Inggeris) kerana mengikut bapanya mengajar di situ. Apabila bapanya bertukar ke SK Iskandar, dia ikut serta belajar di SK Iskandar dan menamatkan pengajian sekolah rendah di situ. Oleh kerana dia senantiasa pergi dan balik sekolah bersama bapanya dia tidaklah begitu nakal seperti kanak-kanak lain.
Amer melanjutkan pelajaran menengahnya pada 1980 di SMK Mahsuri, Pulau Langkawi kerana mengikut keluarga (hanya ayah dan ibunya yang tinggal di Langkawi manakala abang-abangnya telah bekerja dan belajar di tempat lain). Pada waktu itu Cikgu Mat Pedu telah diarahkan untuk bertukar ke SK Kuah, P. Langkawi. Bagi penjawat awam pada waktu itu, pertukaran ke P Langkawi adalah dianggap sebagai 'buang daerah' kerana kesukaran untuk untuk berulang alik. Kata orang, Cikgu Mat Pedu di"buang daerah' ke Langkawi kerana sikapnya yang berprinsip yang kadang-kadang bercanggah arus dengan pengurusan. Dalam organisasi pendidikan, sikap demikian adalah tidak popular kerana orang bawahan hanya perlu menurut arahan sahaja. Sikap Cikgu Mat yang sering menongkah arus nampaknya diwarisi secara jelas oleh anak-anaknya seperti Fisol, Fauzi dan Amer pada hari ini.
Di SM Mahsuri, Amer begitu aktif dalam bersukan terutama dalam olahraga. Semangat berolahraga ini sering dikongsi dengan abangnya Fauzi yang mempunyai minat yang sama. Dia berjaya mewakili sekolah dan daerah dalam acara larian jarak dekat 100m dan 4x100m. Dia juga tidak ketinggalan untuk menjuarai acara merentas desa. Dengan bimbingan Cikgu Razak dan Cikgu Mohtar dia agak cemerlang dalam kegiatan sukan di SM Masuri.
Amer belajar di SM Mahsuri selama tiga tahun. Selepas PMR, dia memohon untuk ke Maktab Tentera Diraja (MTD) Sg. Besi Selangor dan alhamdullilah dia berjaya ditawarkan ke tingkatan empat. Belajar selama dua tahun di MTD yang penuh dengan disiplin, dia akhirnya berjaya dengan cemerlang dalam SPM. Amer kemudian ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di United Kingdom dalam bidang undang-undang dibawah tajaan biasiswa JPA.
Demikianlah cerita peringkat awal Amer.
Kisah hidup Amerul Muner akan disambung lagi....